2012/06/28
JAKARTA: Seorang pakar kulinari terkemuka Indonesia berkata
tidak perlu memperbesar-besarkan isu masakan rendang.
William Wongso berkata, oleh yang demikian tidak perlu untuk
mendaftarkan rendang untuk dipatenkan walaupun masakan itu berasal dari
Sumatera Barat.
Beliau berkata, rakyat Indonesia tidak sepatutnya bimbang
yang hak milik warisan makanan itu akan dituntut negara lain, terutama
Malaysia.
"Makanan itu tidak perlu dipatenkan. Biar mereka tuntutnya
kerana yang jelas penduduk daripada kumpulan etnik Minangkabau dari Sumatera
Barat juga sudah berhijrah dan menetap di sana," kata Wongso seperti
dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post hari ini.
Wongso berkata demikian ketika ditemui di Padang, Sumatera
Barat, di mana beliau menjadi hakim pada Festival Memasak Rendang Sumatera
Barat selama dua hari yang berakhir hari ini.
Pakar kulinari itu memberikan contoh makanan Jepun 'sushi'
dan 'sashimi' serta makanan Korea 'galbi' yang tidak pernah dipatenkan.
"Jepun dan Korea tidak pernah mendaftarkan makanan itu
untuk dipatenkan. Mereka sebaliknya berasa gembira jika makanan mereka
dinikmati di semua tempat.
"Perkara yang paling penting ialah menyebarkan cara
yang betul menyediakan rendang di luar Sumatera Barat kerana rasa rendang yang
dihidangkan di banyak restoran di luar Indonesia kurang enak," katanya.
Beliau memberikan contoh rendang di Belanda yang rasanya
sekan-akan 'semur' (makanan Jawa), yang agak manis.
Katanya, rendang di Malaysia juga berbeza dengan di Sumatera
Barat kerana ia dipengaruhi oleh makanan India yang banyak menggunakan
rempah-ratus India, menggunakan bukan sahaja daging lembu atau kerbau tetapi
juga ayam. – BERNAMA
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan