TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 31 Oktober 2010

Orang Kampung buka pusat jualan di Indonesia 2011.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 01 November 2010.



MELAKA 31 Okt. - Orang Kampung Holdings (M) Sdn. Bhd., pengeluar pelbagai produk kesihatan, bakal membuka sebuah pusat jualan di Indonesia pada awal tahun depan dalam usaha memperkasakan jenama OK di luar negara.

Pengarah Urusan syarikat itu, Habibul Ajmi Manggar berkata, syarikat milik bumiputera itu mula meneroka pasaran luar negara khususnya Indonesia sejak lapan tahun lepas.

"Di Indonesia produk terlaris ialah Teh Herba Asli. Kita berharap pusat jualan ini dapat mengukuh dan mengembangkan pasaran kita di sana," katanya di sini, kelmarin.

Habibul Ajmi berkata, dengan pembukaan pusat jualan itu, syarikat tersebut akan memperkenalkan Teh Herba Halia, Teh Herba Limau Purut, Kopi Tongkat Ali dan Kopi Kacip Fatimah di pasaran Indonesia.

Katanya, selain Indonesia, syarikat itu juga memasarkan produknya di Singapura, Brunei dan Hong Kong dan pasaran di Timur Tengah seperti Dubai, Jeddah dan Arab Saudi.

Beliau berkata, produk berasaskan herba paling mendapat sambutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei manakala produk berasaskan minuman kopi di Singapura dan Timur Tengah.

"Kita sedang mengkaji pasaran di Mesir di mana selain kita hantar produk ke sana, kita juga sedang mengkaji untuk mengimport herba dari Mesir untuk dipasarkan di dalam negara," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga sedang mengkaji pasaran di Amerika Syarikat di mana sebagai percubaan, sebanyak tiga kontena produk keluaran syarikat itu dihantar ke selatan California.

Pasaran luar negara telah menyumbang lebih 20 peratus daripada jualan tahunan syarikat itu di mana pada tahun lepas ia memperoleh kira-kira RM20 juta jumlah jualan keseluruhan dan pihaknya mensasarkan kenaikkan jualan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun, katanya.

Pada bulan depan, syarikat itu akan melancarkan dua produk minuman baru berasaskan buah delima dan herba serapat untuk kecantikan dalaman dan luaran wanita, juga minuman berasaskan pegaga dan buah beri untuk memperkuatkan minda kanak-kanak.

Syarikat itu mempunyai tiga buah kilang, sebuah kilang di Merlimau yang khusus menghasilkan produk berasaskan herba, sebuah kilang juga di Merlimau yang khusus menghasilkan produk berasaskan minuman dan sebuah kilang lagi di Nilai, Negeri Sembilan khusus menghasilkan produk kesihatan kesemuanya mempunyai 170 pekerja.

Habibul Ajmi berkata, syarikat itu akan memulakan operasi sebuah lagi kilangnya juga di Merlimau khusus menghasilkan produk farmaseutikal berasaskan herba pada awal tahun depan dalam usaha menampung permintaan produk herba yang amat menggalakkan.

"Tahun depan kita juga akan menubuhkan sebuah anak syarikat untuk tujuan penyelidikan bagi menghasilkan produk baru juga khidmat penyelidikkan untuk syarikat lain," katanya.

Syarikat itu diasaskan pada 1975 oleh bapa beliau, Allahyarham Datuk Manggar Haniff, bermula sebagai perniagaan kecil di belakang rumah. Beliau menghasilkan produk berasaskan gamat. Perniagaan itu berkembang pesat dan untuk menampung permintaan yang menggalakkan, pada 1991, syarikat memindahkan operasi ke kilang sekarang di Merlimau.

Dengan perniagaan yang berkembang maju, Perniagaan Orang Kampung Sdn. Bhd. diasaskan pada 14 Mei 1994 dengan modal berbayar RM20,000 dan untuk mengukuhkan aktiviti pemasaran, Orang Kampung Marketing Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 1996 dengan modal berbayar RM100,000 kemudian bagi mengukuhkan sektor pengeluaran terutamanya minuman, Heritage Drinks Industries (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 17 Mei 2001 dengan modal berbayar RM2.5 juta.

Toyyib Pharma Industries (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 31 Mei 2001 untuk menguruskan kilang di Nilai, Negeri Sembilan dan syarikat utama Orang Kampung Holdings (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada Ogos 2001. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran