Oleh Abu Bakar Al Sidek
2012/06/01
HUTAN MELINTANG: Kegagalan suami memahami ajaran Islam
dengan menjadikan perkataan cerai dan talak sebagai bahan gurauan atau cubaan
menakut-nakutkan isteri, menyaksikan ramai wanita menjadi ibu tunggal secara
mengejut.
Peguam Syarie, Saiful Adli Mohd Arshad, berkata beliau
banyak mengendalikan kes perceraian yang berpunca daripada tindakan suami yang
melafazkan talak tanpa niat.
“Ada suami yang disoal memberitahu mereka hanya
bergurau-senda, suka-suka dan main-main atau sekadar mahu menakut-nakutkan
isterinya supaya tidak terlalu garang.
“Si suami akhirnya terperanjat apabila diberitahu mereka
tidak lagi boleh bersama dengan isteri masing-masing kerana sudah jatuh talak
meskipun ia dilafazkan sewaktu bergurau,” katanya ketika menyampaikan ceramah
kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hutan Melintang ,di sini,
kelmarin.
Saiful Adli berkata, ada juga suami melafazkan talak atau
cerai secara tidak jelas (lafaz Kinayah) atau secara sindiran hingga
menimbulkan kekeliruan isteri berhubung status perkahwinan mereka.
Katanya, antara lafaz talak tidak jelas seperti ‘mulai hari
ini kamu (isteri) boleh balik ke rumah ibu bapa kamu, jangan datang ke sini
lagi’ atau ‘mulai hari ini kita pilih jalan masing-masing’.
“Jika perkara itu berlaku, isteri dinasihatkan segera
membuat aduan ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan permohonan pengesahan lafaz
cerai.
“Mereka perlu menemui hakim dan beritahu kes suami
melafazkan cerai secara kurang jelas dengan menyatakan tarikh dan di mana lafaz
itu dibuat.
“Hanya dalam keadaan ini, hakim mahkamah syariah mempunyai
kuasa untuk menentukan sama ada jatuh talak atau tidak selepas membuat analisa
dan kajian terperinci dari pelbagai sudut hukum nikah dan cerai,” katanya.
Berikutan itu, Saiful Adli menasihatkan suami isteri supaya
tidak menjadikan lafaz cerai dan talak sebagai bahan mainan atau gurau-an.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan