TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 7 April 2011

Bangunkan bakat jadi keutamaan - Zeti

KUALA LUMPUR 7 April - Pembangunan bakat dalam sektor kewangan merupakan keutamaan strategik Malaysia dan pendekatan menyeluruh diambil di keseluruhan spektrum industri perkhidmatan kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, tujuan utamanya adalah menyediakan lebih ramai bakat sektor kewangan dengan kemampuan bertaraf dunia bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan.


''Kebanyakan inisiatif menyokong strategi-strategi tersebut melibatkan pelbagai disiplin dan peringkat.

''Pendekatan itu berasaskan perkongsian komitmen dengan industri dalam bentuk komprehensif, koordinasi serta kolaboratif. Ia merupakan harapan terbaik untuk meningkatkan keyakinan kepada cabaran modal insan yang dihadapi sekarang,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Institut Kewangan Asia (AIF) Antarabangsa 2011 di sini hari ini.

Simposium dua hari itu bertemakan Pembangunan Bakat: Paradigma Baru.

Tambah Zeti, dengan sokongan kukuh daripada semua yang terlibat dalam industri, sumbangan kritikal dan berkekalan dapat dilakukan dalam membina bakat mahir untuk industri.

Zeti berkata, sektor kewangan telah menyumbangkan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 11.7 peratus pada 2009 berbanding 9.2 peratus pada 2000.

''Begitu juga, pertumbuhan pekerjaan dalam sektor kewangan akan terus tumbuh dengan peningkatan permintaan terhadap kemahiran khusus dan kepakaran dipertingkat dalam kewangan.

''Dalam landskap kewangan yang berubah, tenaga kerja dalam sektor kewangan perlu bersedia menghadapi cabaran serta dilengkapi dengan kemampuan untuk berjaya,'' jelasnya.

Katanya, pembaharuan peraturan dalam sektor kewangan beserta standard dan keperluan baharu dan kemunculan disiplin risiko baharu serta perubahan asas dalam standard pelaporan kewangan turut memerlukan profesional kewangan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran baharu.

Begitu juga, kekurangan bakat terus ketara dalam bidang-bidang pertumbuhan tinggi seperti pengurusan kekayaan, kewangan Islam dan perkhidmatan perundingan pelaburan.

Zeti juga berkata, cara pemikiran yang baharu dan inovatif tentang program pembangunan bakat, pemprosesan dan keupayaan diperlukan dan oleh yang demikian, cabaran modal insan perlu didekati dengan set penyelesaian yang berbeza.

Source: Utusan Malaysia Online.

2 ulasan:

Rozali berkata...

Assalamualaikum En Idris

moga Allah memberi hidayah kepada keluarga Zeti ini agar dapat menegakkan syiar Islam terutamanya dlm bidang kewangan

Wassalam

Idris Talu berkata...

Wa'alaikumussalam En Rozali,

Kita bersyukur kehadrat Illahi kerana memberikan kita orang-orang seperti Tan Sri Dr Zeti dan keluarganya.

Ayahandanya, Prof DiRaja Ungku Abd Aziz berjaya mengembangkan Universiti Malaya mengikut keperluan negara.

Ungku Abd Aziz jugalah yang membuat penyelidikan dan cadangan sehingga terwujudnya Tabung Haji yang belum ada tandingannya di dunia ini dari segi sumbangannya kepada umat Melayu/Islam di Malaysia dan dunia amnya.

Sumbangan keluarga ini cukup besar - semoga Allah membalas sumbangan keluarga ini sebaiknya.

Wassalam.

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran