ARKIB : 21/06/2012
NUSAJAYA 20 Jun - Jumlah saudara baru di negeri ini yang
memeluk Islam dari 2008 hingga April ini seramai 3,853 orang dengan kaum Cina
mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 815 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin
Osman berkata, kaum India pula 683 orang, Iban (626 orang), Kadazan (225
orang), Bidayuh (175 orang), Orang Asli (257 orang), warga asing (687 orang)
dan lain-lain (395 orang).
“Jumlah saudara baru yang telah memfailkan keluar agama
Islam dalam tempoh sama adalah seramai tiga orang dan ia disebabkan oleh
keruntuhan institusi rumah tangga," katanya menjawab soalan Dr. Mohamad
Taslim (Pas-Maharani) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari
ini.
Menurutnya, peruntukan RM43 juta telah diberi kepada
golongan asnaf mualaf sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan
Antarabangsa Dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi Dan Alam Sekitar negeri, Tan
Kok Hong berkata, kerja rancangan tebatan banjir di Lembangan Sungai Muar
sedang dijalankan secara berfasa dan tiga kontrak telah dipanggil dan sedang
dilaksanakan.
Menurutnya, kontrak pertama adalah menaikkan taraf Sungai
Genuang dan kerja-kerja berkaitan sedang diusahakan oleh Syarikat Damaikon Sdn.
Bhd.
“Projek tersebut telah dimulakan pada 15 Julai tahun lalu
sehingga 14 Januari tahun depan dengan status pelaksanaan 77 peratus dan kos
sebanyak RM16 juta.
“Kontrak kedua pula menaikkan taraf Sungai Chodan dan
kerja-kerja berkaitan dengan kos RM23.8 juta itu telah dilaksanakan oleh
Syarikat HLM Sdn. Bhd. dan setakat ini sebanyak lima peratus kerja sedang
dilaksanakan,’’ katanya.
Menurutnya, kontrak ketiga adalah menaik taraf Sungai Chodan
dari Kampung Selumar ke Kampung Paya Pulai dan kerja-kerja berkaitan telah
diusahakan oleh syarikat KH Setia Holdings Sdn. Bhd. dengan kos RM43.4
juta," katanya menjawab soalan Ayub Rahmat (BN-Kemelah).
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan