TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 23 Jun 2012

Jabatan Kerajaan diarah layan masyarakat Siam sebagai bumiputera


Datuk Seri Mohamed Nazri A bdul Aziz.

TUMPAT 23 Jun - Kerajaan mengarahkan semua jabatan yang berurusan dengan rakyat memberikan layanan dan keistimewaan bumiputera kepada masyarakat Siam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia berikutan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan terhadap masyarakat tersebut sebagai bumiputera walaupun ia tidak termaktub di dalam perlembagaan.

Beliau berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet lepas dan dengan pengiktirafan tersebut, masyarakat Siam di negara ini akan dapat menikmati semua keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Melayu dan etnik Sabah serta Sarawak.

"Perkara ini telah pun diisytiharkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Cuma kita mempunyai masalah, dalam perlembagaan hanya menyebut orang Melayu dan etnik di Sabah dan Sarawak sebagai bumiputera, jadi kita perlu meminda perlembagaan dan sekarang kita tidak ada dua per tiga (majoriti di Dewan Rakyat), maka tidak boleh pinda perlembagaan.

"Namun, itu soal persuratan sahaja tetapi yang lebih penting ialah pengiktirafan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan setakat pengiktirafan tetapi juga memberi arahan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang berurusan dengan rakyat supaya apa jua keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu dan etnik Sabah dan Sarawak hendaklah diberikan sama kepada orang Siam, itu arahan yang kita buat.

"Dalam mesyuarat jemaah menteri yang terbaru, kita telah bincang tentang perkara ini dan satu daripada perkara ini adalah kemasukan ke pusat pengajian tinggi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah maklumkan semua pusat pengajian tinggi telah diberikan arahan supaya tidak membangkitkan soal orang Siam tidak diberikan layanan yang sama dengan bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan menara loceng Wat Machimmaram di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar dan Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan, K.C Ngiam.

Pada 25 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah mengiktiraf masyarakat Siam sebagai golongan bumiputera di negara ini dan akan memastikan mereka mendapat keistimewaan sama seperti golongan bumiputera lain.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, kerajaan tidak bercadang membawa usul meminda perlembagaan bagi membolehkan pilihan raya umum hanya diadakan selepas tempoh pentadbiran kerajaan mencukupi lima dan bukannya lebih awal kerana tidak mempunyai majoriti dua per tiga di Parlimen.

"Bagaimanapun perkara ini masih belum dibincang secara mendalam dan bukan satu perkara luar biasa sekiranya Perdana Menteri mempunyai hak untuk memanggil pilihan raya sebelum cukup lima tahun kerana ia turut diamalkan di Britain, Ireland, Australia, New Zealand dan negara jajahan British," katanya.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran