TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 27 Januari 2012

Golongan profesional dekati Rela

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN, pengarang@utusan.com.my

PERSEPSI masyarakat terhadap sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kini semakin berubah apabila dalam tempoh tiga tahun bilangan keanggotaannya meningkat daripada 530,000 orang pada 2008 kepada 2.874 juta orang tahun lalu walaupun sasaran awal hanya dua juta orang menjelang akhir tahun ini.

Bayaran saguhati perlindungan insurans kemalangan diri anggota Rela secara percuma menambah daya tarikan kepada pasukan sukarela ini. Insurans percuma itu meliputi RM40,000 jika meninggal ketika bertugas dan RM20,000 jika meninggal di luar tugas, perbelanjaan perubatan RM2,000 (maksimum tahunan) dan kematian ilat RM20,000.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, semua anggota Rela yang ditimpa bencana ketika menjalankan tugas dimasukkan ke wad kelas dua tanpa dikenakan sebarang caj rawatan. Mereka diberi uniform Rela secara percuma, kad keahlian Rela, elaun bertugas RM4 sejam, menghadiri latihan dan kursus di Pusat Latihan Rela dengan dibayar elaun serta berpeluang menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan Rela.

Semua tawaran itu sudah cukup untuk menarik minat golongan profesional seperti doktor, jurutera, guru, pesara kerajaan, petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan, anak-anak muda dan pelajar menjadi duta kecil kerajaan dalam membantu menghidu permasalahan rakyat, mendapatkan maklumat mengenai reaksi rakyat ke atas apa-apa dasar semasa serta mendapat maklumat berkaitan keselamatan setempat.

Anggota Rela turut melakukan khidmat komuniti seperti melaksanakan Program Khidmat Bakti Rela, memberi bantuan awal kes kecemasan, membudayakan nilai-nilai murni serta terlibat dalam khidmat kesejahteraan dan keharmonian penduduk setempat, tugas tersebut mampu mendekatkan diri mereka dalam masyarakat.

Di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam peranan Rela yang dulu lebih terarah kepada mengawal kesesakan lalu lintas semasa kenduri kahwin kini bakal diantarabangsakan apabila khidmat mereka diperlukan semasa bencana alam melanda negara luar.

Mereka juga mahu dengan kelahiran semula Rela konsep barunya berlandaskan kepada teras 4K iaitu Keselamatan, Keamanan, Kesejahteraan dan Keharmonian yang pendekatannya membawa kepada empat kepelbagaian iaitu aktiviti ekonomi, golongan masyarakat, kaum dan etnik serta adat dan kebudayaan.

Seramai 4,701 anggota Rela kini boleh dilihat melakukan rondaan bersama anggota polis untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan di empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor Baharu dan Pulau Pinang manakala di Sabah dan Sarawak membabitkan 920 anggota.

Tugas teras Rela dalam mengawal keselamatan dan keamanan kawasan ialah membantu mewujudkan konsep kawasan dan bandar selamat, menjaga kawasan larangan seperti punca elektrik dan punca air serta pintu masuk negara (yang tidak sah) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Sejajar dengan kematangan usia Rela yang bakal menginjak ke usia 40 tahun, Program Perhimpunan Perdana Rela Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlangsung pada 28 Januari (Sabtu ini) di Dewan A, MAEPS Serdang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk meraikan dan menghargai jasa anggota-anggota Rela yang setia berbakti dan sentiasa bersedia memberikan bantuan tanpa mengira masa.

Hampir 20,000 anggota Rela dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan yang julung-julung kali diadakan ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang seperti pertunjukan, penerangan mengenai fungsi dan peluang menyertai Rela, kempen derma darah, demonstrasi serta gerai pameran membabitkan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Orang ramai yang berminat boleh menyertai pasukan sukarela ini apabila mengunjungi MAEPS asalkan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah, berusia 16 tahun ke atas dan sihat tubuh badan. Pegawai-pegawai Rela akan memberikan penjelasan lanjut untuk mereka yang mahu menyertai pasukan ini.

Bagi pelajar sekolah mereka akan berpeluang menyertai Kadet Rela di sekolah-sekolah manakala bagi penuntut universiti bakal menyertai Relasis (Ikatan Relawan Siswazah) apabila cadangan penubuhannya diperluaskan ke semua sekolah dan universiti (setakat ini ia hanya Relasis hanya ditubuhkan di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat).

Sejajar dengan konsep 1Rela, semua kaum kini semakin berminat untuk menyertai pasukan Rela apabila bilangan masyarakat Cina, India, Orang Asli, Bidayuh, Iban dan Dayak yang mendaftarkan diri untuk menyertai pasukan ini bertambah dari setahun ke setahun.

Ikatan perpaduan yang terjalin hasil daripada sesi latihan yang diadakan di pusat-pusat latihan Rela di seluruh negara mampu mewujudkan satu suasana muhibbah di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dan itulah hasrat yang tersirat di sebalik aktiviti sukarelawan pasukan yang telah wujud secara tidak rasmi sejak 1948 dan ditubuhkan secara rasmi pada 1972.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran