TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 25 Jun 2012

Mydin buka cawangan ke-100 di Gugusan Manjoi, Ipoh.

ARKIB : 25/06/2012
 
IPOH 24 Jun - Pembukaan cawangan ke-100 Pasar Raya Besar Mydin di Gugusan Manjoi bukan sahaja mampu merubah gaya hidup masyarakat di sini, malah meningkatkan lagi kualiti hidup mereka.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, mengimbau kembali sekitar tahun 1994, Manjoi hanyalah merupakan kawasan dikategorikan luar bandar oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Pembukaan pasar raya besar di sini merupakan sesuatu yang cukup memberi kesan emosi kepada penduduk di sini. Manjoi yang dahulunya pernah dilanda banjir terburuk, kini telah kembali 'bangkit'.

 Datuk Dr. Ameer Ali Mydin menerangkan sesuatu.

"Inilah yang dikehendaki oleh kerajaan dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mana ia membawa maksud merubah gaya serta kualiti hidup rakyat," katanya selepas merasmikan pembukaan pasar raya besar berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Pasar Raya Besar Mydin setinggi dua tingkat itu yang memulakan operasinya sejak kelmarin, dibangunkan dengan kos RM40 juta dan menyediakan 400 peluang pekerjaan baru kepada penduduk setempat.

Dibina di atas tanah seluas 13,471 meter persegi, pasar raya itu turut membantu mengurangkan beban kos hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana melalui penawaran harga borong.

 
Sementara itu, Ameer Ali berkata, pihaknya mengalu-alukan para usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka di pasar raya tersebut.

Selain itu katanya, bagi meneruskan usaha pembangunan penduduk dan ekonomi di Perak, pihaknya akan membina sebuah lagi kompleks beli-belah Mydin di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

"Dengan itu, Mydin dapat membantu memasarkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk dipasarkan secara meluas di seluruh negara sekaligus membolehkan ia cepat dikenali, diterima serta dimajukan dengan lebih konsisten," katanya.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran