Teks dan gambar Kusyi Hirdan
MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang dan mungkin juga negeri lain sudah pernah melihat dan merasa buahnya.
Tetapi percayalah, masih ramai yang tidak tahu. Apa dan bagaimanakah buah perah? Ia asing kepada kita tetapi tidak di Raub, Pahang.
Buah Perah terkenal di Raub tetapi malangnya ketika mengunjungi Raub beberapa minggu lalu, bukan musimnya. Buah perah seperti buah kayu yang lain juga, ada musim dan tidak ada sepanjang tahun. Walaupun ada banyak dijual di pasar yang sudah dijeruk, untuk melihat buah yang sebenar tentu saja sukar.
Daripada orang tempatan, kami diberitahu mengenai sebuah kampung tidak jauh dari bandar yang orang kampungnya sentiasa mempunyai stok buah perah di rumah mereka. Nama kampung itu, Kampung Batu Malim. Tidak sukar hendak ke sana kerana ikut saja tanda arah yang diberikan di tepi jalan.
Batu Malim terletak kira-kira 22 kilometer dari Raub. Melalui pertanyaan pertama dengan orang kampung mengenai buah perah, kami disuruh bertanya pula pada seorang ‘ustazah’ yang mempunyai restoran di pinggir sungai Lipis berdekatan jambatan di situ. Disebabkan hanya ada satu saja jambatan di Batu Malim maka senang kami menjejak restoran ‘ustazah’.
Ternyata ustazah yang dimaksudkan memang tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis mengenai buah perah. Kami dipertunjukkan beberapa biji buah perah yang sudah dikupas, juga buah yang sudah ditumbuk dan dijeruk.
“Buah perah seperti buah getah saja. Isinya dikeluarkan dan dijemur sehingga kering. Ia perlukan cuaca panas dan kadangkala sehingga tiga minggu untuk menjadikan ia benar-benar kering. Tahap keringnya sehingga buah itu menjadi rapuh dan mudah dipatahkan,” kata pembantu ustazah kepada kami sambil menambah, proses seterusnya ialah menumbuk dengan sedikit air sebelum dijerukkan di dalam balang.
Setelah dijeruk, buah perah itu dipanggil asam rong. Mengapa dipanggil demikian tidak diketahui tetapi begitulah namanya sejak sekian lama.
Dinamakan asam, rasa asam rong ini tidak masam sebagaimana asam keping. Ia agak lemak dan dimasukkan ke dalam gulai untuk memekatkan kuah dengan rasanya yang tersendiri. Kena cuba baru tahu dan menikmatinya.
“Asam rong yang kami beli ini harganya RM20 sekilo,” beritahu ustazah.
Harganya agak tinggi memandangkan untuk mendapatkan buah perah bukan proses yang mudah. Ia buah yang berada di dalam hutan. Selain itu, untuk menjadikannya jeruk juga perlu mengambil masa.
“Gulai asam rong perlu pedas kerana itulah keistimewaannya. Untuk seekor ayam biasanya saya menggunakan semangkuk kecil lada dan kira-kira 300 gram asam rong. Kuah kena pekat. Antara penyedap masakan asam ini ialah terung pipit dan pucuk paku. Boleh juga ditambah petai sekiranya suka,” kata ustazah yang sudah lebih 40 tahun menetap di Batu Malim.
Ustazah berasal dari Bota Kanan, Perak dan berhijrah ke situ bersama suaminya selepas setahun berumahtangga.
Hari yang sudah petang dan lauk pauk di restoran ustazah sudah habis membuatkan hari itu kami tidak berjaya menemui gulai asam rong serta tidak dapat berbual panjang dengan ustazah.
Namun, wanita yang baik hati itu sudi memasakkan lauk popular itu untuk Harian Metro keesokan harinya.
Hari kedua, kami ke tempat sama sebelum waktu makan tengah hari dan terus disambut ustazah yang menyangka kami tidak jadi datang. Masakan kami tidak datang kerana bukan mudah kami dapat merasai gulai asam rong di Kuala Lumpur!
Nampaknya bahan untuk memasak gulai asam rong sudah disediakan ustazah dibantu anak-anaknya di kedai itu. Dapat juga kami saling berkenalan dan bersembang.
“Nama saya Teh Zainah Kulop Mat Dait. Saya digelar ustazah di sini kerana dulu saya mengajar bahagian agama di kelas Kemas,” cerita ustazah, 70, yang membuka kedainya di situ tujuh tahun lalu. Begitulah sejarah Teh Zainah yang lebih dikenali dengan panggilan ustazah oleh penduduk kampung.
Kedai yang diberi nama Santapan Warisan Kedai Kak Teh selain menjual nasi campur juga menjual pisang dan keledek goreng serta laksa utara dan mi kari yang popular kerana kesedapannya.
“Biasanya orang yang baru pertama kali makan gulai asam rong ini mereka akan sangka ia seperti kari. Bila rasa baru tahu ia langsung tak sama dan kepedasannya yang menyengat adalah tarikan utama resipi ini,” katanya.
Pedas adalah identiti gulai asam rong. Selain itu, asam keping, kunyit dan asam rong mesti tepat rencahnya.
Setelah merasai gulai yang dimasak ustazah, penulis merasakan kepekatan, garam dan kepedasan sebenarnya boleh mengikut selera kita sendiri. Sebabnya, setiap orang kadang�kala tidak suka terlalu pedas berbanding orang tempatan yang sudah biasa dengan cara begitu.
Melalui sembang dengan pengunjung gerai ustazah, mereka memberitahu, boleh dikatakan semua rumah di kampung sekitar ada menyimpan asam rong di rumah mereka. Mungkin sama seperti kita yang mempunyai stok asam keping.
“Kenduri kahwin atau kenduri-kendara biasa, gulai asam rong sentiasa menjadi menu utama tetapi bukan semua orang pandai membuatnya. Sekiranya tidak pandai, rasa gulai tak menjadi. Antara yang sedap memasak gulai asam rong, ustazahlah!” kata seorang penduduk kampung.
Selain ayam, gulai asam rong boleh juga menggunakan ikan dan daging rusa. Untuk ikan, biasanya ia menggunakan ikan keli
Source: Harian Metro Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Isnin, 9 Januari 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Sumber: Berita Minggu Malaysia Online. Oleh Mohd Azis Ngah , azis@bharian.com.my Tarikh: 2010/08/08 Aktiviti perlombongan emas punca penghij...
8 ulasan:
Kali pertama merasa gulai rom (asam rong)tak bekejar ke rumah termenung tuan haji! ha ha ha
Gulai rom asli tidak dirampai dengan ikan atau daging tetapi daun betik semata.
Jeruk perah tidak sama dengan asam rom (rong). Jeruk perah ialah buah perah kena direbus terlebih dahulu. Setelah masak barulah dijeruk. Jeruk perah dicampur bersekali jeruk petai. Apabila dimakan bersama nasi. Aromanya apatah lagi setelah kita menyenangkan diri (ease) baunya satu selekoh belum tentu hapus, aduh!
Betul Tuan Haji Hashim,
Jeruk perah dijeruk macam menjeruk petai juga. Cara memakannya juga macam memakan jeruk petai. Jeruk perah banyak dibuat di negeri-negeri yang banyak buah perah - seperti Pahang, Perak, Kelantan dan sebagainya.
Asam rom (sesetengah tempat menyebutnya sebagai rong) hanya dibuat di Pahang saja. Semasa saya duduk di Kuala Lipis dulu, kami mencari asam rom sampai di Kampung Merting (pertengahan jalan Sungai Pahang) antara Kuala Tembeling dan Kuala Tahan. Di situ banyak dibuat asam rom ini.
Assalamualaikum..
Tumpang bersembang pasal gulai asamrong ni.. teringat semasa pertama kali org kampong saya ikut rombongan menghantar saya ke rumah mertua masa majlis sambut menantu tahun 1999. Semua menyangka gulai asamrong ayam masa kenduri tu gulai kari.. semua confident je mencedok ke nasi. Tapi bila masing2 makan.. masing2 terkejut sebab terlampau pedas.. hehe.. kelakar ada.. kesian pun ada.. hehe..
Memang betul gulai asamrong di Raub (kg mertua sy Kg. Ulu Sungai tak jauh dari Teknology Park) memang gunakan cili padi kampong yang banyak. Kalau kurang maka kurang ummphh la gulai tersebut. Rencahnya memang nak kena pandai agak.. kalau terkurang asamrong gulai kurang lemak & cair.. kalau terlebih asamrong pula.. gulainya terasa pahit.. Pertama kali makan tak terasa sedapnya lagi.. tapi masuk 2 atau 3 kali makan.. boleh ketagih dibuatnya.. hehe.. kat rumah saya pun sentiasa simpan stok asamrong yang mertua buat.
Dalam gambar kat atas tu.. ada ramuan yang tertinggal (atau mungkin kehabisan stok masa tu).. sepatutnya kena letak sedikit daun cemomok (spt daun kunyit tp agak tebal & hijau gelap warnanya & berbau seperti pepijat) barulah orang kata betul2 pior gulainya.. saya selalu bawak balik ke PJ daun cemomok kemudian dibiarkan kering & disimpan. Bila nak masak gulai asamrong.. boleh gunakan daun cemomok yang dikeringkan tu sebab di KL ni.. manalah nak jumpa daun tu.. kesum & bunga kantan mudah nak cari.. saya pernah masukkan entry pasal buah perah (edisi mencari buah perah di hutan) & gulai asamrong dalam fotopages saya tak lama dulu.
Wa’alaikumussalam Puan Madiha @ Ratna,
Terima kasih atas catatan menarik dari Puan.
Saya juga mengalami hal yang hampir serupa semasa mula berkhidmat di Kuala Lipis awal tahun 1971 dahulu. Bila saya tengok kuah gulai asam rong, hati kecil saya berkata-kata, “Bolehlah ke aku makan benda ini?” Bila sudah makan dan mulai berpeluh – barulah saya tahu rupanya sedap. Pertama kali merasa gulai asam rong, saya sudah terpikat dengannya.
Sebenarnya, jenis sayuran yang nak dimasukkan ke dalam gulai asam rong itu terpulang kepada selera masing-masing. Pengalaman saya selama berada di Pahang, ada yang memasukkan putik labu yang kecil, ada juga yang masukkan hirisan betik muda @ mengkal – sedap belaka.
Berkenaan daun cemomok itu biasanya mudah diperolehi di Pahang saja – mungkin kerana kerap digunakan sebagai pelengkap dalam gulai asam rong. Satu lagi daun yang jarang kita gunakan ialah daun salam.
Wassalam.
Mungkin ada pembaca yang boleh tambah info daun cemomok?
Betol ke kalau tak kene cara asam rong betukar jadi tanah
Daun cemomok, suami saya org jerantut panggil daun kesing, mmg bau mcm kesing, tp bila masuk dlm gulai asam rong ni, tkde dah bau tu. Menjadikan gulai asam rong lg sedap. Klu sebelah gombak ni, selalunya org asli yg byk guna daun kesing dlm masakan mereka.
Catat Ulasan