TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 30 April 2011

AVO Multimeter

By Idris Ismail Talu.

Multimeter ini hanya dikenali oleh para pelajar teknikal sehingga pertengahan tahun 1970an. Berjenama AVO. Multimeter ini agak berat. Kalau terjatuh di atas kaki, boleh hancur kaki kita dibuatnya.

Selepas tahun 1970an, para pelajar dan pekerja teknikal telah bertukar kepada multimeter yang lebih kecil, lebih murah, biasanya berjenama "Sanwa" - buatan Jepun.



Kenapa negara penjajah perlu musuh

Oleh Tan Sri Mazlan Nordin

QUO Vadis, Africa? Demikian tajuk sebuah buku yang membicarakan pelbagai aspek agama Islam di benua Afrika. Lalu dicatat pada peringkat awal, antara lainnya, nama Bilal, warga Islam pertama yang menyampaikan azan.

Seterusnya, disebut betapa selama beribu-ribu tahun dahulu apa yang dipanggil benua Afrika ialah sebahagian dari tanah besar yang dipanggil benua Asia.

Berperanan selanjutnya ialah kuasa-kuasa penjajah asing yang melancarkan pelbagai tindakan termasuk menghapuskan tulisan-tulisan bahasa Arab dan menggantikannya dengan tulisan rumi. Dewasa ini pula serangan demi serangan terhadap Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain atas alasan melawan keganasan dan menyebarkan demokrasi.

Buku berjudul Some Aspects of Islam in Africa ditulis oleh Profesor Uthman Sayyid Ahmad Ismail Al Bili dari Pusat Islam di Doha, Qatar setelah menuntut di universiti-universiti lain, termasuk Universiti Cambridge.

Dengan demikian, tegas beliau warga-warga Afrika, negeri-negeri, agama dan budaya perlu waspada terhadap pelbagai hal yang dilakukan ke atas umat Islam dan agama Islam di Afrika.

Ini kerana apa yang telah berlaku di masa lampau walaupun Perang Salib akhirnya gagal.

Dalam keadaan masa kini Afrika mempunyai bilangan warga Arab yang paling ramai sekali dalam dunia, iaitu di Mesir dan pelbagai negeri di Afrika Utara. Bahasa Arab paling ramai pembicaranya dan banyak sekali bahan-bahan bacaannya.

Bahasa-bahasa sampingan seperti Swahili, Hause dan Fulfulde meminjam begitu banyak perkataan-perkataan Arab dan gagasan Islam.

Warga-warga Afrika juga mendapati dari sejarah masa lampau bahawa agama Islam berkembang bukan kerana penggunaan pedang dan senapang oleh bala tentera untuk menjajah. Dalam Islam juga tidak ada aspek-aspek perkauman dan eksploitasi.

Dari ketiga agama - Islam, Kristian dan Judaism, warga Islam yang mengiktiraf dan menghormat kedua yang lain itu. Apa yang dikatakan oleh umat Islam mengenai Nabi Isa, Musa dan lain-lain nabi adalah sebahagian daripada kepercayaan mereka.

Sebaliknya pula apa yang dikatakan oleh pihak-pihak lain mengenai Nabi Muhammad adalah sebahagian daripada budaya mereka yang mencermin peristiwa-peristiwa sejarah, termasuk marabahaya faham Nazis dan Fascism dan sikap Apartheid serta pembunuhan beramai-ramai manusia.

Lalu dianjurkan supaya warga-warga Afrika Utara dan Mesir memberi perhatian sewajarnya kepada lain-lain negara di bahagian selatan benua Afrika.

Menurut Profesor Uthman lagi bilangan warga Islam di kedua benua Amerika, di Eropah dan Asia, Australia, New Zealand dan Afrika meningkat setiap hari.

Namun, mereka perlu mengawasi pandangan seperti disebarkan Profesor Huntington dalam bukunya “Clash of Civilisations” bahawa negara penjajah perlu musuh. Jika tidak ada musuh semulajadi maka musuh mesti diadakan.

Dalam keadaan dewasa ini kecaman-kecaman terhadap Nabi Muhammad dilancarkan untuk tiga tujuan. Pertama untuk menentukan Islam sebagai musuh, kedua untuk menghasut pihak Islam bertindak balas dan ketiga untuk menggembeling tenaga pihak-pihak lain bertindak terhadap Islam.

Juga disebut ialah nama-nama cerdik pandai zaman silam seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Al-Wazzan, Ibnu Said, Al-Idrisi, Ibn Batuta dan Ibnu Jubair, iaitu kesemuanya warga Afrika.

Di samping itu budaya Islam di negara Sepanyol selama 700 tahun mendorong penyebaran Ilmu oleh Ibnu Rush (Averros), Ibnu Sina (Avicenna) dan Ibnu Tufail yang ada kaitan dengan Islam di Afrika Utara.

Turut memberi sumbangan pada masa lampau ialah hamba-hamba abdi Afrika yang kebanyakan mereka beragama Islam yang membanting tulang bagi pihak tuan-tuan kulit putih mereka.

Seperti dicatat dalam sejarah negara-negara Islam di Afrika yang mula sekali bertindak mempertahankan benua Afrika dari serangan-serangan pelbagai negara Eropah yang mahu menjajah.

Berperanan ialah pejuang-pejuang Mahdi di Sudan (1881-1898), para pejuang Mahdi di Somali. Mereka mendahului perjuangan Jomo Kenyatta di Kenya, Ben Bella di Algeria dan Mandela di Afrika Selatan.

Kerana itu pertanyaan lanjut: Quo Vadis, Africa?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Emel 1My - mudahkan rakyat berurusan dengan kerajaan.

Temubual Wartawan Edisi Mingguan Berita Minggu dengan Pengarah Adavista Sdn Bhd En. Azli Paat

Tarikh siar: 2011/05/01


Soalan: PADA pandangan anda, apa perlunya Emel 1My, sedangkan kebanyakan rakyat sudah ada emel peribadi seperti Yahoo, Gmail, Facebook dan Twitter.

Terlebih dulu, semua pandangan saya ini adalah pendapat teknikal. Keperluan emel ini memang sudah ada dan ia berbeza dengan emel peribadi. Emel peribadi hanya sesuai untuk tujuan bersosial. Kata mudahnya, Emel 1My bukan untuk menggantikan emel sedia ada, sebaliknya menjadi identiti individu untuk perkhidmatan dalam talian ketika berurusan dengan kerajaan.

Mungkin sekarang ia tidak diperlukan tetapi untuk masa depan ia sangat diperlukan kerana emel ini jadi identiti rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan dalam talian atau online.

Identiti ini perlu disahkan kerajaan sendiri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti pengesahan pengenalan diri melalui Mykad. Emel lain bukan tidak boleh dihantar kepada kerajaan tetapi sukar untuk kerajaan sahkan sama ada emel itu betul-betul milik identiti emel berkenaan.

Contohnya jika mahu maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seseorang itu boleh hantar emel, namun LHDN mungkin boleh atau tidak menjawab emel berkenaan kerana tiada pengenalan identiti disahkan kerajaan. Pada saya konsep ini perlu diwujudkan tidak kiralah apa saja namanya atau syarikat mana mengendalikannya.

Pengesahan emel oleh JPN secara tidak langsung diiktiraf kerajaan dan semua urusan pengesahan dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan boleh menggunakan emel berkenaan. Alamat emel seperti 1My ini juga dapat menyelesaikan masalah pengesahan MyKad. Tujuan dan hala tuju Emel 1My ini sangat baik bagi perhubungan rakyat dengan kerajaan.

Soalan: Namun ada juga pihak bimbang dengan risiko dan penyalahgunaan, ada pula khuatir kerajaan memantau kegiatan rakyat melalui Emel 1My.

Tujuan Emel 1My untuk memudahkan kerajaan berinteraksi dengan rakyat, untuk rakyat emel kepada agensi dan jabatan kerajaan bagi mendapatkan maklumat dan kerajaan membalasnya juga melalui emel.

Apa-apa pun dalam emel yang diterima atau dihantar kepada kerajaan, tiada isu ia disalahgunakan. Ia saluran perhubungan baru di antara kerajaan dan rakyat. Logiknya, tidak mungkin berlaku penyelewengan.

Apabila emel, lebih mudah kerajaan menyampaikan maklumat mengikut sasaran orang yang sesuai berdasarkan emel yang sudah didaftar dan ada pengesahan kerajaan.

Contohnya kerajaan mudah memberitahu maklumat banjir kepada rakyat melalui emel dan hanya mereka di kawasan terbabit saja menerimanya berdasarkan identiti pemilik emel yang sudah disahkan.

Dari segi keselamatan, syarikat yang menjayakan projek ini bekerjasama dengan Microsoft yang berpengalaman luas, malah syarikat itu mengendalikan exchange server, yang banyak digunakan organisasi lain.

Cuma sekarang ini tidak dinyatakan kawalan dalam bentuk penerimaan emel daripada orang lain atau adakah Emel 1My ini hanya untuk kegunaan rasmi dengan agensi dan jabatan kerajaan saja atau sesiapa pun boleh hantar emel kepada individu yang mempunyai akaun 1My. Satu lagi isu ialah format emel juga tidak dinyatakan.

Adakah emel ini guna format kad pengenalan, nama dalam MyKad dan disambungkan dengan nombor kad pengenalan. Ini penting kerana timbul persoalan 1My mungkin boleh disalah guna pihak tertentu bagi menghantar emel pukal.

Soalan: Selepas menjelaskan segala risiko dan isu itu, bagaimana mengatasinya.

Sepatutnya kerahsiaan perlu dilaksanakan dan syarikat pengendali 1My perlu menandatangani perjanjian kerahsiaan dengan kerajaan, sama seperti termaktub dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya. Ini proses biasa jika mana-mana syarikat luar melaksanakan projek kerajaan.

Projek ini membabitkan sumber luar di bawah kawalan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), jadi mereka perlu memastikan semua keselamatan maklumat tidak disalahgunakan.

Soalan: Satu lagi isu ialah caj 50 sen kepada pihak yang berurusan menggunakan Emel 1My. Apakah bayaran itu perlu.

Secara logiknya memang tiada caj boleh dikenakan kepada individu yang mendaftar dan itu juga yang dinyatakan kerajaan ketika pengumuman projek berkenaan.

Namun ramai tidak faham bayaran itu bukan dikenakan kepada individu atau pemilik emel, sebaliknya kepada agensi atau jabatan yang hantar maklumat kepada pemilik akaun itu. Contohnya selama ini LHDN hantar maklumat cukai kepada rakyat guna pos, tetapi selepas ini mungkin melalui 1My saja.

Biasanya caj RM2 dikenakan jika pos, tetapi melalui 1My hanya 50 sen, sekali gus menjimatkan wang kerajaan. Ada juga berpendapat lebih baik guna emel biasa seperti Yahoo, Gmail atau Hotmail yang tidak kenakan bayaran. Memang emel biasa itu percuma tetapi urusan kerajaan biasanya memerlukan kod berdaftar seperti ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ sedangkan emel biasa tiada perkhidmatan itu.

Melalui 1My, memang ada pengesahan kerana emel individu itu adalah pengenalan identiti rakyat yang diiktiraf kerajaan.

Bahasa mudahnya, caj 50 sen itu adalah kos perniagaan syarikat pengendali emel kerana menyampaikan maklumat atau apa-apa bentuk perhubungan dalam urusan kerajaan kepada rakyat. Caj 50 sen memang tidak akan dikenakan kepada rakyat. Emel lain seperti Yahoo, Gmail atau Hotmail juga sebenarnya tidak menawarkan khidmat percuma.

Percuma hanya kepada mereka yang hantar atau terima emel, tetapi pengiklan dalam laman web emel itu bayar 30 sen setiap iklan yang diklik. Dalam aspek 1My, tiada caj dikenakan ke atas pengguna, manakala caj ke atas kerajaan pula adalah satu perniagaan. Jika tidak bagaimana syarikat mahu membiayai dan melaksanakan operasinya.

Satu lagi, pelaburan RM50 juta bagi projek ini bukannya wang kerajaan atau duit rakyat. Ia juga bukan diberikan kepada kerajaan sebaliknya syarikat melabur bagi pembangunan industri berkenaan.

Soalan: Akhir sekali, boleh saudara terangkan bagaimana syarikat pengendali projek ini berfungsi dan apa harus dilakukan bagi menangani isu yang timbul berkaitan inisiatif ini.

Tricubes menyampaikan maklumat atau kata mudah, syarikat penghantaran laju atau kurier, cuma maklumat dalam inisiatif ini disampaikan dalam talian.
Saya rasa idea mewujudkan Emel 1My adalah satu idea yang baik dan tidak kisah syarikat mana mengendalikannya asalkan ia menepati ciri keselamatan dan kualiti perkhidmatan untuk manfaat kerajaan dan rakyat.

Saya lihat masalah dan kontroversi tercetus kerana rakyat tidak faham matlamat di sebalik projek murni ini. Jadi syarikat yang berkenaan perlu memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Emel 1My - Kaedah lebih berkesan sebar maklumat

Temubual Wartawan Edisi Mingguan Berita Minggu dengan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), En. Mohd Sukor Md Yusoff

Tarikh siar: 2011/05/01

Soalan: SEBAGAI badan induk menaungi 40 organisasi belia dengan lebih tiga juta ahli yang sudah tentu banyak menggunakan kemudahan teknologi termasuk emel, apa pandangan MBM terhadap projek 1My ini.

Secara keseluruhan, jumlah belia di negara kita iaitu berusia 15 hingga 40 tahun melangkau lebih 11 juta orang dan rata-rata memang terdedah kepada teknologi maklumat, termasuk emel. Sememangnya emel amat popular sebagai saluran komunikasi masa kini selain blog, Facebook dan SMS.

Pencapaiannya juga meluas dan berkesan. Melalui projek 1My, maklumat yang ingin disampaikan dijamin ada kredibiliti. Memang tidak dapat dinafikan khidmat yang ditawarkan melalui emel ini amat diperlukan bagi sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

Soalan: Namun ada juga pihak yang mempunyai tanggapan negatif terhadap projek ini.

Bagi saya, bila sudah ada pihak yang sanggup mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan ini, ia wajar disokong jika matlamatnya betul dan tidak membebankan kerajaan kerana kita perlu ingat duit kerajaan itu adalah duit rakyat. Andai sesuatu inisiatif itu tidak berbaloi dan manfaatnya tak setimpal dengan jumlah yang dibelanjakan, kita kena berhati-hati kerana masih banyak lagi agenda boleh dibuat menggunakan peruntukan kerajaan yang ada.

Tetapi bagi saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang pemimpin yang meletakkan sesuatu pada tempat yang sesuai, pengagihan kekayaan secara adil. Cuma satu saja dalam soal Emel 1My ini, kerajaan perlu meneliti supaya perjanjian mengenainya memberi keuntungan kepada semua pihak, kerajaan kena lebih berhati-hati.

Kita faham ada terma tertentu dalam perjanjian tidak boleh dikongsi dengan rakyat, jadi penting buat kerajaan melalui kementerian yang bertanggungjawab memastikan projek ini atau apa juga inisiatif pun tidak merugikan rakyat.

Soalan: Bagaimana pula dengan aspek keselamatan. Ada pihak sangsi dan khuatir mungkin emel ini juga terdedah kepada risiko pencerobohan atau digodam untuk tujuan tidak betul.

Itulah yang saya katakan awal tadi. Dalam hal ini, kerajaan perlu berhati-hati. Secara keseluruhannya, penceroboh atau penggodam sistem komputer ada di mana-mana di seluruh dunia dan mereka inilah yang melakukan perkara tidak elok supaya hasrat murni yang boleh dimanfaatkan melalui kemudahan teknologi tidak mencapai matlamatnya.

Jadi, kerajaan dan pihak yang menyediakan perkhidmatan itu perlu memastikan perkara terbabit tidak berlaku, sediakan kepakaran yang sewajarnya. Secara peribadi, saya berpendapat projek 1My ini memang satu usaha murni, iaitu kerajaan mahu menyampaikan maklumat kepada rakyat. Memang emel adalah antara saluran paling berkesan untuk tujuan berkenaan, tetapi masih ramai rakyat skeptikal terhadap kemudahan teknologi seperti ini.

Apa pun, jika inisiatif ini digunakan dengan betul, saya yakin kerajaan dan rakyat akan mendapat manfaatnya. Kami di MBM pun sudah beberapa kali ditemui pihak tertentu yang mahu mewujudkan sistem perhubungan seperti ini untuk berhubung dengan lebih tiga juta ahli gabungan, tetapi tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana ia memerlukan kos yang besar sedangkan kami adalah organisasi bukan bermotifkan keuntungan.

Jika ditanya kecenderungan MBM terhadap kemudahan teknologi ini, memang kami alu-alukan dan sokong projek 1My kerana dengan perkembangan dunia masa kini, perkara seperti ini tidak boleh dielakkan. Kita kena berubah dan jadikan penggunaan teknologi maklumat seperti internet dan emel sebagai budaya hidup, yang patut diguna pakai secara meluas. Kita tak boleh nafikan peranan dan sumbangan kemudahan teknologi, jadi kitalah yang kena mengalah dan terima.

Soalan: Mungkin rasa sangsi dan skeptikal itu timbul kerana rakyat tidak mendapat penjelasan lebih mendalam mengenai projek ini.

Mungkin juga, saya ambil contoh gagasan 1Malaysia, masih ramai juga rakyat yang tak faham apa makna gagasan ini. Ia adalah satu manifestasi dasar yang kerajaan nak buat. Sebenarnya, banyak lagi dasar kerajaan yang rakyat tak begitu faham, bukan setakat 1Malaysia.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pun ramai lagi yang tak faham. Kumpulan yang tak faham inilah yang terdedah kepada manipulasi pihak tertentu yang sengaja bagi maklumat salah, seterusnya memberi kesan kepada hasrat murni kerajaan, sepatutnya semua itu tidak berlaku.

Rakyat kena faham bahawa projek 1My ini dapat menjadi saluran untuk mendekatkan rakyat dengan dasar kerajaan dan apa juga maklumat yang kerajaan mahu salur serta kongsi. Jika rakyat faham apa yang kerajaan nak buat, sudah pasti ia memberi manfaat kepada negara.

Perlu diingat pembangunan negara memerlukan sokongan semua pihak kerana kerajaan ditubuhkan hasil sokongan rakyat dan akhirnya apa yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk rakyat juga. Perlu juga diingat kita sedang menuju Wawasan 2020, tempohnya bukan lama sangat, hanya sembilan tahun lagi. Jadi, mereka yang selama ini tak tahu atau tidak ambil tahu dasar serta gagasan kerajaan, perlu ambil tahu dan faham.

Soalan: Akhir sekali, apa kesimpulan yang boleh saudara rumuskan mengenai inisiatif 1My ini.

Kesimpulan saya mudah saja, adakah kerajaan akan buat perkara yang merugikan rakyat? Segala tanggapan buruk dan negatif mengenai projek emel ini pada saya hanya kerana manipulasi pihak tertentu untuk menjaga kepentingan tertentu.

Apa salahnya jika ada pihak swasta mahu bekerjasama dengan kerajaan, ambil alih tanggungjawab tertentu yang selama ini dibuat oleh agensi kerajaan secara berasingan seperti menyalurkan maklumat kerajaan kepada rakyat. Kalau ada pihak swasta mahu bekerjasama dengan kerajaan dan dapat capai persefahaman untuk jayakan kerjasama itu, kita berilah peluang.

Dasar penswastaan yang dicetuskan di negara ini pun adalah dasar kerajaan dan hari ini kita nampak manfaatnya. Projek emel ini adalah manifestasi bahawa syarikat swasta juga ingin sama-sama terbabit, menyumbang kepada negara dan memang jelas matlamatnya adalah baik.

Berilah peluang projek ini melalui proses `trial and error’. Mungkin kerajaan boleh tetapkan tempoh percubaan untuk melihat hasil inisiatif terbaru ini, tapi mungkin juga ada orang akan kata kenapa tak buat kajian mendalam dulu sebelum wujudkan projek ini. Bagi saya kajian akan babitkan kos dan masa, sedangkan kita sudah tak punya banyak masa.

Biar rakyat sendiri tentukan sama ada manfaat inisiatif ini tercapai atau tidak. Ringkasnya, buat dulu dan kemudian nilai. Bagi saya, projek 1My tak ada masalah kerana matlamatnya baik, cuma kerajaan perlu perhatikan soal kos. Rakyat pula perlu positif, jangan buat andaian sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Kita laksanakan inisiatif ini dulu, cuba dan selepas itu buatlah keputusan sama ada ia wajar dilaksanakan untuk jangka panjang atau terus dihentikan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Di Mana Agenda Nasional?

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

PARTI ultra kiasu menjadi semakin bongkak selepas memenangi beberapa kerusi tambahan di Sarawak. Kemenangan mereka turut diraikan oleh akhbar-akhbar perkauman yang pro-ultra kiasu. Cara pemberitaannya tidak banyak bezanya dengan kenyataan ultra kiasu.

Mendesak dan mengugut dan memanipulasikan isu untuk mencari simpati. Satu kebaikan mereka diberikan publisiti besar-besaran, manakala 100 kebaikan orang lain disenyapkan.

Paling ketara, kumpulan ultra kiasu ini mendabik dada mengatakan mendapat sokongan semua kaum. Mereka bukan lagi parti perkauman. Saya tidak nafikan, sokongan mereka semakin meningkat, tetapi itu bukan bermakna mereka tidak perkauman dan dipercayai? Pas sudah tentu ada jawapannya. Sebenarnya mereka tidak kuat, kita yang lemah. Maka kesempatan ini gunakan sepenuhnya.

Kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Kidurong yang mengandungi 27,225 pengundi, mewakili 46.2% Iban, 38.1% Cina, 15.2% Melayu dan lain-lain 1%, dijaja ke sana ke mari sebagai contoh. Majoriti 6,930 yang diperolehi didakwa hasil undian semua kaum. Sedangkan kita tahu, ia adalah undi solid orang Cina dan undi protes Iban dan Melanau terhadap 'Pek Mo' (dalam bahasa Hokkien disebut sebagai rambut/bulu putih) dan Barisan Nasional.

Sama juga seperti sebuah artikel terbitan Utusan Malaysia yang terus menerus dimanipulasikan oleh media dan parti ultra kiasu untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri dan UMNO.

Pemimpin ultra kiasu Selangor bertaraf ini mendesak Perdana Menteri supaya menggunakan kuasa untuk bertindak tegas terhadap akhbar tersebut dan penulisannya dengan kadar segera, bukannya setakat mengatakan itu adalah pandangan peribadi penulis. Sikit-sikit apa juga yang bertentangan dengan mereka, maka gagasan 1Malaysia dijadikan sebagai hujah. Fahamkah ultra kiasu ini apakah gagasan 1Malaysia sebenarnya?

1Malaysia bukan gagasan menjaga hati orang dan memuaskan hati semua pihak. Tetapi gagasan ini adalah idea mengurus dan mentadbir negara berasaskan perlembagaan. Perlembagaan adalah asas keadilan. Melaksanakan apa yang termaktub dalam perlembagaan adalah asas kepada kepada gagasan 1Malaysia, walaupun pada ultra kiasu mungkin tidak adil. Jika pemimpin ultra kiasu dan akhbar perkauman boleh sewenang-wenangnya mengata orang lain, kenapa tidak kebebasan bersuara akhbar tersebut?

Saya tidak bertujuan mempertahankan tulisan dan penulis tersebut. Tetapi lebih baik kita melihat apa yang benar, apa yang salah. Apakah selama ini ultra kiasu tidak mempertahankan 1Cina? Saya masih teringat dan tidak dapat melupakan reaksi pemimpin ini sebaik sahaja mereka berjaya menguasai negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Perkara pertama yang dicadangkan adalah untuk mewujudkan Bandar Cina di Selangor. Bandar Cina yang mengandungi universiti Cina, industri Cina dan lain-lain berasaskan Cina. Alasannya amat dangkal, untuk menarik pelabur-pelabur Cina. Seolah-olah dalam dunia ini hanya ada orang Cina, bangsa lain tidak wujud. Terang-terang kenyataan bercanggah dengan perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Tidak ada sesiapapun termasuk akhbar Utusan Malaysia mengutuk kenyataan tersebut dan meminta beliau meminta maaf. Saya hanya terbaca dalam akhbar Harakah. Saya minta akhbar Utusan Malaysia korek balik kenyataan ini. Kita lihat reaksi parti ultra kiasu dan akhbar perkauman ini.

Bermaharajalela

Nasib baik mereka tidak memerintah Malaysia, hanya berjaya di Pulau Pinang dan 'Selangor' sahaja. Kebetulan negeri tersebut adalah Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu, kuasa kerajaan pusat masih ada. Jika tidak, lagi bermaharajalah ultra kiasu ini dan sudah pasti 1Cina menjadi realiti. Sebenarnya, ia telah pun wujud, kita sahaja yang masih buta atau sengaja membutakan. Misalnya, Universiti Merdeka (IPTS) yang diperjuangkan oleh ultra kiasu selama ini telah wujud sekian lama, berselindung di bawah nama yang berbeza. Bahasa Melayu tidak langsung digunakan, kenapa masih boleh beroperasi? Jangan pergi jauh, singgahlah ke Kajang untuk melihatnya.

Kenapa tiba-tiba tulisan itu sengaja diperbesar-besarkan? Walhal, belum ada lagi modus operandinya. Ia hanya pendapat seorang penulis sahaja, bukan melambangkan pendapat keseluruhan akhbar tersebut mahupun UMNO. Sudah dua minggu berlalu, isu ini terus hangat dan diperbesarkan. Mereka terus menuding jari menyalahkan Perdana Menteri dan UMNO, mungkin selepas ini saya.

Orang kuat MCA pula mengajak rakyat Malaysia memboikot akhbar Utusan Malaysia. Saya hanya tersenyum sendirian. Akhbar Utusan pun tidak perlu bimbang. Saya yakin selama ini pun mereka tidak pernah membaca Utusan. Kalau mereka baca pun, hanya untuk mensensasikan isu. Pilihan mereka hanya berminat membaca berita-berita akhbar pro-ultra kiasu sahaja.

Saya ingin bertanya, tidak cukupkah lagi dengan China Town, sekolah perkauman, universiti perkauman, kegiatan perkauman dan banyak lagi yang bersifat perkauman yang telah diluluskan oleh kerajaan selama ini? Soalan khas kepada ultra kiasu ini dan juga ultra kiasu yang lain, adakah mendesak kerajaan mengiktiraf sekolah vernakular dan membantu sepenuhnya, setanding dan setaraf dengan sekolah kebangsaan tidak menggambarkan tindakan 1Cina? Kerajaan telah pun memenuhi tuntutan tersebut. Yang peliknya, pentadbiran dan pengurusan sekolah tersebut tidak dibenarkan kerajaan campur tangan langsung? Ini termasuk kurikulum, tanah, bangunan dan sebagainya. Adakah tindakan ini tidak melambang atau tidak sama dengan 1Melayu 1Bumi?

Saya tidak nampak akhbar dan kumpulan ultra kiasu ini membincangkan dengan serius masalah kajian terbaharu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) tahun lalu, membabitkan pelajar-pelajar Cina di 159 sekolah-sekolah Cina seluruh negara. Kajian mendapati ramai pelajar dari sekolah terbabit tidak faham dan tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.

Kajian tersebut membuktikan, sejumlah 98 peratus bergaul dengan kawan-kawan Cina dan hanya bercakap dalam bahasa Cina setiap hari. Kehidupan mereka hanya melihat satu bangsa. Bermakna, sosialisasi kita hampir 100 peratus perkauman. Penggunaan bahasa Melayu hampir sifar.

Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan bertutur hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya 'digunakan' 2 jam untuk 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu dan Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu 'dilayan' sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sejuta rakyat kita berhijrah ke luar negara

Datuk Salleh Majid
Saranan Salleh

BANK Dunia kelmarin menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja.

Brain drain memang suatu fenomena yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan kerana ia melibatkan beberapa perkara.

Pertama, tentu sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap tenaga kerja berkemahiran supaya kita sebagai sebuah negara dapat beralih ke rantai nilai teknologi dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi dan canggih.

Kita ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing walaupun pada 2010, pelaburan yang kita terima sebanyak AS$9 bilion lebih baik daripada AS$1.4 bilion yang kita terima pada 2009.

Perbezaan angka dengan negara jiran kita begitu jauh berbeza. Kita hakikatnya tidak mampu menampung pelabur yang membawa masuk teknologi yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan pelbagai peralatan, jentera dan perisian.

Apa yang penting ialah kita menyedari keadaan kita ini. Kita menyedari yang kita ditinggalkan oleh jiran-jiran yang pada suatu masa dulu sama setanding dengan kita.

Di antara usaha yang menunjukkan kita melakukan sesuatu adalah mengiktiraf perlunya kita memberikan tumpuan yang sama kepada sekolah-sekolah vokasional dan teknikal. Bilangan yang disalurkan ke arah sekolah jenis ini dapat ditingkatkan daripada 10 peratus mungkin kepada 30 peratus atau 40 peratus.

Mungkin untuk membantu kita dari segi tenaga pengajar kita boleh mendapat bantuan daripada negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara-negara Eropah seperti Belanda dan negara sebelah sini seperti Australia.

Suatu lagi langkah yang telah pun diumumkan dan ditubuhkan untuk melihat pengaliran keluar mereka yang mahir ini ialah Perbadanan Bakat. Kita percaya perbadanan ini perlulah mengenal pasti pelbagai sebab kenapa seseorang rakyat Malaysia itu sanggup berhijrah ke negara lain.

Perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan tetapi banyak lagi perkara lain yang mungkin dijadikan sebab penghijrahan.

Antara yang disebut-sebut oleh kawan mereka yang berhijrah ialah sistem pendidikan kita yang kepada sesetengah orang menganggap tidak sesuai untuk anak-anak mereka.

Kepada mereka yang menggunakan ini sebagai alasan untuk berhijrah tak mampulah kita hendak menarik mereka balik kecuali kita sanggup mengubah beberapa perkara seperti keutamaan kepada bahasa Inggeris.

Memang tidak dapat kita nafikan suasana di tempat kerja antara negara luar dan negara kita berbeza, misalnya dari segi peluang untuk kenaikan pangkat, imbuhan dan lebih-lebih lagi pengiktirafan pihak majikan yang kadangkala dikatakan bersifat diskriminasi.

Peluang kerjaya masa depan yang tidak jelas dalam syarikat-syarikat kadangkala menjadi perangsang kepada pekerja untuk bekerja di negara lain yang mana prestasi diberikan pengiktirafan.

Tidak hairan juga kalau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu tidak dapat digunakan di negara ini misalnya dalam bidang kedoktoran kerana pengkhususannya begitu canggih, atau kalau boleh digunakan di luar negara lebih diiktiraf dari segi pembayaran gaji dan kemudahan dan sebagainya.

Kita percaya Perbadanan Bakat akan mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu berhijrah supaya kita tidak memujuk balik yang tidak lagi berminat untuk sama-sama menyumbang ke arah hasrat kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sesiapa yang diberikan tanggungjawab mengenal pasti mereka yang layak perlu melihat daripada pelbagai dimensi; betul-betul tidak berat sebelah atau mengorbankan sesuatu proses pemilihan yang telah ditetapkan dan terpengaruh dan unsur-unsur yang kurang sihat.

DATUK SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Source: Utusan Malaysia Online.

Jumaat, 29 April 2011

Kewangan Islam Malaysia capai standard dunia

Tarikh siar: 2011/04/30

MALAYSIA memiliki rangka kerja kawal selia dan tadbir urus kewangan Islam lengkap yang boleh dijadikan penanda aras sebagai standard dunia, kata Ketua Kewangan Islam Global Deloitte, Daud Vicary Abdullah.

“Malaysia hari ini adalah peneraju dalam kewangan Islam dan ini memberikannya platform untuk bergerak lebih maju di peringkat global,” katanya sambil menekankan kewangan Islam kini menjadi komponen semakin penting dalam sistem kewangan antarabangsa.

Beliau berkata demikian kepada media pada satu siri ceramah berhubung Pengajaran Tadbir Urus Korporat Bagi Institusi Kewangan Islam anjuran Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) di Kuala Lumpur, semalam. Bagaimanapun, Daud berkata, Malaysia perlu sentiasa memastikan ia mematuhi peraturan global bagi membolehkannya sentiasa menjadi pendahulu dalam bidang itu.

Ditanya kenapa Malaysia, selaku negara Islam dan adalah peneraju dalam kewangan Islam, hanya berada di kedudukan ke-34 dalam senarai Global Islamic Cities Index tahun lalu, beliau berkata, terdapat faktor lain yang diambil kira dalam kaji selidik dijalankan pelajar George Washington University itu.

Antara faktor yang diambil kira, katanya ialah ketelusan, tadbir urus korporat, pengurusan risiko, tanggungjawab, kebebasan akhbar, hak asasi manusia, hak demokrasi dan tadbir urus undang-undang.

“New Zealand berada di tangga teratas diikuti Luxembourg, manakala Malaysia berada di kedudukan teratas dikalangan negara Islam.

“Negara bukan Islam itu mengatasi negara Islam berikutan pelaksanaan kemahirannya yang cemerlang.” katanya.

Idea Global Islamic Cities Index bertujuan mewujudkan indeks yang menyukat kesenangan dan kemudahan mengamalkan Islam di bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Menerima positif keputusan Misbun.

Sayed Hesyam Idris.

Datuk Misbun Sidek

RAMAI yang terkejut dengan keputusan Datuk Misbun Sidek yang enggan menerima kontrak baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin.

Ketika ramai yang meramalkan Misbun hampir pasti menerima kontrak baru melatih skuad pelapis negara, ia ternyata jauh tersasar.

Kita tidak tahu apa sebenarnya perkiraan Misbun sehingga mengambil keputusan sedemikian, namun mungkin skop tugasan baru sebagai pelatih skuad pelapis mempengaruhi beliau menolak daripada terus berada di dalam BAM.

Atau mungkin juga beliau merasakan tanggungjawab melatih skuad pelapis seperti 'turun pangkat' setelah sekian lama melatih pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei?.

Atau mungkinkah Misbun mahu kembali ke BAM tetapi kekal sebagai sifu kepada Chong Wei?

Itu cuma telahan dan andaian sahaja. Selebihnya pembaca tafsirkan sendiri.

Misbun sudah membuat keputusan. Melihatkan apa yang berlaku sejak dia mengumumkan perletakan jawatan daripada BAM hujung tahun lalu, adalah mustahil untuk Misbun membuat pusingan-U kali kedua.

Persoalannya bagaimana kita mahu menerima secara positif keputusan Misbun?

Memang diakui kesan utama daripada keputusan Misbun itu ialah kita rugi, kerana beliau dilihat sebagai penyelesai kepada masalah ketandusan pemain pelapis berbakat.

Ketika kita bercakap mengenai pengganti Chong Wei, orang melihat Misbun sebagai penyelesai isu tersebut.

Keupayaan Misbun membentuk jaguh dunia memang diiktiraf seperti juara All England 2003, Hafiz Hashim dan abangnya Roslin Hashim yang pernah seketika memegang status pemain No. 1 dunia.

Apa yang ada pada Misbun dalam melahirkan jaguh dunia?

Dia diakui memiliki sentuhan tersendiri dalam membentuk disiplin pemain yang tinggi juga tahap kecergasan yang maksimum.

Misbun masih boleh memainkan peranan melahirkan pemain muda berbakat menerusi Kelab Nusa Mahsuri.

Sebenarnya 'keghairahan' dan keistimewaan Misbun ialah membentuk pemain muda.

Sebab itu Misbun jarang sekali menolak untuk mengendalikan klinik badminton yang dihadiri golongan muda.

Inilah kelebihan Misbun. Akhirnya bakat-bakat muda ini akan menggantikan pemain senior yang ada ketika ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Misbun tolak tawaran BAM

Oleh Jumiati Rosly, jumiati@bharian.com.my

2011/04/29



"KAMI semua keliru". Itulah luahan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi selepas mendapat perkhabaran mengenai keputusan Misbun Sidek menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Entah apa yang berlegar dalam kotak fikiran bekas jurulatih perseorangan itu sehingga mengambil keputusan nekad itu biarpun pelbagai usaha perbincangan diambil sehingga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ‘turun padang’ memujuk bekas jaguh negara itu.

“Kita tidak tahu apa sebenar perancangan Misbun. Kalau tak ada apa-apa kenapa dia lebih dulu ambil keputusan untuk berhenti? Tidak ada orang yang tahu apa difikirkannya mungkin dia mahu menjadi jurulatih di tempat lain atau pun mungkin memulakan perniagaan,” kata Kok Chi, semalam mengenai tindakan membisu jurulatih itu sejak meletakkan jawatan pada penghujung tahun lalu.

Misbun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, semalam.

Semalam, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BAM dipengerusikan Timbalan Presidennya, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata semua ahli majlis menghormati dan menerima keputusan Misbun yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan sukan badminton sepanjang enam tahun bersama badan induk itu.

“Bila-bila masa Misbun mahu bersama semula kita, kita tidak halangan tetapi buat masa ini kita hormati keputusan Misbun,” katanya, mengenai kehilangan jurulatih badminton itu, semalam.
Ada yang beranggapan andai aspek gaji dalam kontrak baru diambil kira, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah apabila jumlah yang ditawarkan dikhabarkan tidak berubah tetapi mungkinkah faktor ‘kehilangan’ Chong Wei yang terus terang mengatakan sudah selesa tanpa bimbingan mentornya itu menjadi penyumbang utama?

Berdasarkan rekod cemerlang sebagai jurulatih, Kok Chi mengharapkan Misbun kekal menjadi jurulatih biarpun di tempat lain berdasarkan umur jurulatih itu yang dikategorikan masih muda lagi.

“Kalau saya di tempat Misbun, saya akan menyahut cabaran baru membimbing atlit pelapis dan melahirkan lebih ramai jaguh bagi Sukan Olimpik 2016. Kalau ada peluang sebegitu, saya pun mahu terima apa lagi berpeluang melatih anaknya (Misbun Ramdan) yang berbakat besar,” katanya.

Sementara itu, ahli Majlis BAM, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah pula berkata: “Dia harus terima saja tawaran itu memajukan pemain negara. Dia tidak perlu lagi menjaga Chong Wei kerana pemain macam Chong Wei, letak mana-mana jurulatih pun boleh sebab dia memang sudah cemerlang.”

Dia menambah, bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo pula akan mula memikul tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita program Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mulai Mei ini manakala Chi Shanrong yang melatih program SSBJ dilantik membimbing skuad perseorangan wanita kebangsaan.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Taman Tasik Taiping

By Idris Ismail Talu.

Taman Tasik Taiping - sebuah taman yang sungguh indah di tepi bandar tua Taiping. Suasana taman ini cukup menenangkan - cuma sekali sekala diganggu oleh kera-kera yang agak banyak di bahagian Timurnya.


Tasik dan taman di sekelilingnya.


Sejuk mata memandangnya.



Taman di pinggir bandar Taiping.


Kedamaian tasik.



Khamis, 28 April 2011

Jajan Di Hentian R n R Bukit Gantang Arah Selatan

By Idris Ismail Talu.

Buah-buahan merupakan bahan jualan terbanyak yang dijual di hentian Rehat dan Rawat ini. Kita boleh melihat buah-buah segar, seperti nangka, cempedak, rambutan dan sebagainya.


Kacang tanah rebus.



Buah betik atau kalikih yang ranum masaknya.


Nama-nama lain untuk betik mengikut kawasan atau lokasi:-

(Minangkabau) -batik, kalikih, pancene, pisang katuka, dan pisang pele.

(Aceh) - Peuteu, (Gayo) – pertek,

(Batak) - pastel, ralem paya, betik, embetik, dan botik.

(Palembang) - betik atau kates, (Madura) - kates, (Kangean) - gedhang ,

(Lampung) - gedang, kunti kayu, (Sunda) – Gedang.

(Jawa) - ketela gantung, kates.

(Manado) - Bua medung, pisang malaka, buah dong, majan, pisang mantela, gadang, bandas, manjan, atau kopaya.

(Makasar) - kaliki nikanre, (Bali) –gedang,

(Sasak) – Kates, (Bima) –kampaya.

(Sumba)-kalujawa, (Flores) -padu, (Timor) –Kaut,

(Seram) - Tele, Palaki, Papae.

(Ambon) - popaen, papae, (Buru) - Papai,

(Irian Jaya) - Sempanin, asawa, menam, siberiani, dan tapaya.



Nenas tempatan yang cukup segar.



Mempelam atau mangga.


Juga mangga.

Hentian R n R Bukit Gantang Arah Selatan

By Idris Ismail Talu.

Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang Arah Selatan merupakan salah satu dari sebegitu banyak hentian R&R di sepanjang lebuhraya Utara Selatan dari Johor Bharu (paling Selatan) hingga ke Bukit Kayu Hitam (paling Utara).

















Lihatlah kebersihan dan keindahannya.

http://idristalu.blogspot.com/


Minggu Saham Amanah Malaysia Di Ipoh

By Idris Ismail Talu.

Suasana sekitar "Minggu Saham Amanah Malaysia" yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.





















Anugerah tanah penempatan saudara baru

MELAKA 28 April – Kerajaan negeri menganugerahkan sebidang tanah seluas empat hektar bagi membina penempatan saudara baru Muslim yang akan diuruskan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kampung Lesung Batu, Alor Gajah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penempatan baru itu akan dibina beberapa infrastruktur seperti sebuah bangunan yang mempunyai 50 pintu sebagai rumah kediaman, kedai, sekolah tadika, surau, sekolah agama dan beberapa kemudahan lain.

‘‘Kerajaan negeri memberikan tanah untuk dijadikan penempatan baru saudara baru Muslim bertujuan mereka yang hidup dalam keadaan daif dan susah dapat menjalani kehidupan sempurna seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majalah Sinar Perkim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC0 Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abd. Hamid Othman dan Pengerusi Perkim negeri, Abu Pit.

Mohd. Ali berkata, saudara baru Muslim yang tidak mempunyai rumah boleh menyewa rumah kediaman yang akan dibina itu dengan kadar sebanyak RM50 sebulan.

Di samping itu, katanya, penempatan baru yang akan dikenali sebagai Taman Saudara Muslim itu membolehkan aktiviti dakwah dapat dilaksanakan sebagai panduan kepada mereka menjalani kehidupan sebagai Muslim yang baik.

Mengenai penerbitan majalah Sinar Perkim pula, beliau berkata, ia adalah langkah tepat untuk menyebarkan mengenai maklumat terkini mengenai sebarang kegiatan dan aktiviti yang dilakukan oleh pertubuhan itu.

‘‘Melalui Sinar Perkim banyak lagi perkara yang boleh disebarkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan fakta khususnya kepada orang ramai dan saudara baru Muslim,” katanya.

Majalah itu juga, katanya, boleh digunakan oleh Perkim untuk berdakwah selain memuatkan bahan-bahan seperti rencana berunsur ilmiah, nasihat, soal jawab agama dan sebagainya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Kompleks Makam Long Jaafar

By Idris Ismail Talu.

Agak mengejutkan apabila melihat tiang pagar kompleks ini yang diperbuat dari besi, kelihatannya telah dipotong orang. Apa tujuan besi itu diambil, rasanya tidak susah untuk kita memikirkannya. Biasanya untuk dijual kepada pembeli barang-barang lusuh.







Gambar anak panah menunjukkan bekas tiang pagar yang dipotong.




Contohi amalan rakyat negara lain junjung bahasa kebangsaan

Tarikh siar: 2011/04/28

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa banyak lagi rakyat yang masih bersikap tidak berbangga dengan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan negara sendiri berbanding dengan rakyat negara lain seperti China, Korea, Jepun dan sebagainya.

Rakyat negara berkenaan bukan tidak belajar bahasa Inggeris atau tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi dalam banyak perkara mereka lebih menjunjung bahasa sendiri dan mengendong bahasa lain, sedangkan banyak orang kita menjunjung bahasa lain khususnya Inggeris dan hanya sekadar mengendong bahasa Melayu.

Bangsa lain seperti China, Jepun, Korea, Perancis dan lain-lain itu hanya ketika bersantai atau tidak rasmi barulah mereka bersedia menggunakan bahasa Inggeris atau lainnya. Hal ini tidak bagi kebanyakan daripada kita termasuk segelintir pemimpin. Bertambah malang lagi jika turut membabitkan pemimpin pada peringkat nasional, organisasi atau jabatan kerajaan seperti yang selalu terpapar dalam berita di televisyen. Bahasa Melayu hanya digunakan dalam sari kata.

Eloklah bertutur dalam bahasa Melayu dan sediakan sari kata dalam bahasa Inggeris agar tidaklah menjadi seperti ‘kera di hutan disusukan anak di pangkuan dibiar kelaparan’. Pupuklah rasa bangga dan megah bahasa negara sendiri sekalipun kita memang memerlukan kemahiran bahasa kedua, ketiga dan sebagainya. Tiadakah perbezaan antara Barat misalnya dengan negara Malaysia daripada segi citra dan jati diri negara?

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Henti salahkan nasi lemak

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan ibu bapa supaya menguruskan pemakanan anak dengan baik dengan membawa bekal ke sekolah setiap hari.

Katanya, langkah itu adalah jalan terbaik memastikan anak-anak sihat daripada terus menyalahkan penjual nasi lemak, pengurusan kantin sekolah dan penjual 'jajan' di luar kawasan sekolah.

''Ini pandangan saya, sama ada makanan tidak sihat dijual dalam sekolah, mahupun luar sekolah, sebenarnya ia bergantung kepada pembeli.

''Jika anak kita menggemarinya, maka berlakulah urusan jual beli itu. Tetapi jika tiada pembeli, jual apa pun, pasti tiada siapa yang peduli untuk membelinya," katanya di sini, hari ini.

Mohamad memberitahu, kenapa cepat sangat melenting dan menyalahkan nasi lemak, kononnya menyebabkan anak menjadi gemuk.

''Orang di Amerika sana, tak makan nasi lemak pun, tetapi gemuk-gemuk juga. Jangan cepat 'melantun-lantun' dalam membuat keputusan. Kita tidak mahu pentadbiran yang 'melantun-lantun'," katanya.

Tambahnya, individu yang berniaga di luar sekolah mahupun dalam sekolah, semuanya hendak mencari rezeki.

''Mungkin mereka diberhentikan kerja atau berhadapan kesukaran untuk mendapatkan kerja. Maka mereka berniaga kecil-kecilan dan hendak sara anak serta isteri.

''Kita kena tengoklah perkara ini, kepayahan orang ramai berniaga. Ini sampai hendak suruh tangkap penjual 'jajan' dan kompaun peniaga nasi lemak," katanya.

Justeru Mohamad mahu ibu bapa dahulu memainkan peranan dan pastikan anak-anak membawa makanan yang sihat dari rumah dan menyediakan wang poket yang seimbang atau tidak berlebihan.

''Kalau semua pihak mainkan peranan dalam hal ini, tanpa menjejaskan periuk nasi orang lain dan kepentingan mereka, akhirnya semua akan merasa gembira,'' katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 24 April 2011

Insaf di Phnom Penh

Laporan dan foto NORAINON OTHMAN, norainon@hmetro.com.my

JIKA sebelum ini destinasi menarik dan bersejarah dijejaki, kembara di Kemboja sungguh menginsafkan dan membuatkan penulis merenung diri sendiri. Selepas melihat kedaifan saudara se-Islam di negara lain, timbul kesedaran dan rasa syukur tidak terhing­ga kerana dilahirkan di bumi Malaysia.

Menelusuri jalan kampung dengan kiri kanan sawah padi yang kering kontang, kehadiran penulis ke Kampung Prikajiay dalam negeri Kampung Cham, Phnom Penh, Kemboja sememangnya mencorakkan seribu satu rasa.

Sebaik pacuan empat roda dinaiki penulis mematikan enjin dan pintu kenderaan dibuka, kedengaran pengumuman dari pembesar suara surau. Serentak dengan itu, kumpulan anak kecil dan dewasa memenuhi ruang di bawah pokok asam jawa bagi menanti kehadiran kami.

Jika di jalan utama, penulis disajikan dengan pemandangan rumah penduduk yang penulis kira daif, di Kampung Prikajiay, keadaannya lebih teruk lagi. Terasa bagaikan berada di era 1970-an apabila melihat tempat berteduh yang dikatakan rumah, sebenarnya tidak lebih sekadar pondok berdinding dan beratap daun palma kipas yang mudah didapati di tepi sawah.

Tiada rumput hijau menutupi bumi, sebaliknya cuma tanah merah menjadi hamparan. Pohon besar yang menjadi tempat bernaung turut kering, manakala pohon renek hampir mati atau tidak berdaun.

Musim kemarau sejak enam bulan lalu mengubah peman­dangan perkampungan Islam yang dihuni 250 keluarga daripada hijau kepada rona suram.

Bagaimanapun, walaupun cuaca panas, terik mentari tidak membahang, sebaliknya kami kekal dalam keadaan selesa kerana tidak berpeluh atau tubuh melekit.

Sebagai pembuka bicara, kami dijamu teh herba dan sedikit latar belakang kampung. Guru agama kampung ber­kenaan, Mohd Smari Ismail, 56, fasih berbahasa Melayu. Loghat percakapannya seperti bahasa Melayu yang digunakan di Kuala Lumpur, Selangor atau Johor.

Menurutnya, Prikajiay ialah kampung lama yang dibuka lebih 200 tahun lalu. Ia dihuni penduduk Islam Melayu Champa dari Vietnam yang melarikan diri ke Kemboja ketika peperangan.

Kehidupan mereka jauh ketinggalan. Tiada barangan mewah, sebaliknya kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sukarnya mencari sesuap nasi dan lepas daripada kepompong kemiskinan kerana kebanyakan mereka tidak berpelajaran.

Tanpa bekalan air bersih dan elektrik, penduduk menggunakan sumber bekalan air yang dipam dari bawah tanah manakala bagi yang berkemampuan, mereka yang mempunyai televisyen terpaksa menggunakan bateri sebagai sumber tenaga.

Pekerjaan utama penduduk ialah mengerjakan sawah padi dan bercucuk tanam. Bagaimanapun, ketika kunjungan kami, padi sudah dituai manakala bendang kering kontang.

Menurutnya, surau di kampung itu baru empat bulan siap dibina secara bergotong-royong. Ia mendapat bantuan kewangan daripada penderma Mesir yang disalurkan melalui pertubuhan kebajikan di Kemboja.

Pihak pemerintah tidak mendirikan masjid atau surau kerana penduduk Islam ialah golongan minoriti. Kebanyakan penduduk Kemboja ialah penganut Buddha.

Smari berkata, sumbangan diberikan penderma Mesir hanya mampu membuat bahagian dalam surau, manakala di bahagian luar surau masih berhutang. Penduduk berharap lebih banyak umat Islam tampil membantu.

Impian penduduk ialah satu hari nanti mereka dapat mendirikan sekolah agama bagi kemudahan anak di kampung ber­kenaan serta kawasan sekitarnya. Menurut­nya yang berpengalaman 30 tahun sebagai guru agama, di sini, imam dipanggil ‘hakim’. Kampung Cham mempunyai 100 kampung dan 200 masjid.

Tiada siapa yang mempu­nyai kereta, cuma basikal atau kereta kuda dan bagi yang sedikit berkemampuan, motosikal menjadi pengangkutan utama.

Setakat ini, perkampungan itu kurang dijejaki orang Malaysia kerana ia terletak di pedalaman dan kurang dikenali. Program korban dan aqiqah setahun sekali yang dilakukan orang kita bia­sanya ­dijalankan di perkampungan Islam di seberang Sungai Mekong.

Penduduk kampung membawa kami melawat dari rumah ke rumah. Kebanyakan rumah bertiang tinggi dengan di bahagian bawah untuk tempat berehat dan memasak. Kedai runcit yang menjadi tempat penduduk mendapatkan barangan tidak ubah seperti pondok tanpa dinding.

Wajah penduduk Melayu Champa tidak jauh berbeza de­ngan orang Melayu kita. Dengan kulit sawo matang, jika mereka mahir berbahasa Melayu, sukar membezakan antara orang Melayu kita dengan Melayu di Kemboja.

Bahasa pertuturan orang Kampung Cham ialah Bahasa Cham. Banyak sekolah di Kampung Cham menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Smari sendiri misalnya, me­nguasai Bahasa Melayu kerana belajar agama menggunakan kitab Melayu dan Arab. Jadi tidak hairan semakin ramai golo­ngan muda mampu bercakap Bahasa Melayu dengan orang luar, terutama dari Malaysia dan Singapura.

Penduduk, Ahmad Ali, 43, ramah menyapa kami. Menurutnya, dia pernah bekerja dan menetap di Malaysia selama empat tahun.

Selepas bekerja sebagai buruh binaan mendirikan surau di Sungai Besi, dia pulang ke tanah air tiga tahun lalu. Rumahnya kini dalam pembinaan daripada kayu kepada batu-bata.

Jarak Kampung Prikajiay dari Kampung Cham ialah 32 kilo­meter manakala dari Phom Penh sejauh 95 kilometer. Perjalanan dari Phom Penh ke kampung itu me­ngambil masa dua setengah jam.

Keluar dari kampung itu, kami singgah di kedai makan Kampung Prey Sreay. Kami menikmati sajian enak ikan haruan bakar dengan ulaman, sup ayam kampung dan kacang panjang dengan hirisan daging batang pinang.

Menantu pemilik kedai makan, Ahmad Sulaiman, 27, yang pernah bekerja kilang besi di Balakong, fasih berbahasa Melayu. Kata Ahmad yang baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu, dia mampu menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan menetap di Malaysia.

Menurutnya, Kemboja mempunyai 24 negeri dan di semua tempat ada penduduk beragama Islam. Di Kampung Cham, orang Islam banyak menetap di seberang Sungai Mekong, Kampung Chemnik. Penduduk belajar agama di masjid manakala kanak-kanak memulakan alam persekolahan pada usia empat tahun. Bagaimanapun, ramai anak muda berhenti sekerat jalan kerana kekangan kemiskinan.

Untuk ke Phnom Penh, penulis dan suami menaiki bas dari Siem Reap dengan tambang AS$10 (RM30). Kami menempuh perjalanan enam jam sebelum bertemu pemandu pelancong kami, Bora yang menunggu di stesen bas Phnom Penh.

Sepanjang perjalanan dari Siem Reap ke ibu negara Kemboja itu, kami disajikan pemandangan sawah padi terbentang. Kebanyakan lembu di Kemboja berwarna putih manakala di kawasan paya atau kolam, mudah didapati kawanan itik.

Di sepanjang perjalanan, rumah penduduk berdinding dan beratap daun palma kipas menjadi santapan mata. Di depan setiap rumah kelihatan kolam dipenuhi pokok teratai mahupun itik berenang.

Rumah bertiang tinggi dibina teratur dalam sebidang tanah gersang. Di belakang setiap rumah kelihatan petak sawah yang kering kontang diselangi pohon palma kipas.

Penduduk lebih berkemampuan boleh dijangkakan dengan melihat pada tangga yang lebih cantik, rumah papan atau batu. Dua hari kami di Phnom Penh, tetapi pe­ngalaman melihat kesusahan orang lain menginsafkan diri.

Ketika menunggu bas bertolak dari perhentian bas Siem Reap, kelihatan ramai penjual roti menawarkan jualan mereka. Separuh perjalanan ke Phnom Penh, bas yang kami naiki singgah di Kampung Thom.

Di tepi jalan, beberapa peniaga Kemboja menjual cengkerik goreng. Dulang berisi cengkerik goreng agak penuh dan ia dijual dengan sukatan menggunakan tin. Difahamkan, cengkerik dijadikan sebagai snek oleh orang Khmer.

Ramai penumpang bas yang kami naiki ialah pelancong sama ada Mat Salih mahupun Melayu. Tidak risau berada di Kemboja kerana mudah terse­rempak dengan orang Malaysia.

Bas yang kami naiki kerap membunyikan hon. Sepanjang perjalanan, hon dibunyikan ketika mahu memotong bagi memberitahu pemandu atau penunggang di depan atau dari arah bertentangan.

Sebelum itu, kami singgah makan di restoran Malaysia dan Singapura Di Phom Penh. Menu disediakan dalam Bahasa Melayu, misalnya roti canai, roti telur, nasi lemak, nasi goreng dan nasi campur.

Pekerja restoran berkulit mulus, bertanya penulis dalam Bahasa Melayu. Menurutnya, dia tahu berbahasa Melayu kerana di bersekolah aliran Melayu di kampung asalnya di Kampung Cham.

Sepanjang perjalanan ke Phnom Penh juga kelihatan banyak pusat Islam. Di beberapa tempat, ada kilang batu bata. Batu merah yang berongga itu dibakar menggunakan kayu getah.

Di tanah subur, kelihatan ladang kacang tanah. Di Phnom Penh, kami turut melawat muzium negara dan Killing Field, kawasan yang menjadi saksi pembunuhan kejam Pol Pot.

Pada zaman pemerintahan rejim Khmer Rouge sekitar 1975, 20,000 penduduk Kemboja di­seksa dan mayat mereka di­timbus dalam lubang cetek di kawasan yang asalnya jirat Cina.

Selain itu, kami mengunjungi pasar malam di Phnom Penh menaiki tuk-tuk dengan bayaran AS$4 (RM12) bagi satu perjalanan.

Source: Harian Metro Malaysia Online

UTeM tingkat usaha wujud teknologi inovasi


MELAKA 5 April - Pelbagai usaha diambil oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang penyelidikan selaras dengan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi berasaskan bidang pengajian teknikal.

Sesuai dengan status tersebut, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM mengambil inisiatif menganjurkan dialog penerangan dan peluang pembiayaan dana yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membiayai penyelidikan oleh penyelidik UTeM.

Dialog sehari dianjurkan bersama KPT itu bertujuan menerapkan budaya inovasi dalam kalangan tenaga pengajarnya ke arah usaha menjadikan universiti itu sebagai pelopor dalam penciptaan terbaru.

Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT), Prof. Dr. Ir. Mohd. Jailani Mohd. Nor berkata, penyelidik UTeM wajar merebut peluang dan bersaing dengan penyelidik dari universiti lain bagi meraih dana yang disediakan oleh KPT.

''Bagaimanapun, ingin kita tekankan bahawa penyelidikan yang dijalankan seharusnya bersifat fundamental dan selaras dengan keperluan negara pada masa kini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada program penerangan kepada penyelidik UTeM yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah CRIM, Dr. Azizah Shaaban.

Menurutnya, penekanan kepada inovasi amat penting kerana ia merupakan satu konsep yang tulen dalam menghasilkan sesuatu produk.

Kata beliau, walaupun ketika ini pelbagai usaha dan hasil inovasi kejuruteraan telah dihasilkan, namun UTeM perlu memberi penekanan berbeza agar produk yang dihasilkan itu menampakkan kegunaan terus kepada industri.


Source: Utusan Malaysia Online.

Bila Di Pantai Penyabong Endau, awas babi hutan

Oleh Ikhwan Muhammad , bhjb@bharian.com.my

2011/04/22




Imej Pantai Penyabong dicemari haiwan liar, ternakan lembu

ENDAU: Pantai Penyabong adalah antara destinasi percutian yang terkenal di Mersing, yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga serta rakan pada hujung minggu dan cuti umum.

Namun, orang ramai yang menggunakan jalan raya untuk pergi ke pantai berkenaan perlu berhati-hati serta tidak memandu laju kerana bahaya yang boleh menimpa mereka secara tiba-tiba. Selain ternakan milik penduduk yang berkeliaran di kebanyakan lokasi sepanjang laluan berkenaan, kumpulan babi hutan juga sering melintas secara mengejut tanpa mengira waktu yang boleh mengundang kejadian tidak diingini, jika pemandu tidak berhati-hati.

Pengunjung dari Batu Pahat, Sayuti Saliman, 42, berkata selain terpaksa mengelak najis lembu yang bertaburan atas jalan raya di laluan ke pantai berkenaan, pemandu juga perlu berhati-hati kerana babi hutan dan lembu sering melintas.

Beliau yang sudah beberapa kali mengunjungi Pantai Penyabong, mengakui keindahan dan kemudahan chalet yang disediakan di kawasan itu memang menarik dan sesuai untuk dijadikan destinasi rekreasi bersama keluarga.

“Saya suka ke sini, cuma perjalanan untuk sampai di sini agak terganggu akibat sikap tidak bertanggungjawab penternak yang membiarkan lembu berkeliaran dan tidur atas jalan raya, selain meninggalkan najisnya yang mengotorkan kenderaan.

“Pernah sekali, ketika mengelak daripada terlanggar sekumpulan lembu, tiba-tiba babi hutan pula muncul secara tiba-tiba keluar dari belukar berhampiran, nasib baik tidak berlaku kemalangan,” katanya.

Tinjauan Edisi Johor ke pantai itu baru-baru ini mendapati masalah berkenaan lebih ketara pada waktu petang dan kelibat sekumpulan babi hutan melintas tanpa menghiraukan kenderaan turut sempat dirakamkan.

Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan babi hutan berlaku di kawasan itu, selain kereta penduduk dan pengunjung dari luar juga pernah terbabit dalam kemalangan, namun setakat ini tiada membabitkan kehilangan nyawa.

Justeru itu, bagi menjaga imej Pantai Penyabong serta mengurangkan risiko kemalangan, penduduk dan pengunjung berharap pemilik haiwan terutama lembu, mengurung ternakan mereka khususnya pada waktu malam.

Pemilik kebun di kawasan berkenaan juga perlu sentiasa membersihkan semak-samun bagi mengurangkannya menjadi habitat babi hutan.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Dewan Bandaraya Ipoh

By Idris Ismail Talu.

Dewan Bandaraya Ipoh - suatu bangunan lama yang cukup menarik, terletak di antara stesen keretapi Ipoh dan Masjid Sultan Idris Shah Kedua (Masjid Negeri).



Stesen Keretapi Ipoh Di waktu Malam

By Idris Ismail Talu.

Keindahan stesen keretapi Ipoh di waktu malam yang hening ini.



CLICK NOW

Tajuk Kegemaran