Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN, Gambar
Jabatan Penerangan
MEMBERI kepada yang memerlukan adalah nikmat yang cukup
besar kepada penerima dan juga penderma.
Begitulah sepatutnya persaudaraan sesama Islam. Yang berada
memberi kepada yang kurang bernasib baik sebagaimana yang ditunjukkan oleh kaum
Ansar dan Muhajirin pada peristiwa Hijrah bersama Nabi Muhammad SAW.
Kaum Ansar bukan sahaja menawarkan sebahagian harta mereka
kepada saudara Muslim dari Mekah, malah turut sanggup menyerahkan salah seorang
isteri mereka.
Inilah indahnya persaudaraan kental sesama Islam sebagai
mana yang dijelaskan menerusi hadis Nabi SAW yang antara lain bermaksud: Tidak
sempurna iman seseorang itu selagi mana tidak mengasihi saudaranya sebagaimana
ia mengasihi dirinya sendiri. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah melebihkan rezeki sebahagian daripada kita bukan untuk
bermegah-megah atau bakhil, sebaliknya ia untuk dikongsi bersama dengan orang
lain.
Datuk
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah
melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi
orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mahu memberikan rezeki mereka
kepada budak-budak yang mereka miliki, agar mereka sama (merasakan) rezeki itu.
Maka mengapa mereka mengingkari nikmat Allah? (an-Nahl: 71)
Kepada penderma bukan kata-kata pujian dan sanjungan yang
diharap sebaliknya senyuman dan wajah ceria penerima itulah yang memberi
kepuasan.
Demikianlah gambaran suasana di Kampung Rakapram Daerah
Kampung Cham, Kemboja akhir Mei lalu.
Keceriaan dan kegembiraan itu berikutan penyampaian
sumbangan pelbagai barang keperluan terutamanya kelengkapan solat untuk
penduduk di situ.
Ia hasil inisiatif Sukarelawan Al-Falah (SAF), Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Politeknik,
Kementerian Pengajian Tinggi.
Sesungguhnya penat lelah mengumpul pelbagai sumbangan serta
menempuh perjalanan darat selama kira-kira empat jam dari Phnom Penh ke Kampung
Rakapram terbalas dengan sambutan hangat penduduk di situ.
Misi kemanusiaan kali ini juga mendapat sokongan Kementerian
Pertahanan yang membantu menerbangkan pelbagai sumbangan yang dianggarkan
mencecah dua tan melalui pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Lebih bermakna, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi turut serta dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk terlibat.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Taib Ali yang
mengetuai delegasi Sukarelawan Al-Falah (SAF) berkata, misi kali ini adalah
salah satu cara Yadim menyebar luas konsep dakwah bil hal.
Ia juga bertujuan merapatkan jurang di antara golongan
miskin dan berada serta menyerap konsep taawun (bantu membantu) tanpa mengira
bangsa, kaum dan negara.
"Kampung Rakapram menjadi pilihan kerana masyarakatnya
perlu diberi input melalui pendidikan memandangkan kebanyakan anak-anak
generasi di sini ingin belajar dan mengubah nasib masyarakat mereka agar lebih
baik pada masa hadapan.
"Ia sesuai dengan fokus misi ini kepada pendidikan
mengubah masa depan," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan bantuan
tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan