TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 25 Jun 2011

Pengajaran berguna dari Greece

Ku Seman Ku Hussain

KETIKA Athens dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2004, Greece sebuah negara maju, mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Greece menjadi impian negara-negara lain khususnya dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk berada pada kedudukan ekonomi setanding Greece.

Malah negara ini menjadi lambang kekayaan dan kehidupan mewah apabila berada di tangga ke 31 kedudukan ekonomi tertinggi di dunia.

Untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece membelanjakan RM34 bilion termasuk RM3.6 bilion untuk keselamatan selepas fobia tragedi serangan pengganas di New York pada 11 September 2001. Malah Sukan Olimpik juga diasaskan di Athens yang kemudiannya acara sukan paling berpengaruh di dunia. Kegemilangan sejarah Olimpik dan kecemerlangan penganjuran Sukan Olimpik 2004 kini terpadam apabila empayar ekonomi Greece berkecai, meneruskan hidup dengan berhutang dan beban hutang terlalu tinggi seolah-olah tidak terbayar.

Sebagai negara yang dikagumi dalam EU, Greece memang dicemburui oleh rakan-rakan. Tetapi keadaan yang menjurus kepada kemusnahan sebuah negara yang bertamadun tinggi ini tentunya memberikan banyak iktibar.

Selepas Amerika Syarikat (AS) dilanda kemelesetan ekonomi yang teruk pada 2008 era awal Presiden Barack Obama, iaitu yang kedua teruk selepas 1930-an, kini Greece menjadi tumpuan dunia kerana keruntuhan empayar ekonominya. Greece diambang muflis dan rakyat menyalahkan kerajaan membuat keputusan silap mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak RM478.7 bilion. Greece juga masih menanggung beban hutang lain yang tinggi iaitu RM1.48 trilion.

Kegawatan ekonomi di peringkat yang paling bahaya membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Berpuluh ribu penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya dalam keadaan negara yang terumbang ambing di ambang muflis. Rakyat percaya krisis ekonomi yang teruk itu bukan disebabkan oleh kegawatan ekonomi global walaupun sebuah lagi negara dalam EU, Sepanyol mendepani nasib yang sama.

Rakyat yang pernah hidup mewah walaupun sebelum ini negara menanggung beban hutang yang tinggi tidak boleh menerima hakikat yang sebenarnya. Greece membuat kesilapan besar sebelum ini apabila memilih pendekatan popular untuk menyenangkan hati rakyat yang bermewah dengan hutang. Rakyat tidak diberi maklumat sebenar kedudukan ekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan kerana menjadi percaturan politik.

Lebur

Dari sebuah negara yang menduduki tangga ke 22 pembangunan manusia yang mempunyai kehidupan yang berkualiti di dunia, Greece kini menunggu masa untuk lebur dan ternyata IMF bukan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam kes Greece, satu lagi yang membuktikan sistem kewangan yang dilaksanakan oleh IMF lebih kepada menindas berbanding membantu meringankan beban.

Greece terperangkap dengan IMF yang sebelum ini telah memudaratkan banyak negara di Asia yang mendapatkan pinjaman untuk keluar dari belenggu krisis ekonomi global pada 1997 lalu. Banyak negara terus menanggung beban hutang, pada masa yang sama tidak menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi. Greece kini berada dalam keadaan yang sama, bayaran balik kepada IMF dan pendapatan yang kurang dari perbelanjaan negara terus menjerumuskan Greece dalam keadaan sangat genting.

Tindakan drastik kerajaan memotong gaji di sektor awam dan bayaran pencen serta menaikkan kadar cukai mencetuskan kemarahan rakyat. Kempen berjimat cermat yang dianjurkan oleh kerajaan mendapat tentangan hebat. Tetapi untuk masa terdekat, ini saja tindakan segera yang boleh dibuat, sekurang-kurang untuk mendapatkan sedikit “nafas”. Bagaimanapun rakyat sedikit pun tidak mahu berganjak, mereka mahu hidup mewah seperti sebelum 2009. Greece menjadi sebuah negara malang apabila rakyat tidak sanggup berkorban sedikit pun selepas sekian lama hidup mewah.

Selepas 2009, Greece menjadi negara kedua paling rendah dalam Indeks Kebebasan Ekonomi selepas Poland dan menduduki tangga ke 81 di dunia. Semua ini adalah kesan daripada penyelewengan politik dan ekonomi yang tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan. Sebelum ini kerajaan mengambil pendekatan untuk kekal berkuasa dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Hakikatnya kedudukan ekonomi tidak mengizinkan dan kerajaan gagal mengatasi peningkatan kadar pengangguran yang menyumbang kepada krisis ekonomi.

Rakyat mesti menerima hakikat kedudukan Greece pada masa ini. Tanggungjawab kerajaan pula mesti menjelaskan tentang hakikat sebenar. Tetapi keadaan ini tidak berlaku ketika krisis ekonomi mula terasa pada 2009, malah rakyat digula-gulakan dengan kemewahan, hakikat itu semuanya dari hutang. Greece memilih gaya hidup “biar papa asal bergaya”.

Tinjauan yang dibuat oleh The Groningen Growth and Development Centre yang dikeluarkan pada Mei lalu menunjukkan 62 peratus responden mempersoalkan kewajaran Greece membuat pinjaman IMF. Mereka menganggap itu tindakan salah dan menghancurkan negara, sementara 80 peratus pula hilang kepercayaan terhadap Menteri Kewangan Giorgos Papakonsstantinou menangani krisis ini, 97 peratus pula melahirkan kebimbangan peningkatan serius kadar pengangguran.

Ketidakstabilan

Kadar inflasi yang tinggi iaitu 4.5 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2009 dan kadar pengangguran meningkat menjadi 16.2 peratus juga menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar mencatatkan RM943.4 bilion tetapi defisit belanjanya mencatatkan RM73.2 bilion. Pergolakan politik telah memburukkan lagi keadaan ketika kerajaan sedang bertungkus lumus menyelamatkan keadaan yang sangat genting ketika ini. Oportunis politik kalangan pembangkang menyemarakkan kemarahan rakyat dan mendesak Perdana Menteri George Papandreou meletakkan jawatan.

Papandreou sebelum ini mengambil pendekatan popular dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Ternyata ini bukanlah tindakan bijak, apa lagi mendapatkan pinjaman dari IMF untuk meneruskan “kegemilangan” palsu sebuah negara yang dulunya gemilang. Kerana itu apabila ada kerajaan yang awal-awal lagi mengaku kedudukan kewangan yang tidak kukuh, rakyat harus menerima hakikat ini. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi misalnya, rakyat juga perlu sedar bahawa ada ketikanya mereka perlu berkorban sedikit untuk menikmati kesenangan yang berpanjangan.

Bagi oportunis politik, keadaan tidak stabil terutama ekonomi adalah ruang untuk menawan hati rakyat. Mereka menyalakan kemarahan dan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya. Di Greece, banyak yang terperangkap dalam permainan politik seperti ini, padahal tindakan mereka sedikit pun tidak menyumbang menyelesaikan keadaan genting yang hampir memufliskan negara. Banyak yang boleh diambil iktibar daripada tamadun Greece yang kini sudah berada di penghujungnya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 24 Jun 2011

Mamapeh @ Memancing Di Ipoh

By Idris Talu

Patin makan di awal pagi.

Patin pagi.

Lepas patin, haruan atau gabus pulak.


Patin dan haruan.



Patin lagi.

Tasik yang tenang.





Di udara tasik kami memancing merupakan laluan kapalterbang turun naik di Ipoh.

Rabu, 22 Jun 2011

Guru perlu ada ilmu psikologi

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali, rencana@hmetro.com.my

RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung.

Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.

Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.

Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.

Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa.

“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.

“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.

Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.

Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya.

Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.

“Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing.

“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.

“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.

“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.

“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.

“Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka.

“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar.

“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar.

“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.

“Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah.

“Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.

Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan.

“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.

Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:

•Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.

•Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebabkan pelajar ingin meniru dan mencuba.

•Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampingan dengan anak.

•Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.

•Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Rezeki temoleh Kenyir


Oleh Zulhilmi Hat, hilmi@bharian.com.my

Tarikh: 2011/06/18

Permintaan tinggi, harga lumayan jadikan spesies ikan sasaran pemancing


IKAN temoleh atau dikenali sebagai temelian (Probarbus jullieni) adalah ikan air tawar yang semakin pupus gara-gara sikap masyarakat yang mengamalkan kaedah tangkapan seperti menjaring, menuba dan mengebom ikan itu. Pemburuannya sukar dihalang pihak berkuasa berikutan permintaan tinggi serta tawaran harga yang lumayan di pasaran gelap manakala saiznya yang boleh mencapai puluhan kilogram setiap seekor menjadikannya sasaran pemancing. Tambahan isinya yang lazat menyebabkan ikan ini sering diburu di sungai ataupun empangan iaitu tempat pembiakan spesis omnivor ini membiak.

Pada awal Mac lalu, sebatang joran milik tukang masak dari Kenyir Lake Resort yang kebetulan memancing ikan lampan berhampiran Pangkalan Gawi, ‘terjun’ dalam tasik selepas dilarikan ikan misteri. Sangkaannya ikan jelawat yang memakan umpannya kerana Tasik Kenyir ini didiami ikan itu yang mudah dipancing menggunakan umpan buah kelapa sawit.

Masran Mohamat yang ditemui berkata, sejak kes kehilangan jorannya dilarikan ikan bersaiz mega di tebing tasik berhampiran tempat kerjanya, dia bertindak ‘merasuah’ kira-kira 50 kilogram buah kelapa sawit untuk menjinakkan ikan misteri itu.

“Selepas seminggu merasuah buah kelapa sawit yang diperam, gerombolan ikan yang kelihatan bermain-main di tengah tasik menghampiri kawasan saya memancing. Pada ketika itu joran sudah dipacakkan dengan berumpankan buah sama untuk menjinakkan ikan terbabit.
“Pada pagi sama, sebatang daripada dua joran yang diletakkan berhampiran tebing digetu ikan seakan-akan lampam sedang mencuit umpan seperti biasa.

“Tiba-tiba hujung joran melentur dengan kasar sekali menyebabkan saya bergegas mendapatkan joran itu sebelum mengaraunya hingga ke tebing. Perlawanan berlangsung hampir 30 minit dan akhirnya alangkah terkejutnya saya apabila temoleh bersaiz sembilan kilogram berjaya didaratkan,” katanya.

Katanya lagi, hari itu rezeki memihak kepadanya apabila tangkapan temoleh kedua berskala 11 kg berjaya ditangkap pada waktu petang selepas umpan yang dibaling di kawasan temoleh pertama berjaya didaratkan tadi.

“Temoleh kedua ini berbeza dari tangkapan pertama tadi. Larian padu yang dibuatnya ke kawasan terbuka tasik membuatkan saya cukup risau kerana bimbangkan tali tangsi 30 paun yang digunakan mungkin putus bila-bila masa.

“Gegelung tali pula yang memuatkan hampir 120 meter hampir habis akibat mengekang larian ikan ini seperti lembu takut dicucuk hidung. Mujurlah lubuk terbabit tidak mempunyai reba yang memihak kepada saya untuk mendaratkannya selepas 40 minit bertarung,” katanya.

Ikan temoleh ditemui membiak di Sungai Pahang dan Perak juga terdapat di Tasik Kenyir. Menurut Masran lagi ikan itu dilepaskan Jabatan Perikanan sejak lapan tahun lalu untuk membiakkan spesies terbabit dalam tasik ini.

Difahamkan ikan itu sudah membiak dengan banyaknya dan terdapat di seluruh Tasik Kenyir apabila gerombolan temoleh dapat dilihat muncul dekat tasik itu pada awal Januari hingga Mac, yang mana ketika itu berlaku aktiviti menghempas telur.

Masran menambah, keesokannya beliau memancing di tempat sama dan temoleh berskala 15 kg berjaya didaratkan dengan menggunakan umpan kelapa sawit peram.

“Seekor temoleh berskala sembilan kilogram masih hidup sehingga hari ini dalam kolam peliharaan manakala dua lagi gagal diselamatkan kerana terlalu penat selepas aktiviti menaikkan ikan ini di tebing,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Selasa, 21 Jun 2011

Majikan bangga, Sarmini terima diploma

Sarmini Muhyadi.
Foto ihsan Dr Richard Ng.
21 Jun 2011.

KUALA LUMPUR - Perasaan bangga dan terharu terpancar pada wajah pasangan majikan ketika pembantu rumah mereka, Sarmini Muhyadi menerima tepukan paling gemuruh ketika menaiki pentas untuk mendapatkan diploma dalam bidang pengurusan pada majlis konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ke-10 semalam.

Tan Choo Tang, 56, dan isteri, Wee Phooi Khuan, 47, telah membiayai sebahagian besar kos pengajian Sarmini, 28, yang bekerja dengan mereka sejak tujuh tahun lepas, selepas pembantu rumah itu menyatakan hasratnya untuk kembali ke Indonesia bagi melanjutkan pengajiannya pada 2007.


Choo Tang yang bertugas sebagai pensyarah sebuah kolej swasta, bagaimanapun telah memujuk Sarmini untuk terus bekerja dengannya sebagai pembantu rumah sambil melanjutkan pelajarannya di sini dengan bantuan Choo Tang, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga mencarikan institusi pengajian tinggi yang sesuai.

Sarmini dari Kampung Bayunmas, Jawa Tengah walaupun terpaksa menjalani pengajian separuh masa sambil bekerja sebagai pembantu rumah selama empat tahun, telah berjaya memperoleh mata purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.39.

Choo Tang berkata: "Ketika nama Sarmini diumum pada majlis konvoksyen semalam, beliau menerima tepukan paling gemuruh dan ia membuatkan kami sangat bangga dan terharu dengan kejayaannya."

Sarmini yang akan pulang ke Indonesia pada 3 Julai ini menyatakan rasa terhutang budi kepada majikannya yang telah membantu dia mencapai impiannya untuk mendapat pendidikan tinggi.

"Saya sangat berterima kasih tak terhitung nilainya, senang sekali mendapat kesempatan untuk belajar di sini sekali gus bekerja... mungkin saya yang pertama bernasib baik," katanya.

Dia yang terharu mengenang kebaikan majikannya itu berkata: "Keluarga majikan turut membantu saya membuat tugasan, terutama untuk mendapatkan maklumat bagi tugasan universiti serta membantu saya menguasai bahasa Inggeris." – Bernama

Source: Harian Kosmo Malaysia Online.

Isnin, 20 Jun 2011

Bangsa bukan penentu kecemerlangan akademik

Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SUDAH sekian lama, institusi pengajian tinggi awam negara dihadapkan pelbagai cabaran dan dugaan malah ada mempersoalkan kewibawaan institusi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Ada beranggapan institusi itu anak emas kerana sering mendapat sokongan penuh kerajaan, ada pula mendakwa institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan ketinggalan zaman kerana menawarkan program lapuk sehingga meningkat bilangan graduan menganggur.

Malah, ada suka membandingkan dengan institusi pengajian tinggi swasta yang dilihat lebih dinamik merencanakan pelbagai perancangan untuk mahasiswa.

Kritikan demi kritikan bukan saja mencalarkan reputasi IPTA malah ibarat tidak mengenang jasa terhadap budi dicurahkan dulu.

Persoalannya, mengapakah kritikan ini masih kedengaran sedangkan institusi terbabit sudah melakar nama di puncak dunia.

Apakah dengan ‘berdiam diri’ boleh menyelesaikan masalah atau mereka takut dikritik bimbang mencalarkan reputasi?

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata sebagai institusi yang mendokong aspirasi serta cita-cita pendidikan negara, IPTA perlu terus memperjuangkan agendanya tanpa perlu takut kepada kritikan.

Beliau berkata, IPTA perlu tegas dan kalis pada pendiriannya serta menjadikan kritikan itu sebagai satu lonjakan penambahbaikan kualiti sedia ada ke tahap lebih baik.

“Seharusnya setiap institusi perlu mempunyai pendirian teguh dalam mempertahankan perjuangan mendidik anak bangsa tanpa perlu gentar terhadap apa jua kritikan.

“Dalam konsep memberi pendidikan, kritikan harus dilihat sebagai cabaran besar untuk mengubah pandangan atau kelemahan institusi. Ia bukanlah satu ‘perangkap’ untuk mendedahkan kepincangan sebaliknya satu teguran bagi memperbaikinya.

“Ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul salah faham apatah lagi jika membabitkan reputasi mahasiswa dan institusi sendiri,” katanya.

Isu kritikan membabitkan IPTA bukan baru apatah lagi institusi terbabit paling ramai mengeluarkan graduan saban tahun.

Dengan 20 IPTA, jumlah graduan dilahirkan menjangkau puluhan ribu menjadikan pasaran kerjaya cukup sempit bagi mereka memperoleh keputusan cukup makan atau bukan daripada program profesional.
Kesukaran memperoleh pekerjaan ditambah tanggapan program ditawarkan tidak relevan atau menepati keperluan semasa menyebabkan graduan terpaksa menganggur.

Akibatnya institusi ditempelak kerana tidak peka hingga menyebabkan mahasiswa menjadi mangsa.

Beliau berkata, tanggapan itu tidak benar kerana setiap institusi pasti memikirkan kebajikan mahasiswanya dan tidak sewenang-wenangnya menawarkan program tanpa kualiti.

Malah, katanya, setiap program ditawarkan adalah sejajar dengan keperluan semasa selain tidak boleh diperlekehkan kerana di antaranya mendapat pengiktirafan profesional dan antarabangsa.

“Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak faham dan enggan membuka minda. Sekarang zaman alaf baru, jadi program ditawarkan mesti selari dengan permintaan semasa.

“Institusi awam tidak sesekali memperjudikan masa depan mahasiswa semata-mata untuk memuaskan hati pihak tertentu sebaliknya berusaha menyediakan mereka asas untuk pasaran kerjaya dan masa depan.

“Setiap program bukan picisan namun mempunyai fungsi tertentu menjana dan merangka kesinambungan negara untuk jangka masa panjang sekali gus mengisi permintaan kerjaya bukan saja bertaraf tempatan sebaliknya merentasi global,” katanya.


Mengulas pandangan skeptikal mengatakan hanya graduan tertentu memperoleh peluang pekerjaan, beliau menafikannya kerana graduan Bumiputera banyak mengisi ruang kerja profesional yang dikhususkan bangsa asing.

Menurutnya, pertikaian sama ada graduan boleh melakukannya atau tidak bukan terletak pada sesuatu bangsa namun kehendak, semangat berdaya saing serta keinginan untuk berubah.

“Malangnya ramai yang meletak dan melabelkan kemampuan mahasiswa mengikut bangsa. Tambah menyedihkan apabila bangsa sendiri mudah memperlekehkan mereka.

“Bukankah ini tidak adil kerana seperti merendah-rendahkan kemampuan sedangkan yang perlu dilakukan adalah menyokong supaya mereka tidak patah semangat mahupun rebah.

“Jika asyik mempertikaikan, bagaimana mahu berjaya. Bukan semua mampu bertahan dengan kritikan dan mengambilnya sebagai positif.

“Ia juga sekali gus bagai mempersoalkan kewibawaan sesebuah institusi bertaraf pengajian tinggi yang tenaga pengajarnya terdiri daripada kalangan ahli akademik, profesional serta berkepakaran ,” katanya.

Beliau kecewa kerana ramai menghentam kerana dikuasai perasaan tidak puas hati bukan berpihak di bumi nyata.

“UiTM mampu melahirkan graduan yang menepati pasaran malah setiap programnya mendapat pengiktirafan dunia.

“Apakah pengiktirafan ini kerana institusi hanya pandai mengangkat diri semata-mata atau orang luar sememangnya nampak kemampuan itu?” katanya.

INFO

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menumpukan kepada 10 misi utama yang disasarkan kepada institusi pengajian tinggi negara iaitu:

•Memperkasakan institusi pengajian tinggi
•Kualiti tenaga akademik
•Memartabatkan akademik dan penubuhan Majlis Profesor Negara
•Peningkatan kegiatan penyelidikan dan pembangunan
•Program pengantarabangsaan
•Pembangunan kualiti pelajar
•Kebolehpasaran graduan
•Pelan transformasi politeknik
•Transformasi kolej komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat
•Program transformasi institut pengajian tinggi swasta

Source: Harian Metro Malaysia Online

Jubah pakaian masyarakat Islam Asia Tengah


Oleh ROS MAHWATI AHMAD MOKHTAR

JUBAH sering dikaitkan dengan masyarakat Arab yang tinggal di Timur Tengah. Mengikut Kamus Dewan, jubah ialah pakaian baju panjang cara Arab (yang dipakai oleh haji dan hakim).

Sebenarnya terdapat pelbagai bentuk jubah dalam dunia Islam. Salah satu daripadanya jubah yang dipakai oleh masyarakat Islam di Asia Tengah.

Keunikan jubah di Asia Tengah adalah ia diperbuat daripada kain yang mempunyai warna-warna yang terang tidak seperti di Asia Barat yang kebanyakannya berwarna putih dan hitam.

Ia juga merupakan pakaian yang mempunyai gaya potongan dan jahitan yang berlainan berbanding dengan potongan jubah di Asia Barat.

Jubah Asia Tengah dikenali dengan pelbagai nama, antaranya ialah chapan atau khalat. Ia dipakai oleh golongan lelaki dan wanita Islam di sana. Selalunya ia diperbuat daripada sutera atau broked yang dilapis.

Jubah ini merupakan baju luar yang disarungkan ketika keluar rumah. Ia mempunyai bukaan atau belahan di bahagian hadapan bagi memudahkan pemakaian.

Ia tidak mempunyai sebarang butang atau cangkuk baju. Tetapi pemakai akan menggunakan tali pinggang yang diperbuat daripada kain atau logam untuk mengikat dan menutup belahan jubah. Ia juga sering dibiarkan terbuka.

Bagi golongan lelaki, mereka sering menggayakan jubah ini bersama serban berwarna terang yang sedondon. Kadangkala ia turut digayakan dengan sisipan pisau belati dan juga gantungan pedang di bahagian pinggang.

Daripada segi bahan, jubah ini diperbuat daripada pelbagai jenis kain seperti kain kapas, kain broked dan yang paling mahal ialah kain sutera. Kain-kain ini selalunya mempunyai corak yang besar dan berwarna terang seperti warna merah, kuning dan hijau. Ia seakan-akan menjadi identiti bagi pakaian ini.

Salah satu teknik hiasan kain sutera yang sering digunakan bagi pakaian ini dikenali sebagai teknik ikat. Ia merupakan teknik yang sama seperti yang digunakan di Tanah Melayu dalam penghasilan kain limar.

Teknik ikat merujuk kepada proses pewarnaan benang sutera yang akan digunakan untuk menenun kain. Setelah benang-benang sutera selesai diwarnakan ia akan ditenun menjadi sehelai kain dengan corak tertentu.

Bahan pewarna yang digunakan terdiri daripada bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang terdapat di persekitaran mereka seperti akar pokok madder dan pokok cendana digunakan bagi warna merah, bunga pokok pagoda boleh menghasilkan warna hijau, bunga pokok mallow hitam menghasilkan warna hitam dan tumbuhan liar seperti delphinium kuning menghasilkan warna kuning.

Antara corak atau motif kain sutera ikat yang dihasilkan melalui tenunan ialah seperti anor (buah delima), bodomcha (kacang badam), chaen (kala jengking), chro (lampu), Ilon izi (jejak ular), oy (bulan), shokila (loket), kapalak (rama-rama), daraht (pokok) dan kosa gul (gubahan bunga di dalam pasu).

Selain kain sutera, kain kapas juga digunakan dalam pembuatan jubah ini. Kain kapas kadangkala turut digunakan sebagai lapik sebelah dalam jubah yang diperbuat daripada kain sutera. Kain kapas yang digunakan turut mempunyai warna terang yang kebanyakannya merah.

Corak atau motif yang sering menjadi pilihan si pemakai ialah corak bunga-bungaan yang bersaiz agak besar. Kain kapas yang digunakan ada kalanya hanya mempunyai dua warna sahaja iaitu warna latar dan warna corak yang berlawanan.

Kain kapas mudah didapati di Asia Tengah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi kerana lambakan kain kapas buatan mesin yang murah di dalam pasaran akibat daripada pendudukan Russia ke atas wilayah Islam Asia Tengah ketika itu.

Ini mengakibatkan penenun kain kapas tempatan di Asia Tengah mengalami kerugian yang teruk dan penurunan permintaan kain kapas tenunan tangan akibat daripada krisis ini.

Jubah ini mempunyai beberapa jenis potongan khas, seperti potongan untuk jubah lelaki sahaja, perempuan sahaja ataupun potongan yang boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.

Bagi potongan yang boleh dipakai oleh lelaki dan wanita secara amnya, ia mempunyai pesak di bahagian tepi dan kekek di bawah ketiak yang hampir menyerupai potongan baju kurung atau baju melayu yang berpesak.

Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan buku terbitan Muzium Kesenian Islam bertajuk Abrbandi' di kedai cenderamata Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Source: Utusan Malaysia Online

Ahad, 19 Jun 2011

Cinta Zami Ismail kepada bidang seni kekal ke akhir hayat


Belasungkawa: Tiada lagi usikan Pak Uda
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin, serima@bharian.com.my

2011/06/20

Cinta Zami Ismail kepada bidang seni kekal ke akhir hayat

TIADA lagi usikan nakal daripada lelaki yang lebih dikenali sebagai Pak Uda, nama wataknya dalam sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu apabila beliau pergi menghadap Yang Maha Esa kira-kira jam 10.30 pagi semalam akibat kegagalan jantung. Pak Uda atau nama sebenarnya Zami Ismail, 67, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) selepas seminggu menerima rawatan.

Allahyarham pada mulanya ke hospital berkenaan untuk melakukan pemeriksaan rutin, bagaimanapun, ditahan oleh pihak hospital. Sebelum ini, pelakon kelahiran Perak itu sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital. Kali pertama pada 1997 diikuti pada 2007 apabila Allahyarham sekali lagi diserang sesak nafas ketika sedang menjalani penggambaran filem Shh... Dia Datang arahan Saiful Apek.

Kali ketiga pada Mei lalu, apabila Allahyarham mengadu sesak nafas ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran program Aidilfitri berjudul Gulai Tempoyak di Hulu Langat. Allahyarham kemudian di hantar ke Hospital Ampang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Allahyarham meninggalkan isteri Haizan Ibrahim serta sembilan anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Afendi, 30, Aida Nurul Asikin, 29, Aida Nurul Wahyu,27, Mohd Firdauh, 24 dan Zaid Al Bahman, 21.

Cinta Zami atau Pak Uda yang sering memakai butang tidak betul pada bajunya dalam siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu terhadap dunia seni yang diceburi secara serius sejak 80-an tidak pernah padam. Dalam keadaan kesihatan yang kian merosot hari demi hari, Allahyarham masih gigih berlakon.
Kata Allahyarham ketika ditemubual oleh akhbar Metro Ahad pada Mei lalu, kepuasan mencari duit daripada hasil kudrat sendiri lebih memuaskan hati walaupun anak-anaknya tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka. Bagaimanapun, dia pula tidak mahu membebankan anak-anak kerana mereka juga perlu menanggung keluarga sendiri.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni lakon, Zami sudah menjayakan kira-kira 17 buah filem dan puluhan drama serta teater. Filem terakhirnya yang menemui penonton adalah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang berjaya mencatat kutipan lebih RM 8 juta. Manakala filem lakonannya yang juga di bawah arahan Mamat Khalid iaitu Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet akan menemui penonton selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu filem Shh... Dia Datang masih lagi belum menemui penonton berikutan beberapa masalah yang timbul.

Selain itu beberapa filem yang turut menyaksikan pembabitan Zami ialah Roda-Roda, Mat Som, Cinta Rosevilla, Gemerlapan, Diari Romeo, Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Dunia Baru The Movie serta banyak lagi.

Kredibiliti Zami sebagai pelakon tidak boleh dipertikaikan kerana beliau pernah menerima anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 untuk filem Mat Som. Zami juga turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada FFM 11 untuk filem Wanita Bertudung Hitam namun nasib tidak berpihak kepadanya ketika itu.

Hasrat peminat untuk melihat Zami kembali beraksi di pentas teater untuk sitkom popularnya The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 26 Jun ini bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau terlebih dulu meninggalkan kita. Dibawakan khas Karyawan dengan usaha sama Kumpulan Syarikat Seri Melayu, sitkom berkenaan adalah hasil inisiatif Imuda yang juga pendukung watak Budin bagi mengenang kembali nostalgia sitkom popular yang dicetuskan oleh Dr Hatta Azad Khan sekitar 1987 dan diarahkan Othman Hafsham.

Anaknya Ahmad Yamashita berkata, bapanya dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu selepas menjalani pemeriksaan rutin. Kira-kira jam 2.30 pagi semalam, pernafasan bapanya terhenti. Bagaimanapun, pihak hospital berusaha juga untuk membantu Allahyarham.

“Keadaan bapa kritikal kira-kira jam 2.30 pagi apabila jantungnya berhenti berdenyut sehingga arwah terpaksa dibantu dengan mesin bantuan pernafasan. Doktor kemudian mencadangkan supaya arwah bapa menjalani pembedahan bagi memasukkan bateri kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

“Selepas proses berkenaan, doktor memberitahu tindak balas selepas memasukkan bateri itu negatif dan meminta kami bersedia pada bila-bila masa saja. Arwah bapa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi. Kami sebenarnya tidak tahu bapa menghidap sakit jantung sehinggalah keadaannya kritikal malam tadi ,” kata Ahmad Yamashita.

Jenazah Allahyarham Zami Ismail di bawa ke kampung halamannya di Tapah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tapah Road.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

LID perlu diteruskan kerana cara terbaik promosi Malaysia


DIALOG Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 di Putrajaya merupakan julung-julung kali menjadi tempat pertemuan ketua-ketua kerajaan yang kebanyakannya dari Afrika untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kerajaan, ekonomi dan sosiopolitik.

Kehadiran peserta dialog ini menunjukkan LID yang dimulakan pada 1995 belum malap.

Ia menjadi semakin penting dan bermakna apabila pelbagai isu berlaku ekoran daripada politik Afrika Utara dan Asia Barat, pemulihan perlahan krisis kewangan dunia serta bermacam-macam bencana alam.


LID 2011 menyediakan peluang yang sesuai bagi Malaysia, yang memulakan dialog berkenaan pada 1995, dan rakannya di Afrika dan Caribbean untuk menangani cabaran ini dan mencari penyelesaian untuk kebaikan secara bersama.

Penganjuran LID perlu diteruskan kerana kejayaannya bergantung kepada pelbagai aspek lain seperti kebudayaan, sistem nilai sejagat, ciri-ciri perniagaan dan persekitaran ekonomi serta politik.

Kerana LID adalah satu-satunya forum yang mana ia bukan bermatlamat politik. Ia lebih tertumpu kepada sosioekonomi dan pembangunan ekonomi untuk melahirkan rangkaian menang-menang antara negara-negara yang mengambil bahagian.

Kesemua pemimpin dari negara miskin, sedang membangun dan membangun mengakui, dialog perkongsian pintar melalui LID memberi mereka peluang belajar daripada pengalaman negara lain dalam usaha memajukan negara sendiri.

Bagi mereka, Malaysia ialah 'guru' dan role model keamanan, kemajuan dan pembangunan pesat yang patut dicontohi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan LID 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya memuji forum ini kerana berjaya meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan negara-negara Afrika dengan ketara sejak ia ditubuhkan pada 1995.
Jelas konsep perkongsian bestari dalam LID perlu terus dikekalkan. Ia bukan forum bual-bual kosong yang dianggap oleh sesetengah pihak yang tidak faham apa tujuan diadakan LID.

Paling mendapat banyak manfaat program LID sebelum ini ialah beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta negara ini apabila diberi peluang membangunkan infrastruktur dan industri di negara peserta.

Sebagaimana kata Najib yang juga Menteri Kewangan bahawa dialog ini telah dan akan terus menjadi platform untuk kita menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai pelbagai isu berkaitan perniagaan, ekonomi dan pembangunan.

Niat baik Malaysia yang mahu melihat kemakmuran ekonomi di kalangan negara terlibat, menjadi satu kelebihan kepada usahawan Malaysia untuk membuat pelaburan.

Jika kita uruti sejarah LID sehingga sekarang, mungkin masih banyak yang perlu dipelajari negara peserta daripada Malaysia. Kita pula sudah tentu mahu meluaskan lagi empayar perdagangan.

Kita yakin LID perlu diteruskan kerana ia adalah cara terbaik untuk mempromosikan Malaysia serta membina hubungan dan mengukuhkan jalinan dengan negara peserta.

Source: Utusan Malaysia online.

Ungku Aziz - Saya bangga sebagai Melayu

Prof. DiRaja Ungku Abdul Aziz.


MUKADIMAH:

BARU-BARU ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membukukan kertas kerja siri Syarahan Raja Ali Haji bertajuk Pantun dan Kebijaksanaan Akan Budi Melayu tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Buku 58 halaman itu menyingkapkan tentang pantun Melayu mengenai tema “pedagang”.


Ungku Aziz kini telah mengumpul lebih 16,000 pantun Melayu lama pelbagai tema dan akan diterbitkan pada awal tahun depan. Uniknya ahli ekonomi dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini kerana mempunyai minat mendalam dalam seni dan budaya.

Di ruang tamu kediamannya di Petaling Jaya, banyak lukisan pelukis terkenal tempatan, ada yang digantung dan banyak juga yang disusun di lantar.

Ungku Aziz menganggap sastera rakyat iaitu pantun mempunyai keunikan dan lebih 500 tahun lebih awal daripada karya William Shakespeare. Kebijaksanaan dan pemikiran Melayu dipancarkan dalam pantun. Beliau menemui kehebatan orang Melayu berdagang sebelum kedatangan penjajah daripada pantun-pantun yang dikumpul.

Dalam wawancara kali ini Ungku Aziz bercakap mengenai hubungan pantun dengan sikap serta kecemerlangan orang Melayu dulu serta membandingkan dengan sesetengah kalangan Melayu masa kini yang lebih memburu kebendaan.

“Bagi saya pantun menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang,” kata Ungku Aziz ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID di kediamannya Rabu lalu.


MINGGUAN: Bagaimana Pak Ungku melihat pantun sebagai cermin pemikiran Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya boleh katakan pantun orang lama sekitar 100 atau 200 tahun lalu dianggap sebagai cerminan pemikiran Melayu. Ini sastera rakyat yang berbeza dengan sastera feudal. Minat saya tertumpu kepada sastera rakyat. Zaman sekarang orang buat pantun bebas, sastera bebas tetapi saya mengikut peraturan lama dalam mengumpulkan pantun. Tentang hukum pantun termasuk nahu dan sebagainya telah banyak buku mengenainya serta banyak teorinya.

Saya sendiri mempunyai teori mengenai ini yang akan saya huraikan dalam buku yang lebih tebal pada masa akan datang. Buku kecil ini adalah sebagai perisa sebelum saya keluarkan buku lain nanti. Saya lebih fokus dalam buku ini mengenai pantun yang mempunyai kaitan dengan pedagang. Zaman dulu sebelum orang Melayu dijajah, pantun adalah amalan tetapi bila penjajah datang dan memusnahkan pusat perdagangan seperti Melaka dan di Ujung Padang dan ia diganti dengan Singapura, Jakarta dan sebagainya.

Dengan itu sistem pedagang asal seperti yang saya tulis dalam buku pantun ini habis hilang semua sekali. Tetapi semangat itu berdasarkan teori saya timbul semula sekarang. Namun sekarang tidak dipanggil pedagang tetapi usahawan.

MINGGUAN: Maknanya sejak dahulu orang Melayu sudah ada sifat pedagang?

UNGKU AZIZ: Sifat ini sudah wujud sejak dahulu. Seperti yang saya nyatakan dalam muka surat empat mengenai sifat pedagang orang Melayu sudah biasa berdikari, berani dan perkasa, cerdik ilmu dagang dan sedia menanggung risiko. Inilah empat kualiti yang ada pada pedagang Melayu.

Kalau kita ada empat sifat ini kita boleh menjadi pedagang tetapi kalau tidak ada atau kurang satu atau dua sifat ini mungkin perniagaan anda akan bangkrap atau tidak begitu maju. Hari ini dalam perkara yang selalu saya kritik mengenai orang Melayu baru sifat mereka lebih kepada kiasu yang diambil dari perkataan Hokkien.

Sifat ini yang banyak pada Melayu baru contohnya kalau ada satu kereta mereka mahu dua kereta atau kalau ada kereta kecil mereka mahu kereta besar. Mereka mahu lebih lagi dan tidak cukup serta tidak peduli tentang hal ehwal orang lain seperti masyarakat sudah semakin rosak dan lain-lain. Ini kerana mereka berpegang kepada sifat kiasu.

Bagi orang Cina mereka boleh berjaya kerana mengamalkan sifat ini sejak lebih 4,000 tahun dahulu. Jadi sekarang dalam konteks Melayu baru mereka sudah mengenal sifat kiasu ini dan mereka tidak berapa peduli orang lain, atau dari keturunan mana. Mereka hanya bertumpu kepada kejayaan sendiri sahaja.

MINGGUAN: Apakah orang Melayu sebegini tidak peduli untuk menolong orang Melayu lain?

UNGKU AZIZ: Mereka berpandangan orang Melayu lain yang perlu membantu atau menjaga mereka. Namun hakikatnya masing-masing hanya pentingkan diri mereka sendiri. Kita tidak cerita tentang nilai agama yang baik dan sebagainya, itu cerita lain. Saya melihat ini sebagai pembuka cerita tentang sifat orang Melayu.

Kalau mereka jujur dan ikhlas mereka ini berani menanggung risiko. Namun mereka banyak mengharap pada subsidi sahaja dan terus bergantung pada subsidi untuk hidup. Maka saya perlu tekankan orang Melayu tidak boleh bergantung kepada subsidi, tidak perlu mentaliti mengharap subsidi lagi dan mereka perlu berdikari.

Kalau kita lihat dahulu ketika zaman Melaka, orang Melayu berdagang tanpa bantuan. Mereka masuk hutan sendiri mencari kayu-kayu seperti damar dan sebagainya dan kemudian menjualnya sendiri kepada pedagang luar yang datang dari Arab, Parsi, China, Venice dan sebagainya. Ketika itu perdagangan berlaku secara barter trade.

Kita boleh lihat bagaimana aktiviti perdagangan ini meningkatkan kualiti dan taraf hidup orang Melayu ketika itu tanpa sebarang bantuan dari pemerintah dan orang lain. Berdasarkan pada buku ini saya kumpulkan pantun yang digubah oleh keluarga pedagang sama ada lelaki atau perempuan.

Pantun-pantun ini menggambarkan emosi kaum pedagang contohnya pedagang dari Aceh yang berdagang ke Melaka dan kemudian terpaksa menunggu sehingga enam bulan kerana menanti angin bertukar arah. Maka dalam tempoh itu mereka akan saling mengenali penduduk tempatan dan apabila sampai masa untuk berpisah akan ada pantun untuk menyatakan emosi seperti pantun rindu, atau pantun sayang atau marah.

MINGGUAN: Bagaimana boleh timbul minat pada pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya ada beberapa perkara yang menjadi minat besar dalam hidup saya. Pertama dalam bidang seni sastera dan membaca novel sama ada terjemahan atau tidak daripada bahasa Perancis, Rusia dan pelbagai lagi. Saya biasa dengan cerita pendek Chekov misalnya. Pada saya Chekov adalah penulis cerita pendek paling hebat. Kemudian novel bahasa Perancis dan Inggeris. Kemudian saya meminati seni lukis dan mempunyai banyak koleksi lukisan dan saya juga mengumpul banyak buku tentang Picasso.

Saya juga meminati sastera dan penulis bahasa Inggeris yang saya minati adalah Ernest Hemingway selain buku-buku politik Karl Marx. Sama ada bersetuju atau tidak dengan fahaman mereka, itu cerita lain.

Saya membaca sekurang-kurangnya dua buku seminggu dan sekarang saya ada koleksi buku lebih 4,000 buah. Pada zaman sekarang saya juga mengumpul cakera padat tentang filem klasik seperti Lawrence of Arabia. Pada usia 89 tahun saya secara teorinya mempunyai banyak masa lapang untuk berbuat apa saja. Saya lain sikit dari orang yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kebanyakannya tidak suka perkara-perkara seni. Saya sudah dilatih sebegini oleh arwah bapa saya.

MINGGUAN: Bagaimana Pak Ungku melihat semangat generasi sekarang terhadap pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya sudah mengumpul barangkali ada dua tiga ribu pantun tentang kasih, cinta dan sayang. Pantun-pantun ini ada kumpulannya termasuklah seperti pantun kanak-kanak. Pada masa depan akan ada satu bahagian yang akan menghurai mengenai pantun kanak-kanak. Dalam buku pantun ini saya hanya menulis tentang pantun pedagang.

Insya Allah pada Februari atau Mac tahun depan saya akan terbitkan buku baru mengenai pantun Hikmah Melayu. Saya sedang mengumpul tentang perkara itu sekarang. Dalam komputer saya sudah ada sebanyak 16,000 pantun.

Kalau mengikut sejarah sejak 800 tahun dahulu sudah wujud pantun Melayu sebelum wujud Shakespeare. Bagi saya tidak ada perasaan segan dan malu untuk saya memuji bahasa Melayu, kerana ia sudah wujud sebelum ada sasterawan terkenal Inggeris. Ketika itu orang Melayu sudah menghafal pantun-pantun ini kerana ketika itu mereka minda mereka tidak berkeladak dengan perkara-perkara lain. Mereka tidak perlu datang mesyuarat atau main golf dan sebagainya. Sama ada lelaki atau wanita mereka sangat pandai mengubah pantun.

Bagi saya pantun ini menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang yang sudah tidak tahu ke mana. Sekarang ini kalau kita hendak maju atau mencipta sesuatu kita perlu menguasai bahasa Inggeris.

Saya tidak faham kenapa ini berlaku kerana orang lain yang tidak berbahasa Inggeris seperti Jerman, Jepun dan sebagainya boleh mencipta dan menguasai pelbagai perkara. Saya berpandangan jika kita mengkaji semula pantun dan apa saya tulis dalam buku ini, kita akan tahu bahawa orang Melayu dahulu bijak dan adil tetapi oleh sebab penjajahan yang kemudian mewujudkan keadaan kucar-kacir, semua ini hilang. Akhirnya yang rugi tetap orang Melayu kerana bangsa lain seperti India dan Cina mempunyai bahasa mereka sendiri yang telah wujud sejak sekian lama.

Adalah sesuatu yang sangat merugikan kerana kita tidak menyimpan dan menghargai apa yang kita miliki. Akhirnya kita rugi. Apa yang saya lakukan ini bukan mendapat apa-apa bayaran dan sebagainya, ini hanya kerana kerja sendiri. Sebelum ini saya sudah mengkaji sejak 50 tahun dahulu tentang isu kemiskinan Melayu dan ia masih banyak berlaku dan saya akan tulis lagi mengenai perkara ini.

Tapi dalam soal pantun Melayu saya sudah mula mengumpulnya sejak 20 tahun lepas kerana saya berpandangan ia sesuatu yang sangat menarik. Saya boleh membaca syair dan puisi dalam bahasa Perancis dan Jepun.

Pantun Melayu adalah sesuatu yang unik dan tidak terdapat pada pantun lain. Kalau ada pun puisi Inggeris yang mana rimanya hanya terdapat pada hujung barisnya sahaja tetapi pantun Melayu pada awalnya sudah ada dan pada tengah barisnya sudah ada rimanya. Pada saya pembayang itu tidak penting kerana empat-empat baris itu adalah pembayang kalau kita periksa dengan halus.

Saya berharap kalau ada umur panjang saya dapat membuat buku mengenai pantun dengan lebih mendalam dan diperhalusi lagi. Pantun Melayu kalau ada bab yang erotik sikit mereka berasa ia lucu. Tapi kini ia tidak boleh lagi dan sudah ditapis. Bagi saya ada sesuatu yang tidak betul dan itulah yang saya rasa.

MINGGUAN: Kalau melihat pada pantun zaman dahulu jelas orang Melayu bijak tetapi sekarang Melayu tidak begitu, kenapa?

UNGKU AZIZ: Dari segi semangat sekarang orang Melayu dilihat tidak berbangga berbahasa Melayu. Mereka yang pergi belajar di luar negara kalau balik sudah tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Dalam bab sastera dan pantun pula seakan mereka ini tidak ada minat. Kalau yang berminat pun hanya mereka yang belajar dalam jurusan atau kajian Melayu. Dahulu orang Melayu berbangga dapat menyumbang untuk kebaikan Melayu. Itulah yang saya rasa tentang budaya dan dunia Melayu.

Pada saya tidak ada terlintas pun di minda saya hendak berpindah ke London, Paris atau mana-mana negara luar. Malaysia adalah negara yang cukup sempurna bagi saya. Iklimnya baik, ekonomi dan sosialnya baik, malah kalau buruk sekalipun saya tetap berbangga tinggal di Malaysia. Kalau dilihat saya ini bukan Melayu sepenuhnya kerana datuk saya berasal dari Turki. Namun jiwa saya sangat berbangga sebagai Melayu dan dan saya sangat berpuas hati.

MINGGUAN: Apa masalah sikap orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalah sikap ini kita kena lihat mereka dari mana desa atau bandar kerana ia berbeza. Kalau orang Melayu bandar ini mereka sudah biasa dengan sikap kiasu yang mana mereka nak lebih. Kalau mereka hendak lebih sebagai seorang usahawan itu bagus dan patut digalakkan tetapi tidak boleh menerima terlalu banyak subsidi nanti dia jadi lemak.

Kalau mereka dari kampung ia sesuatu yang betul sekadar cukup makan dan mengusahakan ladang tetapi tidak kayalah. Namun keadaan sekarang generasi baru lebih bertumpu di bandar dan mereka merasa berhak untuk membuat pilihan.

Namun walau bagaimanapun mereka mesti berbangga menjadi orang Melayu dan mempunyai semangat Melayu yang tinggi. Walau dilambung ombak setinggi manapun mereka mesti kekal dan bangga sebagai orang Melayu.

Ada orang bertanya sama ada Melayu dahulu atau Malaysia dahulu. Tapi bagi saya walau macam mana pun mesti Melayu dahulu, tidak ada kompromi tentang hal ini. Mungkin ada orang kata ia bersifat perkauman, tapi cuba buka mana-mana surat khabar, Cina Inggeris atau India, akan ada kenyataan orang Cina mahukan ini, orang India pula mahu itu dan ini.

Kita tidak pernah dengar kenyataan bahawa “orang Malaysia” mahukan itu dan ini. Mesti orang Cina akan kata pendidikan atau sekolah Cina dan begitu juga orang India. Jadi di mana kita?

Mungkin saya salah dan boleh betulkan. Saya rasa dalam perkara ini terdapat keadaan kucar-kacir kerana ramai orang meletakkan harapan dan kehendak yang bermacam-macam. Bermacam-macam janji yang cuba dipenuhi tetapi akhirnya hanya tinggal janji. Saya ambil contoh dalam hal novel Interlok, keadaan yang timbul sangat kucar-kacir sehingga hendak dijadikan buku teks sudah timbul macam-macam masalah.

Pada hal ia sudah terbit sejak 40 tahun dahulu. Sekarang pun masih menjadi isu hendak cabut itu dan ini lama-lama apa akan jadi pada novel tersebut? Lebih baik tidak diterbitkan buku itu sebagai buku teks.

MINGGUAN: Apakah ini kerana orang Melayu selalu mengalah?

UNGKU AZIZ: Memang kalau dilihat berterusan begini orang Melayu itu lemah. Bila orang Melayu minta orang lain akan kata kita rasis tetapi bila kaum lain yang minta macam-macam ia tidak dilihat sebagai rasis pula. Kenapa?

Orang Melayu tetap orang Melayu, tidaklah pula mereka ini nak mengamuk dan bunuh orang kerana mempertahankan hak. Ini tidak berlaku. sekarang ini kalau kita baca dalam surat khabar mengenai ketua baru IMF mereka mencalonkan Fisher. Dia ini adalah dari bank negara Israel dan kalau dicalonkan, kenapa dia yang dipilih dan tidak pula timbul soal rasis. Sedangkan orang yang paling rasis sekali adalah Yahudi. Mereka mahu negara Israel hanya diduduki oleh bangsa Yahudi sahaja. Mereka berasakan mereka bangsa terpilih dan saya sangat tidak boleh menerima perkara ini.

Tidaklah saya tergamak nak cakap hapuskan semua bangsa Yahudi seperti yang dikatakan oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. Dalam keadaan sekarang yang berlaku di negara ini bila ada sesuatu perkara yang sesuai dengan mereka tidaklah mereka kata ia perkauman tetapi jika tidak sesuai dengan mereka maka mereka bangkitkan soal rasis.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 11 Jun 2011

Kemenangan Piala FA hadiah buat seluruh Terengganu - Irfan Bakti

12/06/2011 7:55am

KUALA LUMPUR 12 Jun — Kejayaan Terengganu meraih gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA, setelah menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, dianggap sebagai hadiah untuk seluruh rakyat Terengganu setelah 11 tahun menanti kemarau menjulang piala itu.

Terengganu juga mencatat sejarah sendiri apabila menjadi pasukan terakhir yang menjulang trofi tersebut yang berakhir tahun ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau merasa gembira kerana akhirnya berjaya mengatasi kemarau dengan membawa Terengganu sebagai juara edisi terakhir Piala FA.

"Kejayaan ini adalah hadiah buat seluruh rakyat Terengganu dan saya merasa bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukanya pada malam ini.

"Sebelum perlawanan saya ada beri kata-kata motivasi untuk anak didik saya agar tidak mengalas selagi pengadil meniupkan wisel penamat,” katanya kepada pemberita.

Irfan Bakti berkata, kejayaan malam tadi juga adalah usaha bersungguh-sungguh yang telah dilakukan oleh setiap pemain Terengganu dan beliau harap ia akan berkekalan hingga sepanjang musim ini.

Beliau berkata selepas ini pemainnya perlu berehat sebentar sebelum menghadapi baki dua perlawanan lagi dalam saingan Liga Super.

"Apa-apa boleh berlaku dalam Liga Super namun saya yakin bahawa pasukan Terengganu mampu meraih satu lagi kejayaan,” katanya.

Jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu berkata, beliau menerima kekalahan pada malam ini walaupun yakin akan memenangi perlawanan sebelum ini.

"Kita mengakui bahawa ini adalah kesilapan pasukan namun saya perlu membina kembali motivasi pemain yang sudah pasti menurun.

"Saya akan ambil masa dua hari untuk membina kembali keyakinan semua pemain untuk mereka kembali bersemangat untuk merebut gelaran juara dalam saingan Liga Super,” katanya.

Karathu berkata beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain kerana mereka telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. – Bernama

Source: Mingguan Malaysia Online.

Impikan tamantema Upin Ipin


Oleh NORAINI ABD. RAZAK, noraini.razak@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


ANIMASI Upin & Ipin episod Istimewa Hari Ibu pasti meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada hati sesiapa saja yang menonton. Biar pun sekadar animasi, namun kisah dua anak kecil yatim piatu mahu menyambut hari ibu sarat dengan sentuhan tersendiri. Susunan ayat mereka bersahaja. Selepas menziarah kubur dan mendoakan agar roh ibu mereka ditempatkan bersama orang yang beriman, Upin, Ipin dan kak Ros pulang ke rumah. Congakan penonton tentunya kisah tersebut berakhir di situ, namun kreativiti anak-anak muda yang menyusun jalan cerita tersebut ternyata mahukan kelainan.

Siapa sangka petah bicara Upin & Ipin bercerita tentang sambutan Hari Ibu berakhir dengan penghargaan terhadap Opah yang selama ini menggalas tugas ibu membesarkan mereka tiga beradik. Lantas istimewa Hari Ibu menjadi Hari Opah. Upin & Ipin - dua watak budak botak umpama hidup di hati rakyat Malaysia. Perlu diakui bukan sahaja kanak-kanak, siri animasi itu kini menarik perhatian orang dewasa untuk sama-sama menonton kisah yang disajikan setiap minggu.

Sewajarnya kejayaan Upin & Ipin 'menyelinap' masuk ke minda warga negara ini dengan cara yang amat positif menjadi kebanggaan Burhanuddin Md. Radzi. Siapa sangka penyertaannya dalam penerbitan animasi yang disifatkan sebagai 'terjebak' kira-kira enam tahun lalu kini menjadi fenomena. Upin & Ipin menjalar ke negara-negara rantau Asia seperti Indonesia dan Filipina. Penerimaan siri animasi itu di kalangan masyarakat tempatan sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Ke mana sahaja Upin & Ipin menjadi sebutan. Kesempatan bertemu Burhanuddin baru-baru ini sesungguhnya satu peluang untuk menyelongkar insan yang bertanggungjawab di sebalik nama Upin & Ipin. Anak kelahiran Teluk Panglima Garang, Selangor itu merupakan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang melahirkan animasi Upin & Ipin di mata masyarakat. Ternyata Burhanuddin sendiri tidak pernah menyangka beliau akan terlibat dalam industri penerbitan animasi yang jika dibandingkan dengan dunianya sebelum itu bagaikan langit dan bumi. Burhanuddin bukan orang seni. Dunianya adalah cari gali minyak. Beliau pernah menjadi jurutera petroleum untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd. sebaik menamatkan pengajian pada tahun 1982. Perkhidmatannya dalam bidang tersebut sememangnya memberangsangkan sehingga dianugerahkan Excellence Award daripada Petronas pada 1989 selain pernah mengetuai operasi pengeluaran untuk Baram Delta di Miri, Sarawak pada tahun 1990. Sememangnya meneliti pencapaian serta penglibatan Burhanuddin dalam bidang minyak dan gas agak sukar untuk mengaitkan penyertaan beliau dalam animasi.

''Saya terjebak,'' katanya apabila ditanya bagaimana beliau 'terjerumus' ke bidang yang amat berbeza dengan kemahirannya. Burhanuddin menyusun cerita. Katanya, selepas berhenti daripada Petronas beliau menyertai beberapa syarikat dan yang terakhir Dayang Enterprise Sdn. Bhd. (DESB) sebagai Pengarah Urusan. Namun selepas beberapa tahun dan didorong rasa tidak bersetuju apabila syarikat membuat keputusan untuk ke Bursa, Burhanuddin menjual saham dalam syarikat tersebut dan meninggalkan DESB.

''Selama dua tahun selepas meninggalkan DESB saya tidak buat apa. Hari-hari saya main golf sampai berhandikap sembilan.

Tercetus

''Sehingga satu satu hari isteri saya berkata sampai bila kami nak hidup macam ini,'' kata Burhanuddin mengimbau kata-kata isterinya Ainon Arif yang disifatkan sebagai tercetusnya keinginan untuk melakukan sesuatu mengisi kehidupan selepas meninggalkan DESB.

Teman hidupnya itu biar pun surirumah sepenuh masa tetapi mempunyai minat serta keinginan menerbitkan filem. Kebetulan salah seorang anak saudaranya penuntut Universiti Multimedia memberitahu tentang animasi tiga graduan di situ yang dikatakan hebat.

''Saya memang buta kartun, tetapi melihat hasil kerja mereka saya dapat rasakan kerja mereka memang hebat,'' kata bapa kepada empat orang anak itu. Bermula daripada situ Burhanuddin bekerja keras memikirkan bagaimana mahu menjadikan animasi sebagai bisnes. Berbekalkan simpanan yang ada, lulusan Kejuruteraan Petroleum Universiti Teknologi Malaysia itu bersama isterinya menubuhkan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada 2006.

Perjalanan bersama tiga anak muda yang berbakat besar dalam bidang animasi itu tidak mudah.

''Mereka pandai beranimasi, tetapi menulis skrip bukan bidang mereka. Di situ cabaran mencari penulis skrip yang tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan menerusi animasi.

''Oleh kerana ketika itu Les' Copaque sebuah syarikat yang tiada siapa pun kenal, maka saya dan isteri memikul peranan penulis skrip,'' katanya.

Tentunya banyak cabaran lain yang perlu ditempuh oleh Burhanuddin dan team Les' Copaque, lantaran baru merangkak mahu menghasilkan teknologi animasi 3D yang amat berkait rapat dengan kualiti animasi yang mahu dipertontonkan kepada umum.

Mereka belajar tentang modus operandi serta mencari agensi yang menyokong bidang tersebut sehingga adakalanya Burhanuddin menyifatkan cita-citanya mahu menonjolkan animasi tempatan sebagai ilusi.

''Memang ada agensi yang membantu tetapi mereka mahu kita melahirkan animasi global yang mampu menembusi Cannes. Namun sebagai syarikat kecil cabarannya adalah melahirkan animasi yang berbeza dengan ribuan produk yang ada di pasaran,'' katanya.

Burhanuddin mengakui tidak serasi dengan saranan agensi berkenaan lantas memilih caranya sendiri. Beliau mahu animasinya 'dekat' dengan populasi Asia yang membentuk dua pertiga daripada penduduk dunia sekali gus memecahkan monopoli barat. Semangat Burhanuddin dan pasukannya untuk melahirkan ikon Malaysia akhirnya tercapai menerusi watak kembar Upin & Ipin. Enam episod pertama menemui penonton pada Ramadan 2007 menerusi TV9, siapa angka percaturan mereka betul apabila siri tersebut meletup.

Hasratnya sebelum itu mahu menerbitkan Geng: Pengembaraan Bermula - filem animasi 3D terpaksa ditangguhkan kerana mahu mempopularkan Upin & Ipin. Ternyata siri animasi itu mencapai populariti serta rating tersendiri mendorong Burhanuddin menerbitkan 12 episod lagi pada 2008.

''Semasa inilah kita menerbitkan filem Gang: Pengembaraan Bermula dan sememangnya mencapai box office. Saya percaya teknik pemasaran dengan menyiarkan siri terlebih dahulu di kaca televisyen barulah beralih ke filem,'' katanya.

Selepas itu, pencapaian Les' Copaque tidak perlu diceritakan lagi. Pelbagai anugerah diterima. Upin & Ipin menjadi pujaan dan ikon di kalangan masyarakat malah menembusi pasaran luar. Malah jenama itu menjadi fenomena dan kegilaan kanan-kanak selain mencuri perhatian golongan dewasa. Burhanuddin mementingkan nilai sosial dan agama yang dipaparkan menerusi animasi supaya produk terbitan syarikatnya mendatangkan manfaat. Animasi terbaru Pada Zaman Dahulu bakal menemui penonton menerusi TV Hijrah tidak lama lagi - satu lagi usaha murni memartabatkan karya-karya penglipurlara supaya dikenali kalangan generasi muda.

Kini Les' Copaque dan Upin & Ipin tidak perlu diperkenalkan lagi. Ternyata nilai kekeluargaan, budi bahasa dan agama tidak menghalang produk animasi hasil kreativiti anak tempatan merentasi pasaran global. Burhanuddin tidak mahu berhenti di situ. Karnival Upin & Ipin membuktikan populariti siri animasi itu. Apa yang terjadi kepada siri Keluarga Anak-anak Sidek dan Usop Sontorian tidak seharusnya menimpa Upin & Ipin. Sebab itu Burhanuddin berusaha merealisasikan Taman Tema Upin & Ipin bagi memuktamadkan kehebatan produk tempatan yang diusahakan seratus peratus anak muda tempatan juga. Bagi Burhanuddin dan Ainon, jika seluruh dunia mengkagumi Walt Disney dan watak Mickey Mouse serta rakan-rakannya, Upin & Ipin juga mempunyai kekuatan tersendiri.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Khamis, 9 Jun 2011

Berkelana sejak usia remaja

Ihsan Utusan Malaysia Online
Oleh Ku Seman Ku Hussain


Dato Mustapha Maarof

MENYAMBUT kepulangannya petang itu adalah dua cucu yang manja. Mereka meluru dan memeluk kaki sambil merengek meminta perhatian. Beliau datuk yang penyayang.

Keletah manja kedua-dua cucu itu menunjukkan bahawa dalam banyak watak yang dilakonkan di layar perak tidak jauh perwatakannya yang sebenar.

Kedua-dua anak kecil itu mengadu itu dan ini, beliau mendengar penuh perhatian. Beliau pun bercerita tentang cucu-cucu yang menjadi penghibur setelah anak-anaknya yang dulunya kecil kini dewasa dan mempunyai keluarga.

Kalau dulu, ketika dua anaknya masih kecil beliau memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang selepas ibu mereka pergi untuk selama-

lamanya. Perhatian kepada cucu-cucu itu, menurutnya sama seperti curahan kasih sayang kepada anak-anak tatkala beliau memikul tugas sebagai bapa sekaligus ibu.


Petang itu pelakon veteran Datuk Mustapha Maarof bercerita tentang masa lampau, zaman kanak-kanak yang manis selepas itu pahit apabila ayahnya pergi tatkala usianya di pangkal remaja. Beliau tersenyum mengingatkan waktu-waktu manis di sisi ayah dan ibu. Tetapi manis hidup sebagai anak remaja kepada seorang Pegawai Daerah (DO) di Perak tidak lama. Ayahnya pergi dulu, tidak lama kemudian ibunya berkahwin lain. Mustapha mengibaratkan diri remajanya layang-layang terputus tali.

“Saya tidak pasti adakah saya terlepas perhatian atau itu hanya anggapan saya tatkala ibu berkahwin dan saya sudah tidak punya ayah. Tetapi memang rasa terasing sedikit,” ujar Mustapha.

Pengarah Urusan Warna Motion yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu masih aktif dalam menerbitkan filem iklan dan dokumentari. Katanya, beliau berniaga secara kecil-kecilan dan syarikat itu banyak berjasa kepada beliau sekeluarga selepas tidak aktif berlakon semasa di Kuala Lumpur.

Mustapha anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan pada 1 Januari 1935 ini berkelana pada usia yang sangat muda - 19 tahun. Beliau terpaksa menamatkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selepas kematian ayah memahat keazaman untuk berdikari.

“Terasa sayang juga nak berhenti dari MCKK, nak masuk bukannya mudah. Masa itu anak-anak bangsawan saja yang boleh masuk. Tetapi selepas ayah tiada, siapa nak tanggung belanja. Maka rencana hidup pun berubah,” kata Mustapha sambil mengusap kepada cucunya Rizque Rayyan dan Nor Qasih di riba.

Beliau tidak menafikan dahagakan kasih sayang, pada usia 19 tahun telah keluar berkelana ke Singapura berbekalkan RM100. Nasib baik semasa di Singapura beliau bertemu dengan pengarah veteran Datuk L. Krishnan dan menjadikannya sebagai anak angkat.

Semasa di kampung beliau sering ke Seremban menonton filem lakonan P. Ramlee. Lalu terbius angan-angan hendak menjadi seperti P. Ramlee.

“Dengan RM100 saya sampai ke Singapura, dapat kerja di studio filem sebagai conty boy. Tak sampai setahun, dapat pula berlakon watak utama. Tetapi saya banyak berlakon watak adik Nordin Ahmad sebab nampak muda sangat nak berlakon watak lebih tua,” ujar pelakon yang selalu berganding dengan Nordin Ahmad di Cathay Keris, Singapura.

Bercakap tentang lelaki ini, semua orang kagum dengan cintanya kepada isteri, Allahyarham Roseyatimah yang meninggal dunia tahun 1987. Beliau lelaki yang dahaga kasih sayang ayah pada usia remaja, merasa hilang kasih ibu kerana berkahwin lain dan apabila berkahwin dengan Roseyatimah, kasih sayangnya cukup mahal.

Pemergian

Hingga kini Mustapha terus hidup menduda, beliau membesarkan dua anaknya, Azlinna, 41 tahun dan Mohamad Rezainuddin, 35 tahun, selepas pemergian Roseyatimah. Baginya biarlah anak-anak mendapat kasih sayang serta perhatian yang secukupnya dan beliau berkorban untuk itu.

Pengalaman kehilangan ayah pada usia belasan tahun, mengukuhkan tekad Mustapha supaya anak-anak tidak merasa “kehilangan” beliau selepas pemergian Roseyatimah. Hidupnya selepas ketiadaan Roseyatimah hanyalah ke tempat kerja dan di rumah.

Apabila ditanya apakah beliau tidak seperti sebahagian artis yang memburu keseronokan di pusat-pusat hiburan, Mustapha mengatakan beliau tidak ada masa untuk itu.

“Masa saya waktu itu untuk anak-anak, anak sulung baru berusia 17 tahun waktu ibu mereka tiada. Saya tak terfikir untuk mencari keseronokan dan membiarkan anak-anak,” kata Mustapha berulang kali menyebut penglibatannya dalam dunia lakonan bukan untuk mencari keseronokan tetapi untuk menyara keluarga.

“Di rumah ini Rose meninggal, di bahagian belakang itu dimandikan dan anak-anak ada kenangan di rumah ini,” suaranya sedikit tersekat bagai mengundurkan waktu pada cebisan-cebisan hidup yang pahit dan manis bersama Roseyatimah.

Ketika ditanya adakah beliau seorang lelaki yang setia, Mustapha menganggap kesetiaan kepada seseorang adalah suatu yang sangat abstrak. Beliau tidak berani mengiyakan atau menafikan kerana bimbang perasaan itu menjadi murah. Antara beliau dan Roseyatimah tidak ada janji, andainya salah seorang pergi dahulu, yang tinggal tidak akan berkahwin.

Mustapha tidak ada kegiatan tertentu untuk mengisi masa lapangnya, bermain golf jauh sekali kerana katanya, “Itu sukan mahal, kena ada duit banyak. Tak mampulah saya.”

Hidupnya sangat sederhana, rumah yang dihuni sekarang di Subang Jaya dibeli tahun 1973 dengan harga RM34,000. Beliau menganggap, di situlah pangkalan terakhir. Maknanya tidak akan berpindah lagi ke rumah yang lain.

“Tak mampulah nak beli rumah sekarang ini, mahal sangat. Lagi pun sudah tua begini bank pun tak nak bagi pinjaman,” kata Mustapha yang berusia 76 tahun. Beliau adalah antara seniman yang mencipta nama di Singapura kemudian berpindah ke Kuala Lumpur selepas studio perfileman ditutup pada awal 1970.

Mustapha sangat terhutang budi dengan pengarah veteran Datuk L. Krishnan yang mengambil beliau sebagai anak angkat semasa mula menjejak kaki ke Singapura. L. Krishnan banyak membantu menggilap dan memberi peluang kepada Mustapha. Kerana L. Krishnan juga Mustapha berpindah dari Cathay Keris di Singapura ke Studio Merdeka di Hulu Kelang yang sekarang menjadi tapak pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Saya ikut L. Krishnan kerana dia menawarkan bayaran sekali ganda kalau ikut dia ke Studio Merdeka. Selama ikat kontrak tiga tahun di Studio Merdeka saya berlakon lebih 10 filem,” ujarnya yang menamatkan kontrak di Studio Merdeka pada 31 Disember 1962 dan menyambung kerjaya berlakon di Singapura.

Bagi Mustapha, penutupan studio perfileman di Singapura pada 1970 adalah bencana yang menimpa hidupnya. Beliau dan banyak pelakon-pelakon yang hidup dengan berlakon terkapai-kapai tiada pekerjaan. Masa depan gelap dan beliau hampir hilang punca untuk meneruskan hidup kerana kerja yang boleh dilakonkan hanyalah berlakon.

“Itu catatan hitam dalam hidup saya. Tak tahu nak ke mana. Nak kerja apa? Saya beradu nasib ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur ada tragedi lagi, anak kedua saya meninggal dunia kerana denggi pada usia tiga tahun. Rose sangat tertekan dengan tragedi itu,” cerita Mustapha yang pernah menumpang rumah bekas wartawan Utusan Melayu, Allahyarham Aimi Jarr yang dikenali semasa di Singapura.

“Aimi Jarr banyak membantu saya di Kuala Lumpur. Beliau mempelawa saya sekeluarga menumpang di rumahnya di Ampang Jaya kerana saya tak ada sesiapa di Kuala Lumpur. Apabila anak saya meninggal dunia, dia juga menguruskan pengkebumian anak saya,” jelas Mustafa dengan mata berkaca tertusuk ingatan lampau bersama anaknya.

Ketika ditanya adakah hati beliau pernah terdetik rasa kesal menjadi pelakon filem, Mustapha menolak sama sekali. Rakan-rakan yang memasuki MCKK semuanya menjadi orang ternama dan dihormati. Mustapha tidak merasa rendah diri kerana menjadi pelakon dan hidup dengan serba sederhana.

“Saya bersyukur kerana menjadi manusia dan hingga kini mampu memberikan serba sedikit sumbangan kepada masyarakat. Saya bangga menjadi pelakon,” tegas Mustapha tanpa ragu-ragu. Menumpang seketika petang itu dalam kehidupan Mustapha, terasa kedamaian seorang lelaki yang pernah dipuja peminat kini hidup dan terus berbakti kepada dunia yang diwarnai sejak remaja hingga sekarang.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Rabu, 8 Jun 2011

Pelajar harus ada kesedaran awal guna bahasa betul

Minda Pengarang
2011/06/09


PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber.

Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya.

Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi.

Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard.

Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu.

Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi.

Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi.

Source: Berita harian Malaysia Online.

Jumaat, 3 Jun 2011

P Ramlee - Bintang yang tiada ganti

Oleh Hafizahril Hamid

TARIKH 29 Mei hari ini merupakan genap 38 tahun Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pergi meninggalkan kita. Namun hakikatnya bak kata pepatah beliau pergi meninggalkan nama.

P. Ramlee pastinya akan dikenang dan dicatat dalam sejarah sebagai orang Melayu paling berbakat dalam bidang seni bukan sahaja pada zamannya namun tetap kekal di ingatan selagi hayat dikandung badan.

Manakan tidak kanak-kanak kecil sekarang yang jauh berbeza zamannya berbanding P. Ramlee tetap mengingati nama hebat ini melalui filem-filemnya yang tetap segar ditonton walaupun telah dimainkan berulang kali.

Dirasakan seolah-olah P. Ramlee itu seakan-akan masih hidup di kalangan kita memandangkan suara dan filem-filem lakonannya masih terus bersemarak dan berbudaya di dalam masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Pemilik nama sebenar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh bukan sahaja berbakat dalam semua bidang seni dari lakonan ke nyanyian hinggalah pengarahan dan menggubah lagu malah dikenali sebagai insan pemurah yang tidak kenal erti kedekut setiap kali ada insan lain dalam kesusahan.

Azizah

Dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, anak kepada seorang ahli pelayaran ini memang begitu mencintai bidang seni sejak dari kecil. Menurut cerita, P. Ramlee kurang berminat dalam pelajaran tetapi lebih aktif dalam bidang seni suara sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Memandangkan minat yang mendalam P. Ramlee telah menyertai pasukan pancaragam Terona Sekampong, Mutiara dan Rindu Malam di luar sekolah namun terhenti akibat meletus Perang Dunia Kedua.

P. Ramlee mula dikesan bakatnya bermula melalui lagu Azizah yang dimainkan pada satu acara pesta di Bukit Mertajam oleh seorang pengarah filem terkenal dari Singapura, B. S Rajhans.

Maka bermulalah karier beliau sebagai penyanyi latar dan pemain biola dalam filem pertamanya bertajuk Cinta keluaran Malay Filem Production (MFP). Selain itu beliau juga bertanggungjawab menyusun lagu-lagu latar selain melakonkan watak pembantu utama dalam filem berkenaan.

Suara emas P. Ramlee telah digunakan sepenuhnya oleh Rajhans untuk mendendangkan lagu-lagu yang dibawa oleh hero yang dikagumi ketika itu seperti S. Roomai Noor, M. Amin dan Osman Gumanti.

Terpilih

Mungkin kerana keadaan fizikalnya yang kurus, bermuka cengkung serta pipinya yang tidak licin, bakatnya tidak dinilai sepenuhnya pada peringkat awal.

Setelah membuktikan beliau boleh melakukan apa saja yang diminta dalam bidang seni, P. Ramlee akhirnya terpilih menjadi tonggak utama dalam filem Takdir Ilahi bersama aktres Neng Yatimah arahan L. Krishnan.

Kemampuannya sebagai anak seni semakin terserlah apabila filem pertama arahannya Penarik Beca keluaran tahun 1955 mendapat sambutan hebat dan terpilih sebagai Filem Terbaik Seluruh Tanah Melayu.

Walaupun telah menempa nama sebagai anak seni, namun keadaan ketika itu sangat berlainan berbanding kemewahan yang melimpah ruah sekarang.

Banglo usang

Beliau bersama pelakon-pelakon lain seperti A.R Tompel, Kasma Booty, D. Harris dan lain-lain tinggal bersama keluarga masing-masing di sebuah banglo usang di Jalan Ampas.

Keadaan ketika itu dimana mereka tinggal dan bekerja di bawah satu bumbung boleh dikatakan makan, tidur malah bernafas hanya untuk seni. Pastinya keadaan sebegini tidak menjadi masalah bagi P. Ramlee yang sudah biasa berbual, berbincang malah bertengkar kerana filem.

Suasana sebeginilah yang mematangkan pemikiran seni beliau apatah lagi dengan hubungan baiknya dengan pengarah filem dan penggubah lagu.


Selain itu P. Ramlee sangat dikenali sebagai seorang yang cepat mesra dan suka bersembang dengan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira darjat dan keturunan. Ini sekaligus membolehkan beliau memahami denyut nadi masyarakat serta ragam dan telatah hidup manusia yang kemudian diserap dalam filem-filemnya.

Maka hasilnya segala gelagat dan tingkah laku manusia serta pelbagai asam garam kehidupan manusia menjadi antara bahan utama beliau dalam berkarya selain sebagai satu usahanya dalam memperbetulkan masyarakatnya.

Ini menjadikan karya P. Ramlee sangat dekat di hati masyarakat sehingga melahirkan ciptaan yang sehingga kini tidak lapuk dek zaman.

Kelemahan

P. Ramlee sepanjang hidupnya dikenali sebagai seorang yang tidak terpengaruh dengan dunia materialisme. Ketika kemuncaknya sebagai anak seni, kemewahan hidup yang mengulit beliau nyata tidak melupakan asal usul dirinya.

Menurut seorang rakan baik beliau yang juga Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein, P. Ramlee tidak langsung memikirkan tentang soal masa depannya.

Beliau begitu mudah terperangkap dengan pujuk rayu serta mudah kasihan dengan orang yang bercerita tentang kesusahannya. Satu sifat P. Ramlee yang paling menyerlah adalah terlalu baik hati sehingga mengakibatkan beliau selalu ditipu.

Sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya bertujuan meminta sedekah dan bantuan pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

P. Ramlee sememangnya sangat suka bersedekah dan menolong orang lain terutama golongan anak yatim yang mana semua ini dikeluarkan hasil dari duit poketnya sendiri.

Ditipu


Malangnya terdapat manusia yang sering mengambil kesempatan dengan menipu beliau malah ada yang sanggup menipu dengan meminta bantuan untuk mendirikan masjid. Setelah begitu banyak duitnya keluar namun sampai ke sudah bayang masjid pun tak ada.

Ujar Abdullah lagi, sifat terlalu bermurah hati ini serta percaya kepada semua orang bahawa mereka juga bersifat jujur sepertinya menjadi antara punca kejatuhan beliau sebelum pengakhir riwayatnya.

“Mereka datang dengan niat mahu mengikis duit P. Ramlee dengan cara meminta derma dan bantuan tetapi sebenarnya mereka berbohong kerana semua itu tidak benar.

“Ada antara mereka yang berkata ditimpa malapetaka , terkandas dan sebagainya tetapi itu tidak benar kerana mereka tahu P. Ramlee adalah seorang yang baik hati dan tidak bakhil seperti orang lain di Jalan Ampas,” katanya.

Selain itu ketika hayatnya, beliau sering saja ditipu oleh pihak-pihak promoter yang enggan membuat bayaran setelah beliau dan rakan-rakan selesai membuat pertunjukan.

“Bila selesai show ada pihak penganjur yang menghilangkan diri tidak mahu membayar maka terpaksalah P. Ramlee mengeluarkan wangnya sendiri sebagai ganti-rugi kepada rakan-rakan yang bersama membuat pertunjukan.

“Malah ada pihak yang menggunakan nama anak yatim untuk mencari derma atas nama pertunjukan amal. Sedangkan duit itu akhirnya masuk ke dalam poketnya sendiri,” kata Abdullah.

Dendam

Hakikat P. Ramlee menjadi bintang filem terkenal membuatkan ramai mereka yang terlibat dalam bidang seni menjadi iri hati dan menyimpan dendam serta mempunyai ramai musuh.

Malangnya ramai di antara mereka terdiri dari rakan-rakannya sendiri. Malah setelah ketiadaan P. Ramlee pun ramai di kalangan musuhnya mempertikai keperibadiannya serta mencemuh beliau sebagai seniman yang tidak apa boleh dibanggakan.

Dikatakan pernah wujud satu keadaan dimana terdapat pakatan mahu merosakkan wajah P. Ramlee untuk melenyapkan popularitinya.

Namun Tuhan masih bersama beliau kerana gerakan tersebut terbongkar dan seorang penyanyi yang dihormati ketika itu dikenali sebagai Jasni memberi amaran kepada golongan yang berlagak samseng ini supaya tidak diapa-apakan P. Ramlee.

Selain itu terdapat usaha untuk menyingkirkan P. Ramlee dari Studio Jalan Ampas melalui penyingkiran jawatannya sebagai Presiden Persatuan Artis Malaysia (PERSAMA). Gerakan Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Filem ketika itu turut sama mengheret P. Ramlee dalam masalah mengenai tuntutan gaji yang kecil.

Ini menyebabkan P. Ramlee membawa diri ke Kuala Lumpur mengakibatkan suasana di Studio Jalan Ampas semakin muram yang akhirnya ditutup.

Mereka ini akhirnya sedar bahawa kerana manusia bernama P. Ramlee inilah yang telah membawa sinar kejayaan kepada semua mereka.

Bersandarkan hasil karya dan bakat besar P. Ramlee maka adalah tidak salah untuk diberi gelaran Seniman Agung kepadanya. Bagaimanapun semua kejayaan itu tidak akan sempurna tanpa sokongan rakan sekerja termasuk mereka di belakang tabir.

Semestinya peminat tegar beliau dari segenap usia di serata dunia turut sama memainkan peranan agar karya-karyanya terus dihayati ramai dan selayaknya P. Ramlee diangkat sebagai sebutir bintang yang tiada galang gantinya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran