TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 11 April 2011

Sinan arkitek unggul Empayar Uthmaniah

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

ISTANA Topkapi di Istanbul menjadi mercu tanda kejayaan Empayar Uthmaniyah di Turki dan secara tidak langsung ia juga menjadi bukti kecemerlangan empayar Islam ini dalam bidang seni bina.

Kerja-kerja pembinaan dalam kawasan Empayar Uthmaniah terletak di bawah bidang kuasa ketua arkitek yang berkhidmat dan melaporkan semua perkara secara terus kepada sultan. Salah seorang ketua arkitek Uthmaniyah yang mempunyai bakat dan kemahiran luar biasa dalam bidang seni bina ialah Sinan.

Sinan dilahirkan pada tahun 1490 Masihi di sebuah wilayah kecil di luar Anatolia. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga seniman yang mahir dalam kerja-kerja pembinaan melibatkan batu dan kayu. Setelah dewasa, Sinan membantu keluarganya dalam perniagaan ini sebelum berhijrah ke Istanbul.

Setelah sampai di Istanbul, beliau mendapat pendidikan dalam bidang pertukangan di sebuah sekolah persediaan yang ditubuhkan oleh Empayar Uthmaniah. Selepas itu, Sinan berkhidmat sebagai tentera yang dikenali sebagai Janissari ketika pemerintahan Uthmaniah.

Bakat dan kesungguhan beliau ketika berkhidmat di dalam pasukan tentera Uthmaniah dihargai dengan dianugerahkan beberapa kenaikan pangkat seperti kapten pasukan tentera pejalan kaki, kemudian komander pasukan pemanah dan seterusnya sebagai sarjan pasukan tentera elit yang menjaga keselamatan Sultan.

Sewaktu berkhidmat sebagai tentera elit, bakat beliau dalam seni bina telah diketengahkan oleh seorang arkitek diraja yang bernama Lutfi Pasha.

Ia bermula dalam satu kempen ketenteraan dalam kemaraan tentera Uthmaniah di Vienna di bawah pimpinan Sultan Sulaiman pada awal abad ke 16 Masihi. Ketika tiba di tempat bernama Moldavia, pasukan tentera Uthmaniah menghadapi masalah untuk menyeberangi sungai.

Oleh itu, pasukan tentera berusaha beberapa hari untuk membina jambatan tetapi usaha mereka gagal kerana jambatan tersebut tenggelam di dalam lumpur dan hanyut dibawa arus.

Arkitek diraja yang mengikuti kempen tersebut telah mengarahkan Sinan untuk mengetuai pasukan yang baru dalam membina jambatan yang diperlukan dan beliau berjaya melakukannya.

Dalam satu lagi kempen ketenteraan, Sinan telah diarahkan membaikpulih dua buah makam ulama Islam di Baghdad selepas tentera Uthmaniah berjaya memasuki Baghdad. Makam dua orang ulama Islam yang dibaik pulih oleh Sinan ialah makam Abu Hanifa dan makam Abd. al-Qadir al-Gilani.

Beliau menggunakan teknik binaan yang hampir sama dengan binaan kompleks Masjid Sulaiman yang dibina kemudiannya iaitu menggunakan batu bata sebagai struktur.

Setelah banyak kali menyertai kempen ketenteraan, beliau dilantik sebagai arkitek diraja pada tahun 1537.

Beliau telah berjaya mengekalkan kedudukan di dalam jabatan arkitek diraja di bawah pemerintahan beberapa orang Sultan Uthmaniah seperti Suleiman I, Selim II dan Murad III. Kejayaan yang paling ulung ialah dilantik Ketua Arkitek Diraja dan diberi gelaran Mimar Sinan Pasha.

Beliau membina lebih 300 binaan terdiri daripada kompleks masjid, makam, sekolah dan tempat mandian awam. Antara seni binanya yang dikagumi sehingga ke hari ini adalah Kompleks Masjid Sultan Sulaiman dan Kompleks Masjid Sultan Selim.

Kedua-dua seni bina ini dikatakan mempunyai saiz kubah terbesar pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Selain kubah, beliau juga mempunyai gaya tersendiri dalam mencipta bentuk tangga di empat menara yang tinggi di setiap kompleks masjid yang dibina. Tangga yang dicipta kelihatan seakan-akan terjalin.

Selain membina bangunan yang besar dan indah untuk kegunaan empayar, Sinan juga ditugaskan memantau dan membaiki sistem pengairan di dalam empayar.

Beliau perlu mengenalpasti masalah yang dihadapi penduduk dan menyelesaikan masalah bekalan air terutamanya ke kawasan bandar.

Sumber air sering terletak di kawasan luar bandar dan beliau telah mencipta sistem pengairan yang baik bagi bandar Istanbul yang melibatkan sistem pengairan bawah tanah.

Sistem ini membantu penyaluran bekalan air bersih ke kawasan masjid, istana dan rumah mandi awam.

Kejayaan Sinan dalam seni bina juga disokong oleh faktor penaung iaitu Sultan Sulaiman yang amat mengambil berat tentang seni bina di dalam zaman pemerintahan baginda.

Antara ciri seni bina yang digemari oleh Sultan Sulaiman dan Sinan adalah penggunaan jubin Iznik dalam hiasan dalaman seni binanya.

Bahan ciptaan seni bina Mimar Sinan ada dalam pameran Al-'ilm: Sains dan Innovasi Dunia Islam yang sedang berlangsung dari 24 Februari - 29 Mei 2011 di Galeri Khas 2 Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran