TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 11 Jun 2011

Impikan tamantema Upin Ipin


Oleh NORAINI ABD. RAZAK, noraini.razak@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


ANIMASI Upin & Ipin episod Istimewa Hari Ibu pasti meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada hati sesiapa saja yang menonton. Biar pun sekadar animasi, namun kisah dua anak kecil yatim piatu mahu menyambut hari ibu sarat dengan sentuhan tersendiri. Susunan ayat mereka bersahaja. Selepas menziarah kubur dan mendoakan agar roh ibu mereka ditempatkan bersama orang yang beriman, Upin, Ipin dan kak Ros pulang ke rumah. Congakan penonton tentunya kisah tersebut berakhir di situ, namun kreativiti anak-anak muda yang menyusun jalan cerita tersebut ternyata mahukan kelainan.

Siapa sangka petah bicara Upin & Ipin bercerita tentang sambutan Hari Ibu berakhir dengan penghargaan terhadap Opah yang selama ini menggalas tugas ibu membesarkan mereka tiga beradik. Lantas istimewa Hari Ibu menjadi Hari Opah. Upin & Ipin - dua watak budak botak umpama hidup di hati rakyat Malaysia. Perlu diakui bukan sahaja kanak-kanak, siri animasi itu kini menarik perhatian orang dewasa untuk sama-sama menonton kisah yang disajikan setiap minggu.

Sewajarnya kejayaan Upin & Ipin 'menyelinap' masuk ke minda warga negara ini dengan cara yang amat positif menjadi kebanggaan Burhanuddin Md. Radzi. Siapa sangka penyertaannya dalam penerbitan animasi yang disifatkan sebagai 'terjebak' kira-kira enam tahun lalu kini menjadi fenomena. Upin & Ipin menjalar ke negara-negara rantau Asia seperti Indonesia dan Filipina. Penerimaan siri animasi itu di kalangan masyarakat tempatan sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Ke mana sahaja Upin & Ipin menjadi sebutan. Kesempatan bertemu Burhanuddin baru-baru ini sesungguhnya satu peluang untuk menyelongkar insan yang bertanggungjawab di sebalik nama Upin & Ipin. Anak kelahiran Teluk Panglima Garang, Selangor itu merupakan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang melahirkan animasi Upin & Ipin di mata masyarakat. Ternyata Burhanuddin sendiri tidak pernah menyangka beliau akan terlibat dalam industri penerbitan animasi yang jika dibandingkan dengan dunianya sebelum itu bagaikan langit dan bumi. Burhanuddin bukan orang seni. Dunianya adalah cari gali minyak. Beliau pernah menjadi jurutera petroleum untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd. sebaik menamatkan pengajian pada tahun 1982. Perkhidmatannya dalam bidang tersebut sememangnya memberangsangkan sehingga dianugerahkan Excellence Award daripada Petronas pada 1989 selain pernah mengetuai operasi pengeluaran untuk Baram Delta di Miri, Sarawak pada tahun 1990. Sememangnya meneliti pencapaian serta penglibatan Burhanuddin dalam bidang minyak dan gas agak sukar untuk mengaitkan penyertaan beliau dalam animasi.

''Saya terjebak,'' katanya apabila ditanya bagaimana beliau 'terjerumus' ke bidang yang amat berbeza dengan kemahirannya. Burhanuddin menyusun cerita. Katanya, selepas berhenti daripada Petronas beliau menyertai beberapa syarikat dan yang terakhir Dayang Enterprise Sdn. Bhd. (DESB) sebagai Pengarah Urusan. Namun selepas beberapa tahun dan didorong rasa tidak bersetuju apabila syarikat membuat keputusan untuk ke Bursa, Burhanuddin menjual saham dalam syarikat tersebut dan meninggalkan DESB.

''Selama dua tahun selepas meninggalkan DESB saya tidak buat apa. Hari-hari saya main golf sampai berhandikap sembilan.

Tercetus

''Sehingga satu satu hari isteri saya berkata sampai bila kami nak hidup macam ini,'' kata Burhanuddin mengimbau kata-kata isterinya Ainon Arif yang disifatkan sebagai tercetusnya keinginan untuk melakukan sesuatu mengisi kehidupan selepas meninggalkan DESB.

Teman hidupnya itu biar pun surirumah sepenuh masa tetapi mempunyai minat serta keinginan menerbitkan filem. Kebetulan salah seorang anak saudaranya penuntut Universiti Multimedia memberitahu tentang animasi tiga graduan di situ yang dikatakan hebat.

''Saya memang buta kartun, tetapi melihat hasil kerja mereka saya dapat rasakan kerja mereka memang hebat,'' kata bapa kepada empat orang anak itu. Bermula daripada situ Burhanuddin bekerja keras memikirkan bagaimana mahu menjadikan animasi sebagai bisnes. Berbekalkan simpanan yang ada, lulusan Kejuruteraan Petroleum Universiti Teknologi Malaysia itu bersama isterinya menubuhkan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada 2006.

Perjalanan bersama tiga anak muda yang berbakat besar dalam bidang animasi itu tidak mudah.

''Mereka pandai beranimasi, tetapi menulis skrip bukan bidang mereka. Di situ cabaran mencari penulis skrip yang tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan menerusi animasi.

''Oleh kerana ketika itu Les' Copaque sebuah syarikat yang tiada siapa pun kenal, maka saya dan isteri memikul peranan penulis skrip,'' katanya.

Tentunya banyak cabaran lain yang perlu ditempuh oleh Burhanuddin dan team Les' Copaque, lantaran baru merangkak mahu menghasilkan teknologi animasi 3D yang amat berkait rapat dengan kualiti animasi yang mahu dipertontonkan kepada umum.

Mereka belajar tentang modus operandi serta mencari agensi yang menyokong bidang tersebut sehingga adakalanya Burhanuddin menyifatkan cita-citanya mahu menonjolkan animasi tempatan sebagai ilusi.

''Memang ada agensi yang membantu tetapi mereka mahu kita melahirkan animasi global yang mampu menembusi Cannes. Namun sebagai syarikat kecil cabarannya adalah melahirkan animasi yang berbeza dengan ribuan produk yang ada di pasaran,'' katanya.

Burhanuddin mengakui tidak serasi dengan saranan agensi berkenaan lantas memilih caranya sendiri. Beliau mahu animasinya 'dekat' dengan populasi Asia yang membentuk dua pertiga daripada penduduk dunia sekali gus memecahkan monopoli barat. Semangat Burhanuddin dan pasukannya untuk melahirkan ikon Malaysia akhirnya tercapai menerusi watak kembar Upin & Ipin. Enam episod pertama menemui penonton pada Ramadan 2007 menerusi TV9, siapa angka percaturan mereka betul apabila siri tersebut meletup.

Hasratnya sebelum itu mahu menerbitkan Geng: Pengembaraan Bermula - filem animasi 3D terpaksa ditangguhkan kerana mahu mempopularkan Upin & Ipin. Ternyata siri animasi itu mencapai populariti serta rating tersendiri mendorong Burhanuddin menerbitkan 12 episod lagi pada 2008.

''Semasa inilah kita menerbitkan filem Gang: Pengembaraan Bermula dan sememangnya mencapai box office. Saya percaya teknik pemasaran dengan menyiarkan siri terlebih dahulu di kaca televisyen barulah beralih ke filem,'' katanya.

Selepas itu, pencapaian Les' Copaque tidak perlu diceritakan lagi. Pelbagai anugerah diterima. Upin & Ipin menjadi pujaan dan ikon di kalangan masyarakat malah menembusi pasaran luar. Malah jenama itu menjadi fenomena dan kegilaan kanan-kanak selain mencuri perhatian golongan dewasa. Burhanuddin mementingkan nilai sosial dan agama yang dipaparkan menerusi animasi supaya produk terbitan syarikatnya mendatangkan manfaat. Animasi terbaru Pada Zaman Dahulu bakal menemui penonton menerusi TV Hijrah tidak lama lagi - satu lagi usaha murni memartabatkan karya-karya penglipurlara supaya dikenali kalangan generasi muda.

Kini Les' Copaque dan Upin & Ipin tidak perlu diperkenalkan lagi. Ternyata nilai kekeluargaan, budi bahasa dan agama tidak menghalang produk animasi hasil kreativiti anak tempatan merentasi pasaran global. Burhanuddin tidak mahu berhenti di situ. Karnival Upin & Ipin membuktikan populariti siri animasi itu. Apa yang terjadi kepada siri Keluarga Anak-anak Sidek dan Usop Sontorian tidak seharusnya menimpa Upin & Ipin. Sebab itu Burhanuddin berusaha merealisasikan Taman Tema Upin & Ipin bagi memuktamadkan kehebatan produk tempatan yang diusahakan seratus peratus anak muda tempatan juga. Bagi Burhanuddin dan Ainon, jika seluruh dunia mengkagumi Walt Disney dan watak Mickey Mouse serta rakan-rakannya, Upin & Ipin juga mempunyai kekuatan tersendiri.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran