Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan
Noorzali, rencana@hmetro.com.my
APAKAH reaksi anda jika anak yang belum menggenggam segulung
ijazah membuka mulut memberitahu ingin berkahwin?
Ramai menganggap mahasiswa berkahwin ketika belajar di
menara gading hanya memperjudikan nasib dan masa depan.
Apatah lagi tanpa sokongan kewangan kukuh sementelaah usia
masih mentah, perkahwinan dianggap landasan merealisasikan perasaan yang
membara.
Berilah apa jua alasan, ironinya masyarakat tetap
beranggapan perkahwinan semasa belajar bukan pilihan terbaik untuk memiliki
kejayaan.
Persoalannya, sejauh manakah tepatnya tanggapan itu?
Bagaimana pula mereka yang berkahwin namun mampu cemerlang?
Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zainab Othman,
berkata berkahwin atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan individu itu
menentukan corak pengajian.
Beliau berkata, penerimaan individu mengenai perkahwinan
berbeza, justeru tiada jawapan konkrit sama ada ia boleh menghancur atau
menjayakan pengajian seseorang.
“Perkahwinan fitrah manusia dan bukan sesuatu yang perlu
ditakuti. Cuma, apabila pelaksanaannya dilakukan sewaktu melanjutkan pengajian,
ada pihak akan mempertikaikan.
“Dan, pertikaian itu berkait rapat faktor tertentu seperti
ekonomi dan usia.
Pada dasarnya tidak menolak cuma melahirkan rasa
kebimbangan.
“Perkahwinan bukan suka-suka kerana komitmennya terlalu tinggi.
Cuba yang berkahwin itu tidak belajar, pasti tiada pertikaian,” katanya.
Perkahwinan semasa belajar meskipun tidak menjadi kesalahan,
ia masih mampu mengundang kesangsian kerana dianggap penyekat kejayaan
mahasiswa.
Meskipun ada yang berjaya membuktikan sebaliknya, ramai
beranggapan mereka hanyalah segelintir golongan bernasib baik.
Yang lain, terkandas di tengah jalan atau terpaksa membuat
pilihan sukar sama ada meneruskan pengajian atau mengorbankan perkahwinan.
Beliau berkata, aspek perlu ditekankan ialah bagaimana
mahasiswa itu pandai membahagikan masa serta membuat perancangan yang baik
sepanjang pengajian.
“Ada yang tidak berkahwin namun hidupnya tetap kelam kabut,
tidak terurus hingga mengakibatkan keputusan diterima mengecewakan.
“Yang berkahwin pula lebih cemerlang. Keadaan sebaliknya
juga boleh berlaku sekali gus membuktikan semuanya bergantung pada sikap dan
kemahuan diri,” katanya tidak menafikan perkahwinan menuntut mahasiswa berusaha
berkali ganda berbanding mahasiswa bujang.
“Berkahwin semasa belajar bukan saja memikul tanggungjawab
pengajian malah membabitkan permainan emosi, persefahaman pasangan, keluarga
dan sebagainya.
“Jika tiada kekuatan diri dan emosi, semuanya boleh tunggang
langgang. Sebab itu, kalau ingin berkahwin, pastikan benar-benar bersedia.
“Faktor inilah menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa
kurang selesa jika anak meminta kebenaran berkahwin. Bukan tidak faham tapi
takut mereka kecundang,” katanya.
Ditanya apakah faktor menyebabkan mahasiswa mengambil
keputusan menamatkan zaman bujang ketika rakan lain berseronok melayari alam
pengajian, beliau berkata perhubungan terjalin lama selain alasan sudah bertemu
teman sehati sejiwa menjadikan mereka bulat tekad berkahwin.
“Ikutkan logik, alasan diterima masih boleh ditangguhkan.
Bagaimanapun selepas membuat pilihan, timbul pula persoalan adakah melakukannya
selepas berfikir semasak - masaknya atau hanya mengikut gelora hati?
“Paling dibimbangi mereka hanya terbayangkan kesero�nokan berkahwin tanpa
peduli tanggungjawab yang lain. Maklumlah sedang asyik dilambung perasaan.
“Pada saya, kahwinlah jika yakin boleh melakukannya selain
jangan ketepikan peranan keluarga. Mereka boleh menjadi tempat bimbingan emosi
serta kewangan.
“Pastikan jika berkahwin, jangan gadaikan pengajian
semata-mata kerana perkahwinan,” katanya.
Bagi pasangan suami isteri dari Tawau, Sabah, Ng King Kwong
dan isterinya, Nur Iman Maryam Yusop, perkahwinan mereka penuh dengan cabaran.
Ng, 25, mahasiswa Sarjana Pendidikan Matematik dan isterinya
yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, berkata selain usia
muda, soal agama juga menjadi dugaan hebatnya.
“Kami berdua ingin memeluk Islam dan melangsungkan
perkahwinan. Biarpun mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin, kami harungi
juga dengan janji membawa pelajaran bersama.
“Kami akui, cabaran selepas berkahwin lebih hebat. Di
samping terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru, tanggungjawab juga
semakin bertambah.
“Saya akui, ada kalanya timbul emosi negatif, namun cuba mencari
jalan penyelesaian supaya perkahwinan ini tidak menjadi cemuhan,” katanya.
Mengakui isterinya sangat memahami, beliau menyifatkan
perkahwinan sebagai landasan untuk lebih berjaya.
“Prosesnya lebih mudah kerana kami dapat mengulang kaji
bersama-sama di mana-mana jua. Kami saling memberi dorongan dan tunjuk ajar.
“Ini satu motivasi dan nikmat perkahwinan masih belajar.
Kami sentiasa pastikan segala perancangan tidak keciciran,” katanya.
Manakala pasangan Ahmad Rafei Ab Halim, 22, dan isterinya,
Norhafiza Mahasan, 23, dari Terengganu, lebih bernasib baik kerana keluarga
menyokong penuh keputusan mereka berkahwin semasa belajar.
Ahmad Rafei yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kemahiran
Hidup manakala Norhafiza Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumahtangga,
berkata keluarga memahami hasrat mereka selain memastikan tidak terjebak
perkara tidak diingini.
“Apabila menyuarakan hasrat, keluarga tidak membantah
sebaliknya yakin kami bersedia memikul tanggungjawab. Mereka memberi penuh
sokongan dan kebebasan.
“Malah, perkahwinan ini satu nikmat apabila prestasi pengajian
lebih meningkat hingga mampu memperoleh Anugerah Dekan bersama.
“Semuanya terpulang pada diri sendiri sama ada mahukan
kejayaan atau kegagalan.
Perkahwinan hanya sekelumit penyebab,” katanya.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan