TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 16 Jun 2012

Siapa Tan Sri Mohamed Noah Omar?

Foto ihsan Utusan.

Oleh Azman Anuar , rencana@utusan.com.my

Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar meninggal dunia pada 1990. Beliau telah dimakamkan di Makam Pahlawan.

Mohamed Noah ialah tokoh yang sangat besar. Jasa dan sumbangannya kepada bangsa Melayu dan negara tidak ternilai tetapi sayang mudah dilupakan.

Jangan dilupai bahawa Allahyarham adalah negarawan dan pejuang kemerdekaan.

Beliau juga adalah antara tokoh utama yang merintis penubuhan UMNO untuk menentang Malayan Union. Namanya tercatat sebagai Speaker atau Yang Dipertua yang pertama Dewan Rakyat selepas negara merdeka. Tidak patut juga dilupakan peranan dan tugas beliau sebagai Pengerusi Tetap UMNO.

Kemungkinan besar ramai yang belum mengenal tokoh ini berbanding dengan nama besar seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, sedangkan Mohamed Noah adalah orang penting kepada tokoh-tokoh yang kita kenali ini baik melalui sejarah atau buku biografi mengenai mereka.

Kita kagum bila mengetahui Tun Razak dan Tun Hussein adalah menantu beliau. Bapa mentua dan dua anak menantu bersama-sama di pentas UMNO memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air.

Dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah cucunya yang kini berada dalam Kabinet.

 Foto ihsan Utusan.

Mengikut salasilah, Mohamed Noah berasal daripada sebuah keluarga yang sejak turun-temurun bergelar "Orang Kaya" yang menjaga dan mentadbir daerah Padang, Muar.

 Foto ihsan Utusan.

Bapanya, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid merupakan "Orang Kaya" yang terbilang dan berpengaruh pada zaman pemerintahan Almarhum SuItan Abu Bakar (1862-1895).

Gelaran "Orang Kaya" dikurniakan kepada seseorang rakyat untuk menjadi wakiI Sultan menjaga keamanan dan mentadbir daerahnya.

Didikan

Malah kaum keluarga Orang Kaya Junid iaitu datuk kepada Mohamed Noah berasaI daripada titisan zuriat seorang kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Mor, Muar, Johor.

Mohamed Noah dilahirkan di Bandar Maharani Muar pada 13 Ogos 1897 bersamaan 12 Rabiul Awal iaitu bertetapan pada hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sejak kecil lagi beliau telah mendapat didikan yang berpegang teguh dengan ajaran-ajaran agama Islam. Setelah tamat belajar di sekolah MeIayu, Mohamed Noah dihantar belajar di sekolah Arab Al-Madarasah Al-Arabiah Al-Khairiah.

Oleh sebab di tanah air kita pada masa itu tidak ada sekoIah Arab dan agama yang Iebih tinggi daripada itu, maka beliau dihantar ke Beirut, Lebanon untuk melanjutkan pelajaran tinggi daIam jurusan bahasa Arab dan agama pada 11 Mei 1914.

Bersama dengan tujuh lagi rakannya, Mohamed Noah pernah menuntut ilmu di Kuliah Al-Othmaniah Al-Islamiah, Beirut dan kemudian di Syrian Protestant College (sekarang American University of Beirut).

Apabila pulang ke tanah air, beliau mendapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat perniagaan warga Denmark yang berniaga membeli susu getah di Jalan Bakri, Bandar Maharani, Muar.

Dalam bulan Julai 1920 beliau telah berhenti kerja dan berkhidmat pula dalam Kerajaan Johor sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar.

Setelah kira-kira dua tahun bekerja di Mahkamah Tinggi, Muar, maka pada bulan April 1922, Mohamed Noah pun mendirikan rumah tangga dengan Maimun Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar).

Daripada perkongsian hidup itu mereka dikurniakan beberapa orang anak, antaranya ialah Fakhriah (gelaran Teh), Abu Rais (gelaran Atan), Suhaila dan Rahah.

Fakhriah ialah isteri kepada Datuk Abdullah bin Ahmad, bekas Yang Dipertua Majlis Bandaran Johor Bahru, Suhaila isteri kepada Hussein Onn, (Perdana Menteri ketiga) dan Rahah isteri kepada Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua).

Walaupun sibuk dengan urusan pejabat tetapi beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan yang sejiwa dengannya telah mengikuti kelas undang-undang.

Akhirnya, dengan azam yang kuat dan bersungguh-sungguh Mohamed Noah telah lulus peperiksaan undang-undang. Dengan kelulusan itu beliau telah dilantik menjadi pegawai kerajaan Johor pada 15 Julai 1928. Beliau kemudiannya menjadi seorang Majistret kelas dua di Mahkamah Muar.

Setelah bertugas di Mahkamah Muar, pada bulan Januari 1934, Mohamed Noah ditukarkan ke Mersing sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah bagi daerah Mersing merangkap Majistret di daerah itu.

Pada 4 Januari 1936, beliau kemudiannya ditukarkan semula bertugas di Muar sebagai Penolong Kanan Pemungut Hasil Tanah bagi daerah Muar. Setelah selama lebih kurang tiga tahun beliau memegang jawatan tersebut, pada 1 Julai 1939, Mohamed Noah telah dilantik memegang jawatan Timbalan Pegawai Daerah Mersing hinggalah meletus Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1942.

Setelah tentera Jepun di Malaya menyerah kalah kepada pemerintahan tentera British pada 12 September 1945, maka pada saat itulah orang Melayu mulai sedar tentang nasib bangsa dan negara mereka.

Datuk Onn Jaafar adalah salah seorang daripada tokoh politik yang mula-mula sekali bergerak menyatukan orang Melayu dalam pertubuhan "Pergerakan Melayu Semenanjung". Pergerakan yang dipimpin beliau itu berpusat di Batu Pahat.

Pada ketika itu Mohamed Noah tinggal di Batu Pahat, berkhidmat sebagai Majistret. Beliau juga adalah orang yang bekerja keras menubuhkan pergerakan itu, sebuah pertubuhan politik yang pertama ditubuhkan oleh orang Melayu di Johor selepas Perang Dunia Kedua.

Beliau juga salah seorang daripada tokoh-tokoh politik Johor yang memainkan peranan penuh dalam perjuangan orang Melayu menghapus Malayan Union.

Ingatlah bahawa pada awal bulan November 1945, satu mesyuarat kecil di antara enam tokoh politik Melayu Johor telah diadakan di rumah Mohamed Noah di Jalan Sultanah, Batu Pahat. Perbincangan dijalankan sejak dari pukul 8.00 malam dan berakhir pada pukul 3.00 pagi menjadi titik mula penubuhan UMNO.

Jawatan terakhir Mohamed Noah sebagai kakitangan awam ialah Yang Dipertua Jabatan Agama Johor.

Bertanding

Pada 1 Ogos 1950 genaplah usianya 55 tahun, Mohamed Noah bersara daripada jawatan kerajaan Johor setelah menjalankan perkhidmatan dengan taat setia selama 30 tahun (dari 1920 hingga 1950).

Selepas bersara, Mohamed Noah telah bergerak lebih cergas dalam gelanggang politik tanah air dan juga badan-badan kebajikan dan sukarela.

Mohamed Noah dipilih menjadi Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1951. Beliau telah memegang jawatan itu selama lapan tahun berturut-turut hingga akhir tahun 1959.

Mohamed Noah telah meletakkan jawatan Pengerusi Tetap UMNO apabila beIiau di lantik menjadi Speaker pertama bagi Dewan Rakyat pada 1959.

Apabila pilihan raya diadakan di Johor pada 1955, Mohamed Noah telah bertanding di kawasan Segamat dan beliau menang. Beliau mewakili kawasan Segamat dari 9 Oktober 1955 hingga Jun 1959 dan beliau juga menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerja Negeri Johor sepanjang tempoh tersebut.

Sebagai majistret dan berjuang menentang Malayan Union, beliau diberi kepercayaan bertanding di Johor Bahru Timur, Johor mewakili Perikatan / UMNO dalam pilihan raya umum 1959. Dan beliau menang.

Selain daripada itu Mohamed Noah juga banyak memberikan sumbangan khidmatnya bukan sahaja kepada badan-badan kerajaan tetapi juga badan-badah sukarela baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Selain daripada menjadi Pengerusi Tetap Persidangan UMNO, beliau juga menjadi ahli dalam berbagai-bagai badan kerajaan negeri Johor

Beliau menjadi Speaker Parlimen mulai 1 September 1959 hingga 29 Februari 1964 dan kemudian dilantik Yang Dipertua Dewan Negara yang ketiga dari 24 Februari 1969 hingga 28 Julai 1970. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimentari Komanwel.

Sikap tak pandai menolak sebarang tugas yang dibebankan ke atasnya oleh masyarakat yang berada di sekelilingnya membuatkan Mohamed Noah selalu dipilih menjadi setiausaha atau menjadi pengelola pertubuhan.

Begitulah kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat terhadap Mohamed Noah sehingga mereka itu memberikan nama timang-timangan "Cik Noah Beirut" kepadanya sebagai tanda mesra dan kasih sayang kepada beliau.




Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran