Arkib Selasa Julai 24, 2007
Oleh CHE SAAD NORDIN
BALING: Siapa sangka
pokok paku aji, sejenis tumbuhan liar spesies paku pakis yang tumbuh di celahan
batu gunung, sememangnya mempunyai nilai komersil yang tinggi sebagai tanaman
hiasan.
Di sini, pokok ini hanya boleh didapati di atas Gunung
Baling, dan telah sejak sekian lama menjadi buruan kerana tumbuhan liar itu
boleh memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang rajin mencarinya.
Bagi satu perdu pokok paku aji, nilai pasarannya boleh mencecah
sehingga RM500.
Pokok itu amat cantik menghiasai laman rumah walaupun ia
tidak berbunga. Ia boleh ditanam di dalam pasu, mempunyai perdu yang seakan
sama perdu pokok kelapa tetapi jarang ditemui paku aji yang berukuran tinggi.
Bagi yang digunakan sebagai tanaman hiasan, ketinggian pokok
paku aji jarang sekali mencecah ketinggian 1.0 meter.
Risiko terjatuh dari gunung
Kegiatan mencari pokok paku aji di Gunung Baling untuk
tujuan komersil telah lama dilakukan oleh beberapa orang penduduk tempatan.
Menurut seorang pencari yang telah terlibat dalam bidang
berkenaan, Jamaluddin Md Rejab, 56, dari Kampung Bawah Gunung, di sini, kerja
itu berbahaya tetapi hasilnya amat "berbaloi".
Mengenai bahaya yang menunggu sekiranya kurang berhati-hati
ketika kerja mencari dan membawa turun pokok itu, beliau berkata pernah berlaku
satu insiden di mana seorang pencari pokok paku aji ditimpa maut akibat
terjatuh dari gunung ketika membawa turun pokok berkenaan beberapa tahun lepas.
Jamaluddin, yang berpengalaman lebih 20 tahun menjadi
pencari pokok paku aji di atas Gunung Baling, belum pernah mengalami kejadian
buruk selain terserempak dengan beberapa spesies ular termasuk ular kapak
gunung.
Katanya, ular ini memang berbisa dan sesiapa yang terkena
patukannya perlu mendapatkan rawatan segera.
Tegas beliau, ada beberapa pantang-larang yang masih
diamalkannya semasa berada di atas gunung bagi mengelak kejadian buruk berlaku,
tetapi enggan menjelaskannya lebih lanjut.
Pencari bergadai nyawa
Katanya kerja mencari perdu yang mempunyai nilai estetika
dan komersil yang tinggi bukanlah sesuatu yang mudah, kerana perdu yang
mempunyai bentuk yang cantik sahaja yang akan dipotong.
"Pembeli sanggup membayar harga yang tinggi bagi perdu
yang mempunyai bentuk menarik seperti bentuk naga atau objek tertentu. Ada yang
sanggup membayar sehingga RM500 bagi satu perdu sementara bagi yang tiada
bentuk menarik harganya adalah sekitar RM50 sahaja.
"Selepas dipotong, perdu itu terpaksa dibawa turun
dengan memikul di atas bahu dari atas gunung ke bawah, dengan ketinggian
kira-kira 250 meter."
Jamaluddin berkata, bukan mudah untuk mendapatkan walaupun
seperdu kerana pokok itu hidup di celah-celah batu di atas gunung dan di
kawasan curam yang licin di mana si pencari terpaksa "bergadai nyawa"
untuk mengambilnya.
Setiap hari dia hanya mampu membawa turun seperdu sahaja
pokok berkenaan selepas mencari sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam di
kawasan berbatu dan curam.
Jika hari tidak hujan, seawal 8 pagi Jamaluddin sudah
memanjat Gunung Baling hingga ketinggian lebih 250 meter dan kebiasaannya
beliau melakukan kerja itu seorang diri.
Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong kepada
kumpulan pendaki atau pelancong yang ingin mendaki Gunung Baling, berkata kerja
mencari pokok paku aji kini menjadi kerja tetapnya untuk menyara hidup keluarga
kerana pendapatan dari usaha berkenaan agak lumayan.
"Walaupun pokok paku aji banyak tumbuh di atas Gunung
Baling, tetapi bukan semuanya boleh diambil untuk dijual kerana tidak banyak
pokok mempunyai bentuk yang menarik yang mampu memikat pembeli," katanya.
Pokok tidak akan pupus
Beliau berkata walaupun kerja mengambil pokok itu dilakukan
secara intensif ia tidak akan menjejaskan populasi pokok itu di gunung
berkenaan.
"Pokok paku aji di atas Gunung Baling tidak akan habis
kerana ia akan tumbuh semula melalui batang yang patah. Walaupun dipotong dia
akan tumbuh semula kerana paku aji membiak melalui tunas," katanya.
Beliau berkata Gunung Baling, yang kelihatan berdiri megah
dari Pekan Baling, sememangnya mempunyai banyak pokok itu.
Katanya terdapat kurang 10 orang yang melakukan kerja mengambil
pokok berkenaan.
Mengenai pembeli, beliau memberitahu kebanyakan dari mereka
datang dari pantai timur Semenanjung, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur .
"Kebanyakan peminat paku aji adalah masyarakat Melayu.
Bagi masyarakat Cina, mereka kurang berminat kerana pokok ini hidup di atas
gunung dan dari kepercayaan mereka ia adalah kurang baik untuk ditanam di
halaman rumah," katanya.
Menurut Jamaluddin lagi, beliau mempunyai golongan pembeli
sendiri yang sanggup datang ke rumahnya.
Dan ada juga yang telah membuat tempahan mahukan pokok dalam
jumlah, ukuran serta bentuk tertentu, tambahnya. BERNAMA
Sumber: MStar Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan