Foto – Ihsan Utusan Malaysia Online.
Oleh HANIZA HASSAN, pengarang@utusan.com.my
ARKIB : 11/06/2012
JOHOR BAHRU 10 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar sebak ketika menyampaikan titah di hadapan kira-kira 30,000 rakyat
Johor pelbagai kaum dan agama yang berhimpun secara aman di perkarangan Istana
Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada baginda.
Sambil menitiskan air mata, Sultan Ibrahim bertitah tidak
akan melupakan hari ini yang dianggap amat bersejarah.
Dalam titah di perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis
Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) itu juga, Sultan Ibrahim
turut menegaskan menjadi amanah kepada baginda sebagai Sultan Johor untuk
menyayangi rakyat negeri ini.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
di atas ikrar taat setia yang dilafazkan dan ucapan sayang kepada saya. Saya
tidak akan melupakan hari ini yang amat bersejarah.
“Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah
tiada," titah baginda yang turut ditemani Sultanah Johor, Tuanku Raja
Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan
Ibrahim dan putera-puteri baginda.
Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima lafaz ikrar taat
setia daripada wakil Gabung, Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat
daripada 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan berkenaan.
Baginda turut bertitah supaya rakyat di negeri ini bersatu
padu tanpa mengira kaum mahupun agama.
“Saya minta rakyat semua bersatu tidak kira kaum. Bersatu
kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.
Himpunan tersebut diadakan ekoran kenyataan Ahli Parlimen
Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang sebelum ini menerusi
akaun Twitternya mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan
Johor yang dibida pada harga RM520,000.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan