Oleh Shaarani Ismail, Berita Harian Malaysia.
2012/06/01
YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
SERDANG: Kemesraan pegawai imigresen, pemandu teksi yang
tidak bermuram dan merungut ditambah dengan kemudahan tandas yang cukup bersih
akan menjadi antara faktor penarik pelancong ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelancongan
sangat berkait rapat dengan persepsi dan pengalaman manusia.
“Negara boleh melakukan pelbagai promosi dan pemasaran
menarik tetapi mereka yang melalui pengalaman melawat sama ada untuk tujuan
perniagaan atau berseronok haruslah merasai pengalaman indah mengenai Malaysia.
“Tiada yang lebih teruk selain pelawat yang balik ke negara
mereka dan merungut mengenai kita. Justeru, semua ekosistem meliputi penggiat
pelancongan, kakitangan kerajaan dan semua rakyat perlu berada pada ‘gear
penuh’ dan memberikan servis terbaik dalam sektor ini” katanya.
Semua ini katanya, akan menjadikan Malaysia pengeluar utama
pelancongan global dan terus menjadi destinasi pelaburan, perdagangan dan
percutian pilihan masyarakat luar.
Beliau berucap pada Pameran Pelancongan Antarabangsa
Malaysia (MITE) 2012 di sini, semalam. Hadir sama, isteri Perdana Menteri,
Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Selain itu katanya, rakyat perlu memastikan negara bebas
daripada sebarang perbuatan ganas dan menghormati undang-undang bagi menjaga
kestabilan negara.
Terdahulu beliau berkata, penganjuran MITE 2012, diharap
mampu menjadi pameran pelancongan terbaik di rantau ini dan dunia.
Katanya, melaluinya juga MITE mewujudkan landasan dan
rangkaian kerjasama dari segi pembangunan perkhidmatan sokongan, tambah nilai
dan perkongsian idea bagi menggalakkan sektor pelancongan.
MITE 2012 berlangsung empat hari menyasarkan 600,000 pengunjung
dan menghimpunkan lebih 600 pempamer dari 33 negara serta 120 pembeli khusus
dari seluruh dunia.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan