TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 9 Jun 2011

Berkelana sejak usia remaja

Ihsan Utusan Malaysia Online
Oleh Ku Seman Ku Hussain


Dato Mustapha Maarof

MENYAMBUT kepulangannya petang itu adalah dua cucu yang manja. Mereka meluru dan memeluk kaki sambil merengek meminta perhatian. Beliau datuk yang penyayang.

Keletah manja kedua-dua cucu itu menunjukkan bahawa dalam banyak watak yang dilakonkan di layar perak tidak jauh perwatakannya yang sebenar.

Kedua-dua anak kecil itu mengadu itu dan ini, beliau mendengar penuh perhatian. Beliau pun bercerita tentang cucu-cucu yang menjadi penghibur setelah anak-anaknya yang dulunya kecil kini dewasa dan mempunyai keluarga.

Kalau dulu, ketika dua anaknya masih kecil beliau memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang selepas ibu mereka pergi untuk selama-

lamanya. Perhatian kepada cucu-cucu itu, menurutnya sama seperti curahan kasih sayang kepada anak-anak tatkala beliau memikul tugas sebagai bapa sekaligus ibu.


Petang itu pelakon veteran Datuk Mustapha Maarof bercerita tentang masa lampau, zaman kanak-kanak yang manis selepas itu pahit apabila ayahnya pergi tatkala usianya di pangkal remaja. Beliau tersenyum mengingatkan waktu-waktu manis di sisi ayah dan ibu. Tetapi manis hidup sebagai anak remaja kepada seorang Pegawai Daerah (DO) di Perak tidak lama. Ayahnya pergi dulu, tidak lama kemudian ibunya berkahwin lain. Mustapha mengibaratkan diri remajanya layang-layang terputus tali.

“Saya tidak pasti adakah saya terlepas perhatian atau itu hanya anggapan saya tatkala ibu berkahwin dan saya sudah tidak punya ayah. Tetapi memang rasa terasing sedikit,” ujar Mustapha.

Pengarah Urusan Warna Motion yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu masih aktif dalam menerbitkan filem iklan dan dokumentari. Katanya, beliau berniaga secara kecil-kecilan dan syarikat itu banyak berjasa kepada beliau sekeluarga selepas tidak aktif berlakon semasa di Kuala Lumpur.

Mustapha anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan pada 1 Januari 1935 ini berkelana pada usia yang sangat muda - 19 tahun. Beliau terpaksa menamatkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selepas kematian ayah memahat keazaman untuk berdikari.

“Terasa sayang juga nak berhenti dari MCKK, nak masuk bukannya mudah. Masa itu anak-anak bangsawan saja yang boleh masuk. Tetapi selepas ayah tiada, siapa nak tanggung belanja. Maka rencana hidup pun berubah,” kata Mustapha sambil mengusap kepada cucunya Rizque Rayyan dan Nor Qasih di riba.

Beliau tidak menafikan dahagakan kasih sayang, pada usia 19 tahun telah keluar berkelana ke Singapura berbekalkan RM100. Nasib baik semasa di Singapura beliau bertemu dengan pengarah veteran Datuk L. Krishnan dan menjadikannya sebagai anak angkat.

Semasa di kampung beliau sering ke Seremban menonton filem lakonan P. Ramlee. Lalu terbius angan-angan hendak menjadi seperti P. Ramlee.

“Dengan RM100 saya sampai ke Singapura, dapat kerja di studio filem sebagai conty boy. Tak sampai setahun, dapat pula berlakon watak utama. Tetapi saya banyak berlakon watak adik Nordin Ahmad sebab nampak muda sangat nak berlakon watak lebih tua,” ujar pelakon yang selalu berganding dengan Nordin Ahmad di Cathay Keris, Singapura.

Bercakap tentang lelaki ini, semua orang kagum dengan cintanya kepada isteri, Allahyarham Roseyatimah yang meninggal dunia tahun 1987. Beliau lelaki yang dahaga kasih sayang ayah pada usia remaja, merasa hilang kasih ibu kerana berkahwin lain dan apabila berkahwin dengan Roseyatimah, kasih sayangnya cukup mahal.

Pemergian

Hingga kini Mustapha terus hidup menduda, beliau membesarkan dua anaknya, Azlinna, 41 tahun dan Mohamad Rezainuddin, 35 tahun, selepas pemergian Roseyatimah. Baginya biarlah anak-anak mendapat kasih sayang serta perhatian yang secukupnya dan beliau berkorban untuk itu.

Pengalaman kehilangan ayah pada usia belasan tahun, mengukuhkan tekad Mustapha supaya anak-anak tidak merasa “kehilangan” beliau selepas pemergian Roseyatimah. Hidupnya selepas ketiadaan Roseyatimah hanyalah ke tempat kerja dan di rumah.

Apabila ditanya apakah beliau tidak seperti sebahagian artis yang memburu keseronokan di pusat-pusat hiburan, Mustapha mengatakan beliau tidak ada masa untuk itu.

“Masa saya waktu itu untuk anak-anak, anak sulung baru berusia 17 tahun waktu ibu mereka tiada. Saya tak terfikir untuk mencari keseronokan dan membiarkan anak-anak,” kata Mustapha berulang kali menyebut penglibatannya dalam dunia lakonan bukan untuk mencari keseronokan tetapi untuk menyara keluarga.

“Di rumah ini Rose meninggal, di bahagian belakang itu dimandikan dan anak-anak ada kenangan di rumah ini,” suaranya sedikit tersekat bagai mengundurkan waktu pada cebisan-cebisan hidup yang pahit dan manis bersama Roseyatimah.

Ketika ditanya adakah beliau seorang lelaki yang setia, Mustapha menganggap kesetiaan kepada seseorang adalah suatu yang sangat abstrak. Beliau tidak berani mengiyakan atau menafikan kerana bimbang perasaan itu menjadi murah. Antara beliau dan Roseyatimah tidak ada janji, andainya salah seorang pergi dahulu, yang tinggal tidak akan berkahwin.

Mustapha tidak ada kegiatan tertentu untuk mengisi masa lapangnya, bermain golf jauh sekali kerana katanya, “Itu sukan mahal, kena ada duit banyak. Tak mampulah saya.”

Hidupnya sangat sederhana, rumah yang dihuni sekarang di Subang Jaya dibeli tahun 1973 dengan harga RM34,000. Beliau menganggap, di situlah pangkalan terakhir. Maknanya tidak akan berpindah lagi ke rumah yang lain.

“Tak mampulah nak beli rumah sekarang ini, mahal sangat. Lagi pun sudah tua begini bank pun tak nak bagi pinjaman,” kata Mustapha yang berusia 76 tahun. Beliau adalah antara seniman yang mencipta nama di Singapura kemudian berpindah ke Kuala Lumpur selepas studio perfileman ditutup pada awal 1970.

Mustapha sangat terhutang budi dengan pengarah veteran Datuk L. Krishnan yang mengambil beliau sebagai anak angkat semasa mula menjejak kaki ke Singapura. L. Krishnan banyak membantu menggilap dan memberi peluang kepada Mustapha. Kerana L. Krishnan juga Mustapha berpindah dari Cathay Keris di Singapura ke Studio Merdeka di Hulu Kelang yang sekarang menjadi tapak pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Saya ikut L. Krishnan kerana dia menawarkan bayaran sekali ganda kalau ikut dia ke Studio Merdeka. Selama ikat kontrak tiga tahun di Studio Merdeka saya berlakon lebih 10 filem,” ujarnya yang menamatkan kontrak di Studio Merdeka pada 31 Disember 1962 dan menyambung kerjaya berlakon di Singapura.

Bagi Mustapha, penutupan studio perfileman di Singapura pada 1970 adalah bencana yang menimpa hidupnya. Beliau dan banyak pelakon-pelakon yang hidup dengan berlakon terkapai-kapai tiada pekerjaan. Masa depan gelap dan beliau hampir hilang punca untuk meneruskan hidup kerana kerja yang boleh dilakonkan hanyalah berlakon.

“Itu catatan hitam dalam hidup saya. Tak tahu nak ke mana. Nak kerja apa? Saya beradu nasib ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur ada tragedi lagi, anak kedua saya meninggal dunia kerana denggi pada usia tiga tahun. Rose sangat tertekan dengan tragedi itu,” cerita Mustapha yang pernah menumpang rumah bekas wartawan Utusan Melayu, Allahyarham Aimi Jarr yang dikenali semasa di Singapura.

“Aimi Jarr banyak membantu saya di Kuala Lumpur. Beliau mempelawa saya sekeluarga menumpang di rumahnya di Ampang Jaya kerana saya tak ada sesiapa di Kuala Lumpur. Apabila anak saya meninggal dunia, dia juga menguruskan pengkebumian anak saya,” jelas Mustafa dengan mata berkaca tertusuk ingatan lampau bersama anaknya.

Ketika ditanya adakah hati beliau pernah terdetik rasa kesal menjadi pelakon filem, Mustapha menolak sama sekali. Rakan-rakan yang memasuki MCKK semuanya menjadi orang ternama dan dihormati. Mustapha tidak merasa rendah diri kerana menjadi pelakon dan hidup dengan serba sederhana.

“Saya bersyukur kerana menjadi manusia dan hingga kini mampu memberikan serba sedikit sumbangan kepada masyarakat. Saya bangga menjadi pelakon,” tegas Mustapha tanpa ragu-ragu. Menumpang seketika petang itu dalam kehidupan Mustapha, terasa kedamaian seorang lelaki yang pernah dipuja peminat kini hidup dan terus berbakti kepada dunia yang diwarnai sejak remaja hingga sekarang.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran