TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 29 Jun 2012

Dasar Bahasa Kebangsaan terus dipertahan

Tan Sri Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR 28 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri mahu semua rakyat Malaysia bersama-sama bertanggungjawab memperkasa kedudukan, fungsi serta penggunaan bahasa itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kita akan memastikan ia terus menjadi bahasa pengantar utama, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran.

"Saya sebenarnya amat yakin melalui penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan, rakyat bukan sahaja dapat menguasai bahasa dengan lebih baik malah mereka juga akan lebih menghayati nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan dan Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Pada majlis itu, memorandum hala tuju pendidikan kebangsaan daripada 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam rangka Kajian Semula Dasar Pendidikan Negara turut diserahkan kepada Muhyiddin.

Beliau berharap setiap rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan kerajaan, sektor awam dan di tempat-tempat awam.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, peradaban Malaysia moden mestilah bertunjangkan kepada pendidikan dan pembinaan bahasa serta kesusasteraan kebangsaan yang dipelajari bersama bidang-bidang lain seperti sains, teknologi, ekonomi dan sosial.

"Ini penting kerana peradaban bukan sahaja bermakna kemajuan material sesebuah bangsa tetapi juga kehalusan budi pekerti iaitu pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan sama ada dalam bidang sains, teknologi, kesenian atau kesusasteraan," katanya.

Berhubung kedudukan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara, beliau berkata, usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan para pelajar akan diteruskan.

"Justeru, Kementerian Pelajaran akan terus melaksanakan Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan serta meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyentuh mengenai usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama DBP mengadakan audit bahasa Melayu terhadap semua jabatan kerajaan mulai tahun depan.

"Projek rintis audit bahasa Melayu akan diadakan di DBP mulai Julai hingga Ogos depan dan seterusnya atas permintaan JPA, audit bahasa Melayu akan diadakan di beberapa bahagian yang terpilih di jabatan itu mulai Disember tahun ini," katanya lagi.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mewujudkan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha pihak berkuasa tempatan pada tahun depan.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran