TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 8 Oktober 2010

Malaysia ditawar tuan rumah persidangan antarabangsa ITU.

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 08 Oktober 2010.


GUADALAJARA (Mexico) 7 Okt. - Malaysia mendapat tawaran daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk menjadi tuan rumah konvensyen antarabangsanya pada 2012.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Malaysia merupakan negara pertama di Asia diberi penghormatan menjadi tuan rumah konvensyen tersebut.

"Kami amat berbesar hati dan gembira kerana dicalonkan sebagai negara tuan rumah konvensyen antarabangsa ITU akan datang dan kami sedia menyambut cabaran itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama dan RTM di selepas majlis resepsi Malaysia di Hotel Presidente Intercontinental sempena Persidangan Plenipotentiari ITU Ke-18 bermula Isnin lepas hingga 22 Oktober ini di sini, hari ini.

DS Rais Yatim beramah mesra dengan H. Tifatul Sembiring,
Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia.


Malaysia menawarkan diri dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal keempat berturut-turut untuk tempoh 2010 hingga 2014.

Malaysia yang dikelompokkan dalam rantau Asia-Australasia akan bersaing dengan 16 negara lain untuk menduduki satu daripada 12 kerusi dalam majlis itu.

Malaysia juga akan mempertahankan kerusinya dalam Lembaga Peraturan Radio (RRB) ITU untuk penggal 2011-2014, mencalonkan Anggota Lembaga Penasihat Measat Satellite System Pte. Ltd., Dr. Ali R Ebadi yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan pada 2006.

Beliau juga adalah pengerusi RRB pada tahun lepas.

Ali akan bertanding untuk mengisi satu daripada tiga kerusi lembaga itu bersama enam calon lain dari rantau Asia-Australasia.

Antara yang menghadir majlis resepsi itu ialah Setiausaha Agung ITU, Dr Hamadoun Toure; Timbalannya, Zhou Houlin; Pengarah Biro Telekomunikasi Radio ITU, Francois Rancy dan beberapa menteri dari negara anggota kesatuan itu.

Menyentuh tentang kehadiran ramai tetamu pada majlis tersebut malam ini, Rais berkata: "Kita boleh katakan bahawa dunia menghargai apa yang boleh ditawarkan oleh Malaysia. Saya yakin, ini dicapai melalui jalinan persahabatan.

"Hakikat bahawa Malaysia kini dipimpin Perdana Menteri yang tahan lasak dan progresif, turut menaikkan imej Malaysia dari segi keupayaannya," katanya.

Mengenai persidangan yang sedang berlangsung itu, beliau berkata, Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk belajar dari negara yang berjaya.

"Kami dapat banyak pengetahuan melaluinya dan kemampuan Malaysia dalam menerajui usaha memanfaatkan hasil program anjuran ITU, sudah tentu tercatat dalam lembaran sejarah ITU dan dunia telekomunikasi," katanya.

Mengulas tentang pujian yang disuarakan Toure terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembangunan ICT di Malaysia, sanjungan serta penghormatan tinggi beliau terhadap Ali dalam ucapannya pada majlis keraian itu, Rais berkata: "Ia menampilkan kejayaan yang tidak mudah dinafikan pesaing kita dan ini juga bermakna prestasi Malaysia sebenarnya turut dimantapkan pretasinya sebelum ini, bukan semata-mata berdasarkan perkara bersifat prospektif."

Dalam ucapannya, Toure memuji Malaysia kerana memainkan peranan sebagai pemain dan penyumbang aktif dalam ITU dan memuji Ali kerana memberi sumbangan besar kepada RBB.

Beliau juga memuji langkah agresif yang dilaksanakan Najib dalam membawa kemajuan Malaysia dalam bidang ICT ke tahap paling tinggi.

Rais berkata, jika resepsi malam ini dijadikan kayu ukur, maka peluang Malaysia untuk menduduki Majlis ITU dan RRB amat cerah memandangkan keyakinan tinggi masyarakat telekomunikasi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia. - Bernama

"Kesemua ini memberi gambaran Malaysia sudah sampai ke tahap yang mendapat kepercayaan dunia, sekurang-kurangnya dalam konsep dan dasar telekomunikasi dunia.

"Tambahan pula, dalam kita membincangkan hal-hal dan masalah masa depan, kita menekankan masalah kemanusiaan yang wujud dalam dunia komunikasi, perjuangan kita berkaitan dengan kepentingan kanak-kanak, anti penipuan dan sebagainya," katanya.

Selain itu, kata beliau, Malaysia juga berjaya memajukan program setempat dan antarabangsa serta mengurangkan jurang komunikasi antara bandar dan luar bandar.

Rabu lepas, Rais mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau yang menghadiri persidangan itu - Menteri Pos dan ICT Algeria, Benhamadi Moussa; Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia, Tifatul Sembering dan Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin, Dr Mashhous Abu Dakka.

Khamis ini, beliau akan mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan Aetiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung ITU di mana Toure dan Zhou mempertahankan jawatan masing-masing.

Proses pengundian masih diteruskan walaupun kedua-dua mereka tidak dicabar. – Bernama.


Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran