Oleh MOHAMED SAARI, utusanjohor@utusan.com
ARKIB : 21/06/2012
LABIS 20 Jun - Belut mungkin menggelikan bagi sesetengah
orang, namun ramai menggemarinya kerana khasiat yang terkandung di dalamnya,
malah ada yang sanggup berpanas dan meredah belukar, lumpur serta paya untuk
mendapatkannya.
Dua sahabat, Syamsul Akhbar Ghafar, 51, dan Shaifuddin
Khalil, 46, sanggup menghadapi pelbagai rintangan untuk mendapatkan spesies
ikan air tawar yang berkulit licin ini yang biasanya mendiami kawasan sawah dan
paya berlumpur serta berair cetek.
Syamsul Akhbar yang berpengalaman memancing belut sejak
berusia belasan tahun berkata, belut jantan boleh mencapai panjang 40
sentimeter selepas berumur 10 bulan sementara betina 30 sentimeter dan biasanya
akan membuat lubang lumpur sebagai tempat tinggal.
"Saya sudah lama meninggalkan aktiviti ini kerana sibuk
dengan kerja di kilang papan sebelum ini, namun selepas tidak lagi bekerja dan
menoreh getah sejak tiga tahun lalu saya mempunyai banyak masa untuk memancing
belut, terutama sebelah petang.
"Apa yang penting adalah kepuasan memancing dan sedikit
hasil tangkapan untuk hidangan kami sekeluarga. Ia juga sukar didapati dan
harga di pasaran sekarang mencecah RM30 sekilogram.
"Jadi, wajarlah saya memancing bersama Shaifuddin,
terutama pada hari tidak menoreh," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia,
di sini baru-baru ini.
Menurut Syamsul Akhbar, memancing belut tidak memerlukan
peralatan khusus seperti memancing ikan dan masa yang diambil adalah singkat.
Malah, katanya, peralatan seperti pancing dan mata pancing
juga tidak memerlukan belanja besar kerana ia diperbuat sendiri menggunakan
jarum yang dipatahkan dan diikat pada seutas tali pancing sepanjang satu meter
dan menunggu kurang seminit.
Katanya, pengalaman manis sepanjang memancing belut adalah
ketika mendapat hasil tangkapan kira-kira 25 kilogram tahun 1995 dalam masa
kurang enam jam ketika menetap di Felda Gugusan Bukit Mendi di Triang, Pahang.
"Ketika itu masih banyak kawasan yang menjadi habitat
belut dan keadaannya berbeza dengan hari ini yang mana semua kawasan tersebut
sudah menjadi kebun.
"Itu merupakan rekod tangkapan paling banyak yang
pernah saya peroleh dan tidak mungkin dapat dirasai lagi memandangkan kawasan
pembiakan belut semakin berkurangan," ujarnya.
Shaifuddin pula tidak menyangka perkenalan dengan Syamsul
Akhbar tiga tahun lalu dan mengikutinya memancing belut bertukar menjadi hobi
menyeronokkan di samping mendapat hasil yang secara tidak langsung mengurangkan
belanja dapur.
Katanya, sebelum mengenali Syamsul dia langsung tidak
mengetahui cara memancing belut walaupun menyukai masakan berkenaan, namun
selepas sekali mencuba tidak pernah melepaskan peluang untuk memancing bersama.
"Walaupun kawasan untuk memancing semakin berkurangan
akibat kebanyakan kawasan paya sudah kering dan bertukar menjadi kebun kelapa
sawit, namun setiap kali memancing kami jarang pulang hampa kerana tidak ramai
orang yang memancing belut sekarang.
"Selalunya waktu yang paling sesuai untuk memancing
belut ialah awal pagi dan lewat petang kerana ketika itu merupakan 'waktu
galak' belut menjamah umpan. Tengah hari pula, belut biasanya kurang aktif dan
tidak sesuai untuk memancing," katanya.
Tambah Shaifuddin, setakat ini mereka tidak menjual hasil
tangkapan tersebut kerana ia sekadar untuk dinikmati bersama keluarga.
Jelasnya, rasa belut liar atau belut sawah adalah manis dan
enak berbanding belut yang diternak di kolam menjadi faktor dia bersama Syamsul
Akhbar sanggup meredah semak samun dan lumpur serta risiko terserempak haiwan
bahaya seperti ular sawa yang gemar mendiami kawasan berpaya atau berair.
Namun, dia bersyukur kerana sepanjang melakukan kegiatan
memancing belut sejak tiga tahun lalu mereka belum pernah terserempak dengan
haiwan berbisa serta mengalami situasi yang mencemaskan.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan