Ustaz Zaman, bhagama@bharian.com.my
Arkib 2012/06/23
KITA semakin hampir kepada Ramadan yang penuh kemuliaan dan
keberkatan. Perjalanan masa semakin pantas berlalu. Adakah tempoh masa kita
lalui dipenuhi amal ibadat kepada Allah SWT atau kita masih tercari-cari di
manakah noktah permulaan untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Apakah kita sudah bersedia bertemu Ramadan yang sangat
ditunggu-tunggu sekalian umat Islam? Syaaban adalah masa untuk kita mengejar
kebajikan sebanyak mungkin sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.
Sesungguhnya Syaaban ruang kesempatan untuk memperbaiki diri
menjelang tibanya Ramadan, medan untuk karnival ibadat sedunia. Jika Rejab
mencatatkan sejarah istimewa iaitu Israk dan Mikraj, Syaaban melakarkan
peristiwa pertukaran arah kiblat ketika permulaan kewajipan solat.
Ketika Rasullah SAW berkiblatkan Baitulmaqdis (Masjidil
Aqsa), kaum Yahudi menyebarkan propaganda bahawa kebenaran berada di pihak
mereka kerana umat Islam sudah meniru agama mereka berkiblatkan Baitulmaqdis
Ini menyebabkan Baginda Nabi SAW merenung jauh bagi
memikirkan perkara itu maka turun firman Allah yang bermaksud: “Sering kali
Kami melihat engkau (wahai Muhammad) mendongak ke langit memikirkannya, maka
Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu
berpalinglah mengadap Masjidilharam (Makkah) dan di mana saja kamu berada, maka
hadapkanlah wajahmu ke arahnya. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani
mengetahui benar akan kisah perpindahan kiblat ini adalah perintah dari Allah
dan Allah sekali-kali tidak akan lalai terhadap apa yang mereka lakukan.”
(Surah al-Baqarah, ayat 44)
Baginda SAW paling banyak mengerjakan puasa sunat pada
Syaaban berbanding bulan lain. Walaupun banyak hadis kedudukannya lemah dalam
menyatakan fadilat Syaaban, hakikatnya, amalan Baginda SAW menunjukkan Syaaban
antara bulan dimuliakan Allah SWT. Jika tiada bulan baik di sisi Allah SWT,
masakan ada bulan diharamkan Allah SWT untuk berperang.
Syaaban juga terdapat satu malam yang penting iaitu malam
Nisfu Syaaban. Allah SWT sudah memberikan kelebihan dengan keampunan kepada
hamba-Nya. Sabda Rasul SAW daripada Abu Hurairah: “Allah SWT mengamati
makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban seterusnya mengampunkan mereka kecuali
mereka yang syirik dan melakukan permusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kesempatan yang terhidang pada Syaaban ini haruslah
dimanfaatkan sebagai satu usaha untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT
termasuk puasa dan qiamullail.
Ini ibadat yang diberi keutamaan Baginda SAW. Baginda juga
memfokuskan kepada 15 terakhir Syaaban untuk berpuasa sunat. Solat tahajud dan
solat taubat haruslah ditekankan khususnya pada malam nisfu.
Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap
permusuhan akan mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan
daripada perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai
kemanisan beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan
fitnah dan permusuhan tidak akan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim dari
Huzaifah)
Beristiqamah dalam ibadat juga mestilah dipelihara kerana ia
dapat melonjakkan kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan
kadar sedikit. Munajat keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan
kesalahan kita semakin bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada
setiap masa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu memohon
keampunan kepada Tuhanmu dan hendaklah kembali taat pada-Nya supaya kamu
mendapat nikmat dan rahmat di dunia dan akhirat.” (Surah Hud, ayat 3)
Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan
ibadat penuh ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan
menghasilkan kesan positif terhadap ibadat Ramadan.
Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan
dan istiqamah dalam melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat
akan terhakis dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang
Syaaban untuk merealisasikan Ramadan.
Penulis ialah Eksekutif Agama , The New Straits Times Press
(NSTP)
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan