ANIS ZUHANI AHMAD ialah Pengurus Besar, Hal Ehwal Awam dan
Komunikasi Korporat Kumpulan, Lembaga Tabung Haji
ARKIB : 08/06/2012
SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas
berkaitan artikel 'Tabung Haji patut tambah pelaburan di Mekah, Madinah' yang
ditulis oleh Mohd Rizal Zainal di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2012.
Sebagai agensi yang diamanahkan untuk mengurus kebajikan
jemaah haji Malaysia ketika menunaikan ibadah rukun Islam kelima ini, Tabung
Haji (TH) sentiasa mengambil insiatif dan berusaha untuk menambah baik mutu
perkhidmatan dan memastikan segala keperluan jemaah Malaysia seperti keperluan
dan keselesaan penginapan di Tanah Suci semasa musim haji adalah mencukupi dan
memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.
Janadiriah
Seperti yang kita sedia maklum, Kota Makkah sedang menjalani
proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan yang melibatkan hotel-hotel serta
kemudahan lain yang dijangka akan mengambil masa jangka sederhana untuk
disiapkan.
Kerja-kerja pembesaran dan menaik taraf ini melibatkan
sebahagian besar kawasan penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram
dirobohkan bagi tujuan menaik taraf.
Sehubungan dengan itu, TH juga agensi-agensi dari
negara-negara lain terpaksa menyewa dan memajak kawasan penginapan lain, di
luar dan tidak terlibat dengan kawasan pembinaan ini. Kesulitan ini adalah
bersifat sementara untuk keselesaan jemaah masa hadapan.
Sebagai langkah jangka panjang, TH telah pun membuat
pelaburan dengan memajak hotel-hotel di Mekah dan Madinah untuk tempoh di
antara tiga (3) hingga 25 tahun. Ini akan dapat membantu TH memberikan tempat
penginapan yang selesa untuk para jemaah di samping membantu membendung kos
perbelanjaan mengerjakan haji ke paras yang rendah di rantau ini.
Sebahagian dari Kota Makkah.
Menyentuh tentang isu mengapa TH tidak membeli dan membuat
pelaburan dengan pemilikan hotel di Mekah dan Madinah, untuk makluman tuan, TH
menghadapi kekangan untuk membeli serta memiliki aset bangunan dan tanah di
Tanah Suci kerana dasar dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi, pemilikan
hartanah (bangunan & tanah) di Mekah dan Madinah hanya boleh dimiliki oleh
rakyat Arab Saudi sahaja.
Oleh itu, lain-lain warganegara hanya dibenarkan membuat
penyewaan atau pajakan bangunan sahaja di Mekah dan Madinah. Oleh sebab
demikianlah, TH tidak boleh memiliki hartanah di Mekah dan Madinah seperti yang
disarankan penulis.
Mengenai kos pembiayaan ibadah haji, TH senantiasa mencari
jalan untuk menangani dan membendung kenaikan kos ini sebaik mungkin. Tahun
lalu sahaja TH telah membelanjakan sebanyak RM105 juta untuk memastikan yang
jemaah haji Malaysia hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM9,980 seorang
untuk 40 hari, berbanding dengan jemaah dari rantau ini yang membayar kos
perbelanjaan mengerjakan haji lebih daripada RM15,000 seorang. Kos tanggungan
haji ini dapat ditampung melalui hasil daripada keuntungan pelaburan tahunan
TH.
Namun, sebagai pengurus dana di Malaysia, TH juga sentiasa
mencari peluang pelaburan sama ada di dalam mahupun di luar negara bagi menjana
pendapatan kepada para pendepositnya yang kini telah melebihi 7 juta orang.
Perancangan TH bagi pelaburan di London adalah menjurus
kepada pemilikan bangunan pejabat yang mempunyai penyewa jangka panjang dan di
lokasi sekitar bandar raya ini yang berpotensi untuk peningkatan nilai pasaran
hartanah tersebut.
Setiap pelaburan yang dibuat oleh TH akan melalui beberapa
peringkat proses penilaian yang mengambil kira semua aspek termasuk risiko,
syariah, kadar pulangan, perundangan dan bidang industri tertentu yang selaras
dengan objektif dan Akta TH.
Perlu juga dijelaskan bahawa TH, dalam aktiviti
perniagaannya terlibat dalam pelaburan yang berbagai corak dan bidang selain
daripada menentukan semua aktiviti ini menepati dengan kehendak syariah. TH
sentiasa ingin menjamin pulangan jangka panjang yang menguntungkan pemegang
kepentingan (stakeholders) TH.
Selaras dengan Pelan Strategik lima (5) tahun bagi
memastikan pulangan pelaburan yang berulang, TH juga akan meninjau pelaburan
hartanah di luar negara selain daripada pelaburan di Arab Saudi.
Malah pelaburan di luar negara terutama pelaburan hartanah
di London juga diceburi oleh institusi GLIC lain seperti Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional
Berhad (PNB).
TH perlu mempelbagaikan aktiviti perniagaannya yang tidak
melabur dalam negara sahaja bagi menjamin TH berdiri kukuh sebagai institusi
kewangan Islam yang membantu memperkasakan ekonomi ummah. Ini selari dengan
misi TH iaitu, "Tunggak kejayaan ekonomi ummah; pengurusan haji terbilang."
Pemilikan hartanah di negara asing juga membuktikan kepada
dunia kemantapan kewangan Islam yang diterajui oleh TH. Sehingga kini, TH
berjaya memainkan peranannya dengan jayanya oleh kerana polisi pelaburan dan
pengurusannya yang baik.
Ini terbukti dengan rekod pencapaiannya di mana TH berjaya
mengumumkan pembayaran bonus yang kompetitif kepada para pendepositnya. Tahun
lalu, TH memberi pembayaran bonus pada kadar enam peratus (6%) yang berjumlah
RM1.67 bilion kepada para pendepositnya.
Kadar bonus yang diumumkan tersebut adalah lebih baik
daripada kadar simpanan yang ditawarkan oleh kebanyakan kadar simpanan
perbankan Islam di Malaysia, yang menawarkan pulangan pada secara purata 3%.
Dari segi pengurusan operasi haji pula, nyata TH cemerlang di bidang ini kerana
organisasi ini diiktiraf oleh Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain sebagai
terbaik dalam menguruskan jemaah.
Transformasi dalam TH sentiasa berlaku mengikut peredaran
masa dan keadaan perniagaan yang lebih mudah terpengaruh dengan keadaan ekonomi
global.
TH sedar akan perkara ini dan sentiasa mempertingkatkan
kemampuannya dengan melaksanakan pelan perancangan perniagaan yang strategik
bagi memastikan segala pelaburan yang dilakukan memberi pulangan yang
kompetitif untuk para pendeposit.
Kami berharap maklum balas yang diberikan ini dapat
menjelaskan isu pelaburan dan perkhidmatan yang disediakan oleh TH kepada umat
Islam di negara ini.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan