TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 3 Jun 2012

Kerjasama pendidikan Malaysia-Jepun


ARKIB : 02/06/2012

KUALA LUMPUR 1 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT) bukan sahaja menjadi simbol persahabatan dua negara malah merupakan tanda keyakinan Malaysia terhadap teknologi dan budaya kerja Jepun.

Menurut Perdana Menteri, MJIIT akan memainkan peranan penting dalam mengangkat lagi Malaysia ke peringkat global dan seterusnya memacu pelbagai teknologi dan inovasi baru yang akan menjana kekayaan negara.

"Ia adalah satu kerjasama yang saya berharap dapat melahirkan generasi baru jurutera-jurutera Malaysia dengan kemahiran keusahawanan serta inovasi Jepun dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara selaras dengan visi 1Malaysia," katanya.

Beliau berucap merasmikan bangunan MJIIT di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hadir sama, wakil rasmi Perdana Menteri Jepun, Dr. Yukio Hatoyama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang serta Dekan MJIIT, Prof. Ir. Megat Johari Megat Mohd. Noor.

Jelas Najib, idea untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian berorientasikan budaya pendidikan Jepun mula tercetus 10 tahun lalu menerusi pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya di Jepun, Junichiro Koizumi.

"Biarpun kedua-dua belah pihak bersemangat untuk merealisasikan idea ini, hanya pada 2010, projek ini benar-benar berjaya digerakkan selepas kunjungan rasmi pertama saya ke Jepun," katanya.

Menurutnya, pembiayaan bagi institut tersebut diperoleh menerusi pinjaman berjumlah RM250 juta dari kerajaan Jepun dan peruntukan sebanyak RM100 juta setahun untuk tempoh tujuh tahun dari kerajaan Malaysia.

MJIIT yang ditubuhkan melalui kerjasama UTM dan Konsortium Universiti Jepun (JUC) menawarkan pengajian peringkat ijazah dan sarjana dalam beberapa bidang termasuk kejuruteraan kejituan mekanikal serta kejuruteraan sistem elektronik.

Buat masa ini, MJIIT mempunyai lebih 20 peratus ahli akademik dari Jepun dan beberapa negara luar lain.

Antara keistimewaan institut tersebut adalah menawarkan budaya kerja Jepun kepada para pelajar dan penyelidik di samping peluang untuk melanjutkan pengajian atau penyelidikan di organisasi Jepun.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran