PUTRAJAYA 24 Jun - Malaysia sama sekali tidak dapat menerima
tindakan kekerasan yang membabitkan kepentingan negara ini di Indonesia dan
komen-komen provokatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di Indonesia
kebelakangan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan
kekerasan oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang dikatakan mewakili Pemuda
Pancasila di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan dan di hadapan Wisma
Malaysia di Menteng, Jakarta, pada 22 Jun lepas serta komen-komen provokatif
oleh seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dalam program
"Neo Democrazy" siaran Metro TV pada 21 Jun lalu merupakan tindakan
yang boleh dikecam.
"Adalah amat dikesali sekali tindakan liar dan
komen-komen provokatif tersebut dibuat ekoran tuduhan meleset dan
ketidakfahaman tentang rancangan atau rencana untuk melestari dan memelihara
budaya warisan masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera di Malaysia.
"Rancangan tersebut sememangnya tidak bermaksud bahawa
budaya warisan berkenaan berasal dari Malaysia," katanya dalam kenyataan
akhbar di sini hari ini.
Anifah berkata, tindakan kumpulan penunjuk perasaan tersebut
telah mengakibatkan kecederaan kepada seorang anggota keselamatan/pengaman
Kedutaan Malaysia yang ditempatkan di Wisma Malaysia dan hampir mencederakan
seorang anggota yang lain.
Kedua-dua anggota keselamatan yang bertugas merupakan warga
Indonesia.
Katanya, tindakan kekerasan tersebut juga telah
mengakibatkan kerosakan kepada bangunan Wisma Malaysia dan persekitarannya, di
samping mengancam keselamatan pegawai dan kakitangan serta keluarga mereka yang
ditempatkan di bangunan berkenaan.
"Berdasarkan hubungan istimewa dan saling menguntungkan
yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia, kerajaan
Malaysia percaya bahawa kerajaan Indonesia akan mengambil langkah-langkah
susulan sewajarnya dalam menangani tindakan agresif dan provokatif tersebut.
"Kerajaan Malaysia juga sebelum ini telah meminta dan
terus berharap agar semua premis-premis kerajaan Malaysia dilindungi dari
sebarang ancaman sejajar dengan peruntukan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan
Diplomatik 1961," katanya.
Katanya, kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah
mengemukakan dua nota diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Republik
Indonesia pada 22 Jun lalu bagi menyampaikan pendirian, kekesalan dan
keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap tindakan kekerasan dan provokatif
tersebut.
Jelasnya, kedutaan Malaysia juga berhubung dengan pihak
berkuasa Indonesia bagi menangani perkembangan ini dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Wisma Putra telah meminta Kuasa Usaha
Sementara di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur supaya hadir
esok di kementerian itu untuk menerangkan pendirian Malaysia berhubung
perkembangan tersebut. – BERNAMA
Sumber: Mingguan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan