TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Upin dan Ipin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Upin dan Ipin. Papar semua catatan

Isnin, 5 Mac 2012

Upin dan Ipin bakal pecah rekod Istana Budaya Kuala Lumpur

Oleh ABD. AZIZ ITAR, aziz.itar@utusan.com.my
Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


KAREKTER kartun Upin dan Ipin yang mencipta fenomena menerusi kaca-kaca televisyen di negara ini dan rantau Asia Tenggara bakal melebarkan lagi popularitinya apabila ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 14 April hingga 6 Mei ini.

Menerusi persembahan Upin & Ipin The Musical, dua karekter kartun kanak-kanak kembar terbabit bakal memecahkan rekod pementasan di IB dengan 30 persembahan -yang paling banyak diadakan sejak panggung itu ditubuhkan lebih 10 tahun lalu.

Menurut penerbitnya, Burhanuddin Md. Radzi, dia yakin persembahan yang diadaptasi daripada siri televisyen itu dengan kos penganjuran mencecah RM2 juta mampu menarik ramai penonton.


"Kami merancang mengadakan pementasan Upin & Ipin The Musical sebanyak 30 pementasan tanpa henti. 23 persembahan akan diadakan pada pukul 8.30 malam dan tujuh lagi persembahan pada pukul 3 petang pada sepanjang 23 hari berturut-turut ia diadakan di IB.

"Selain itu, kami juga akan mementaskan sebuah pementasan Upin & Ipin The Musical yang khas dalam bahasa Inggeris pada 28 April pada pukul 3 petang. Ini bermakna, pementasan ini bakal memecahkan rekod pementasan paling banyak di IB," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Malah jelas Burhanuddin, biarpun Upin & Ipin The Musical hanya akan menemui para peminat kira-kira dua bulan lagi, tetapi tempahan tiket untuk menyaksikan pementasan hari pertama dan kedua sudah habis ditempah.

Tambahnya, selain menampilkan karekter Upin dan Ipin serta iringan nyanyian lagu-lagu yang melatari kebanyakan adegan pementasan itu, banyak elemen tambahan menggunakan teknologi multimedia terkini.

"Elemen seperti 3D (tiga dimensi) juga akan digunakan bagi menambahkan lagi tarikan pada pementasan ini. Ia mungkin berbaloi dengan harga-harga tiket yang dikenakan berharga daripada RM53 hingga RM400 untuk pementasan yang bertaraf antarabangsa ini.

"Bagaimanapun, pada masa sama kami juga terpaksa menampung kos penganjuran yang tinggi. Contohnya, kos sewa Panggung Sari untuk keseluruhan hari pementasan itu mencecah RM450,000 di mana ia agak mahal. Saya harap IB dapat kurangkan kadar sewa itu," pintanya.

Burhanuddin bukan sahaja teruja bercerita tentang pementasan Upin & Ipin The Musical, malah beliau turut membayangkan impiannya mahu membuka sebuah taman tema berdasarkan karekter Upin dan Ipin di sebuah kawasan berhampiran Sepang, Selangor.

Katanya, taman tema yang bersebelahan dengan Litar Lumba F1 di Sepang itu adalah tempat yang menjadi tumpuannya yang mana jika ia berjalan lancar, kos pembinaan taman tema itu dijangka akan mencecah kos sehingga RM700 juta apabila ia siap dibina kelak.

"Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan dengan MAB (Malaysia Airport Berhad) bagi mendapatkan tanah berhampiran litar F1 dan kalau tiada aral melintang pembinaan taman tema itu akan mengambil masa sekitar tiga tahun," jelasnya.

Upin & Ipin The Musical yang akan diarahkan oleh Zaifri Husin itu menampilkan ramai pelakon kanak-kanak terutamanya yang akan melakonkan watak Upin dan Ipin serta pelakon lain yang keseluruhannya mencecah seramai 60 orang yang dipilih menerusi sesi uji bakat tahun lalu.

Pementasan yang ditaja oleh KPJ Healthcare Berhad itu kata Zaifri, menampilkan empat pelakon kanak-kanak berbeza iaitu Faris Azim Abdul Karim, Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril, Amir Johar Nadim dan Muhamad Faritz Danial Roshaimi sebagai pelakon watak Upin dan Ipin.

"Kami sengaja menampilkan dua set pelakon berbeza untuk melakonkan watak Upin dan Ipin sebagai persediaan kalau ada apa-apa berlaku. Mereka akan melakonkan dua watak itu secara bergilir-gilir. Kalau setiap hari pelakon yang sama saya takut kanak-kanak itu akan penat.

"Selain berlakon kanak-kanak terbabit juga akan menari dan menyanyikan 17 lagu baru yang dicipta oleh Pak Ngah. Turut dipersembahkan ialah lagu Sahabat Selamanya yang dipopularkan oleh kumpulan Padi dari Indonesia pada persembahan selama dua jam," ujarnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Sabtu, 11 Jun 2011

Impikan tamantema Upin Ipin


Oleh NORAINI ABD. RAZAK, noraini.razak@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


ANIMASI Upin & Ipin episod Istimewa Hari Ibu pasti meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada hati sesiapa saja yang menonton. Biar pun sekadar animasi, namun kisah dua anak kecil yatim piatu mahu menyambut hari ibu sarat dengan sentuhan tersendiri. Susunan ayat mereka bersahaja. Selepas menziarah kubur dan mendoakan agar roh ibu mereka ditempatkan bersama orang yang beriman, Upin, Ipin dan kak Ros pulang ke rumah. Congakan penonton tentunya kisah tersebut berakhir di situ, namun kreativiti anak-anak muda yang menyusun jalan cerita tersebut ternyata mahukan kelainan.

Siapa sangka petah bicara Upin & Ipin bercerita tentang sambutan Hari Ibu berakhir dengan penghargaan terhadap Opah yang selama ini menggalas tugas ibu membesarkan mereka tiga beradik. Lantas istimewa Hari Ibu menjadi Hari Opah. Upin & Ipin - dua watak budak botak umpama hidup di hati rakyat Malaysia. Perlu diakui bukan sahaja kanak-kanak, siri animasi itu kini menarik perhatian orang dewasa untuk sama-sama menonton kisah yang disajikan setiap minggu.

Sewajarnya kejayaan Upin & Ipin 'menyelinap' masuk ke minda warga negara ini dengan cara yang amat positif menjadi kebanggaan Burhanuddin Md. Radzi. Siapa sangka penyertaannya dalam penerbitan animasi yang disifatkan sebagai 'terjebak' kira-kira enam tahun lalu kini menjadi fenomena. Upin & Ipin menjalar ke negara-negara rantau Asia seperti Indonesia dan Filipina. Penerimaan siri animasi itu di kalangan masyarakat tempatan sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Ke mana sahaja Upin & Ipin menjadi sebutan. Kesempatan bertemu Burhanuddin baru-baru ini sesungguhnya satu peluang untuk menyelongkar insan yang bertanggungjawab di sebalik nama Upin & Ipin. Anak kelahiran Teluk Panglima Garang, Selangor itu merupakan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang melahirkan animasi Upin & Ipin di mata masyarakat. Ternyata Burhanuddin sendiri tidak pernah menyangka beliau akan terlibat dalam industri penerbitan animasi yang jika dibandingkan dengan dunianya sebelum itu bagaikan langit dan bumi. Burhanuddin bukan orang seni. Dunianya adalah cari gali minyak. Beliau pernah menjadi jurutera petroleum untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd. sebaik menamatkan pengajian pada tahun 1982. Perkhidmatannya dalam bidang tersebut sememangnya memberangsangkan sehingga dianugerahkan Excellence Award daripada Petronas pada 1989 selain pernah mengetuai operasi pengeluaran untuk Baram Delta di Miri, Sarawak pada tahun 1990. Sememangnya meneliti pencapaian serta penglibatan Burhanuddin dalam bidang minyak dan gas agak sukar untuk mengaitkan penyertaan beliau dalam animasi.

''Saya terjebak,'' katanya apabila ditanya bagaimana beliau 'terjerumus' ke bidang yang amat berbeza dengan kemahirannya. Burhanuddin menyusun cerita. Katanya, selepas berhenti daripada Petronas beliau menyertai beberapa syarikat dan yang terakhir Dayang Enterprise Sdn. Bhd. (DESB) sebagai Pengarah Urusan. Namun selepas beberapa tahun dan didorong rasa tidak bersetuju apabila syarikat membuat keputusan untuk ke Bursa, Burhanuddin menjual saham dalam syarikat tersebut dan meninggalkan DESB.

''Selama dua tahun selepas meninggalkan DESB saya tidak buat apa. Hari-hari saya main golf sampai berhandikap sembilan.

Tercetus

''Sehingga satu satu hari isteri saya berkata sampai bila kami nak hidup macam ini,'' kata Burhanuddin mengimbau kata-kata isterinya Ainon Arif yang disifatkan sebagai tercetusnya keinginan untuk melakukan sesuatu mengisi kehidupan selepas meninggalkan DESB.

Teman hidupnya itu biar pun surirumah sepenuh masa tetapi mempunyai minat serta keinginan menerbitkan filem. Kebetulan salah seorang anak saudaranya penuntut Universiti Multimedia memberitahu tentang animasi tiga graduan di situ yang dikatakan hebat.

''Saya memang buta kartun, tetapi melihat hasil kerja mereka saya dapat rasakan kerja mereka memang hebat,'' kata bapa kepada empat orang anak itu. Bermula daripada situ Burhanuddin bekerja keras memikirkan bagaimana mahu menjadikan animasi sebagai bisnes. Berbekalkan simpanan yang ada, lulusan Kejuruteraan Petroleum Universiti Teknologi Malaysia itu bersama isterinya menubuhkan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada 2006.

Perjalanan bersama tiga anak muda yang berbakat besar dalam bidang animasi itu tidak mudah.

''Mereka pandai beranimasi, tetapi menulis skrip bukan bidang mereka. Di situ cabaran mencari penulis skrip yang tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan menerusi animasi.

''Oleh kerana ketika itu Les' Copaque sebuah syarikat yang tiada siapa pun kenal, maka saya dan isteri memikul peranan penulis skrip,'' katanya.

Tentunya banyak cabaran lain yang perlu ditempuh oleh Burhanuddin dan team Les' Copaque, lantaran baru merangkak mahu menghasilkan teknologi animasi 3D yang amat berkait rapat dengan kualiti animasi yang mahu dipertontonkan kepada umum.

Mereka belajar tentang modus operandi serta mencari agensi yang menyokong bidang tersebut sehingga adakalanya Burhanuddin menyifatkan cita-citanya mahu menonjolkan animasi tempatan sebagai ilusi.

''Memang ada agensi yang membantu tetapi mereka mahu kita melahirkan animasi global yang mampu menembusi Cannes. Namun sebagai syarikat kecil cabarannya adalah melahirkan animasi yang berbeza dengan ribuan produk yang ada di pasaran,'' katanya.

Burhanuddin mengakui tidak serasi dengan saranan agensi berkenaan lantas memilih caranya sendiri. Beliau mahu animasinya 'dekat' dengan populasi Asia yang membentuk dua pertiga daripada penduduk dunia sekali gus memecahkan monopoli barat. Semangat Burhanuddin dan pasukannya untuk melahirkan ikon Malaysia akhirnya tercapai menerusi watak kembar Upin & Ipin. Enam episod pertama menemui penonton pada Ramadan 2007 menerusi TV9, siapa angka percaturan mereka betul apabila siri tersebut meletup.

Hasratnya sebelum itu mahu menerbitkan Geng: Pengembaraan Bermula - filem animasi 3D terpaksa ditangguhkan kerana mahu mempopularkan Upin & Ipin. Ternyata siri animasi itu mencapai populariti serta rating tersendiri mendorong Burhanuddin menerbitkan 12 episod lagi pada 2008.

''Semasa inilah kita menerbitkan filem Gang: Pengembaraan Bermula dan sememangnya mencapai box office. Saya percaya teknik pemasaran dengan menyiarkan siri terlebih dahulu di kaca televisyen barulah beralih ke filem,'' katanya.

Selepas itu, pencapaian Les' Copaque tidak perlu diceritakan lagi. Pelbagai anugerah diterima. Upin & Ipin menjadi pujaan dan ikon di kalangan masyarakat malah menembusi pasaran luar. Malah jenama itu menjadi fenomena dan kegilaan kanan-kanak selain mencuri perhatian golongan dewasa. Burhanuddin mementingkan nilai sosial dan agama yang dipaparkan menerusi animasi supaya produk terbitan syarikatnya mendatangkan manfaat. Animasi terbaru Pada Zaman Dahulu bakal menemui penonton menerusi TV Hijrah tidak lama lagi - satu lagi usaha murni memartabatkan karya-karya penglipurlara supaya dikenali kalangan generasi muda.

Kini Les' Copaque dan Upin & Ipin tidak perlu diperkenalkan lagi. Ternyata nilai kekeluargaan, budi bahasa dan agama tidak menghalang produk animasi hasil kreativiti anak tempatan merentasi pasaran global. Burhanuddin tidak mahu berhenti di situ. Karnival Upin & Ipin membuktikan populariti siri animasi itu. Apa yang terjadi kepada siri Keluarga Anak-anak Sidek dan Usop Sontorian tidak seharusnya menimpa Upin & Ipin. Sebab itu Burhanuddin berusaha merealisasikan Taman Tema Upin & Ipin bagi memuktamadkan kehebatan produk tempatan yang diusahakan seratus peratus anak muda tempatan juga. Bagi Burhanuddin dan Ainon, jika seluruh dunia mengkagumi Walt Disney dan watak Mickey Mouse serta rakan-rakannya, Upin & Ipin juga mempunyai kekuatan tersendiri.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Selasa, 10 Mei 2011

Majalah Upin dan Ipin dalam bahasa Inggeris

Tarikh siar: 28/04/2011

KUALA LUMPUR 27 April - Untuk menggalakkan kanak-kanak membaca dalam bahasa Inggeris, syarikat Les" Copaque Production Sdn. Bhd. (Les" Copaque) hari ini melancarkan majalah Upin & Ipin: The Magazine dalam bahasa antarabangsa itu.

Majalah komik yang menyusul selepas komik Upin dan Ipin dalam bahasa Melayu itu dilancarkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di sini.

Ketika berucap melancarkan majalah itu, Noorainee berkata, penerbitan majalah berkenaan dalam bahasa Inggeris adalah untuk menarik minat kanak-kanak dalam membaca menggunakan bahasa antarabangsa dunia itu.

"Penerbitan majalah Upin and Ipin: The Magazine dalam bahasa Inggeris bukan bertujuan untuk mengetepikan bahasa Melayu yang sentiasa disanjung sebagai bahasa ibunda kita.

"Ia lebih kepada menambahkan lagi sumber bacaan bagi kanak-kanak. Ini kerana bagi kanak-kanak yang ingin mempelajari bahasa Inggeris, mereka boleh menggunakan komik ini sebagai satu kaedah mempelajarinya," katanya.

Noorainee berkata, siri animasi Upin dan Ipin sangat popular pada kalangan kanak-kanak termasuklah cucu-cucu beliau sendiri.

"Melalui program inilah mereka turut bercakap dalam bahasa Upin dan Ipin dan sekali gus mempelajari bahasa Inggeris melalui majalah ini dengan penggunaan bahasa dan intonasi serta gaya kedua-dua watak animasi itu," katanya.

Menurut beliau, majalah baru ini akan membuat pembaca lebih seronok sambil meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa itu.

"Justeru, anak-anak sekalian, semaikan minat membaca dan jadikan membaca satu amalan dan tabiat yang baik dan dilakukan secara berterusan kerana membaca adalah punca ilmu," katanya.

Siri animasi terkenal itu bukan setakat memberi hiburan tetapi telah berjaya memberi pengajaran dan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian kita selain mempromosikan konsep gagasan 1Malaysia, kata Noorainee.

"Upin dan Ipin juga memaparkan konsep 1Malaysia di mana kanak-kanak berbilang bangsa pergi ke sekolah bersama-sama, bermain bersama sambil mempelajari dan menghormati akan nilai budaya satu sama lain," katanya.

Majalah komik yang dihasilkan oleh Les" Copaque dengan kerjasama NYLA Sdn. Bhd. itu turut mengandungi berita, aktiviti, maklumat dan peraduan berkaitan karaktor kartun Upin dan Ipin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif NYLA Sdn. Bhd., Tunku Maziah Tunku Mukhtar dan Pengarah Urusan Les" Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Mohd. Radzi.

Majalah itu akan berada di pasaran minggu depan dengan harga RM5.90 senaskhah. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.

Sabtu, 26 Mac 2011

Les’ Copaque hasilkan Upin & Ipin terima Anugerah Khas NEF-Awani 2010

KUALA LUMPUR 24 Mac - Syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin & Ipin, Les' Copaque Production Sdn. Bhd. dipilih sebagai penerima anugerah khas Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani Tun Dr. Mahathir pada majlis Anugerah ICT NEF-Awani 2010.

Pengarah Urusannya, Burhanuddin Md. Radzi berkata, pemilihan itu dilihat sebagai pengiktirafan yang tidak ternilai kepada syarikatnya.

''Untuk sampai ke peringkat ini, banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilalui terutama bagi mempopularkan produk animasi yang telah kami cipta selain mengekalkan kualitinya.

''Pada masa akan datang, Les' Copaque merancang menghasilkan lebih banyak produk animasi baru dalam usaha memajukan lagi industri kandungan kreatif tempatan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebanyak 31 syarikat ICT bumiputera tempatan dipilih bertanding ke peringkat akhir anugerah tersebut menerusi tujuh kategori utama di mana pemenangnya dinilai oleh juri selain lima kategori pilihan rakyat yang ditentukan secara undian dalam talian.

Syarikat Century Software Sdn. Bhd. mengungguli kategori Produk Perisian Bumiputera Terbaik, Terato Tech Sdn. Bhd. bagi kategori Usahawan Tekno Bumiputera Muda Terbaik, Lot.my untuk kategori Aplikasi Media Baru Bumiputera Terbaik dan Islamkids Media Sdn. Bhd diterima sebagai Kandungan/Aplikasi Mudah Alih Bumiputera Terbaik.

Sementara itu, Animonsta Studios Sdn. Bhd memenangi kategori Syarikat Startup Bumiputera Terbaik, Netcarbon Sdn. Bhd. bagi Animasi Kreatif/Permainan Bumiputera Terbaik dan Orea Technologies Sdn. Bhd. menjuarai kategori Syarikat Bumiputera Paling Inovatif.

Bagi kategori pilihan rakyat pula, TM diumumkan sebagai Syarikat Telekomunikasi Pilihan, Maybank sebagai Penyedia Perkhidmatan Dalam Talian Pilihan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk e-Perkhidmatan Kerajaan Pilihan, Tonton.com.my bagi Portal Hiburan Pilihan serta MYeG dipilih e-komuniti/e-perkhidmatan Pilihan.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani dengan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.

Ia mempunyai objektif menyokong dan membantu pembangunan usahawan ICT bumiputera tempatan yang berpotensi untuk maju ke peringkat lebih baik.

Source: Utusan Malaysia Online.
25 March 2011.

Sabtu, 3 Julai 2010

Upin dan Ipin

Tulisan: Awang Selamat.
Ruangan “Bisik-Bisik Mingguan”

Tarikh: Ahad 04 Julai 2010.


Filem animasi 3D bersiri Geng yang menampilkan watak kembar Upin dan Ipin meninggalkan kesan istimewa kepada industri perfileman tanah air. Ia bukan sahaja popular di negara ini malah mendapat sambutan hebat di negara serantau termasuk Indonesia.

Kisah dua budak botak yang nakal tetapi bijak dan keletah sudah menjadi fenomena di negara jiran tersebut. Menariknya juga, Geng yang ditayangkan di televisyen Indonesia turut menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia. Dialog-dialog dan sebutan tertentu dalam siri itu menjadi ikutan antaranya ''betul, betul, betul...". Istilah opah dan atok yang begitu asing terutama di Kepulauan Jawa kini sudah biasa didengar menerusi filem itu.

Dengan kata lain, Geng yang diterbitkan oleh syarikat tempatan, Les Copaque Sdn. Bhd kini menjadi fenomena di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Khabarnya, filem animasi itu baru sahaja menembusi pasaran India dengan dialihbahasakan kepada 11 dialek.

Awang mengucapkan tahniah kepada penerbitnya. Ia membuktikan bahawa produk tempatan yang berkualiti dan kreatif seperti Geng mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Awang turut bangga kerana filem itu telah menonjolkan imej Malaysia ke luar negara di samping mempromosi nilai positif kehidupan yang digambarkan dalam keluarga Upin dan Ipin. Banyak lagi kekuatan dalam Geng yang kini menjadi kegilaan di kalangan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, ia mampu menjadi jambatan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat. Dalam satu dialog melibatkan editor kanan Malaysia dan Indonesia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini, watak Upin dan Ipin turut dijadikan rujukan.

Sama ada ketika dialog mahupun sesi sembang di meja makan, beberapa editor Indonesia teruja bercakap tentang Upin dan Ipin sambil menyifatkannya sebagai produk yang dapat mendekatkan pemahaman dan jalinan antara rakyat. Sekali lagi, ia membuktikan bahawa pasaran Indonesia yang kononnya kebal dan sukar ditembusi oleh filem Malaysia, tidaklah sama sekali benar. Selepas kegemilangan era filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pernah memikat hati rakyat Indonesia suatu ketika dahulu, Geng berjaya menembusi negara itu dengan impak tersendiri.

Dalam dialog anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami), turut disebut tentang fenomena penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza yang masih belum pudar di kalangan rakyat negara jiran itu selain beberapa nama lain seperti Sheila Majid dan Amy Search.

Begitulah penangan Upin dan Ipin serta Siti Nurhaliza di Indonesia. Kesan populariti kedua-duanya, boleh meredakan sedikit sebanyak bahang di peringkat rakyat akar umbi ekoran isu-isu semasa melibatkan hubungan dua hala yang acap kali dilaporkan secara sensasi dan panas oleh sebahagian media negara itu.

Awang percaya peranan itu mungkin tidak dapat dimainkan oleh diplomat dan saluran rasmi yang ada.

- Awang Selamat

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran