KISAH mahasiswa Melayu yang sering dikategori kelas kedua
bukan isu baru malah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat.
Malah, senarai panjang mahasiswa Melayu yang hanya mampu
mendapat keputusan sederhana menyebabkan masyarakat tiada pilihan selain
memberi tanggapan serupa.
Mendominasi sebahagian besar tempat di menara gading,
kecemerlangan mahasiswa Melayu masih boleh dibilang jari hingga menimbulkan
persoalan, mengapa mereka sukar mencipta kejayaan membanggakan?
Apa bezanya di antara mahasiswa Melayu dan bangsa asing,
sedangkan mereka belajar di kampus yang sama?
Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan
Malaysia, Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata soal tidak pandai bukan pokok
persoalan namun bagaimana mentransformasikan minda mereka supaya keluar dari
zon selesa.
Beliau berkata, pengukuhan terhadap zon itu menyebabkan
minda mahasiswa Melayu tidak mampu menjana informasi lain menyebabkan mereka
mudah tergelincir daripada matlamat asal di menara gading.
“Sebahagian besar mahasiswa kita berada dalam zon selesa.
Mereka kumpulan majoriti yang menjadikan menara gading sebagai transit ilmu
yang penuh kebebasan.
“Pentafsiran salah akhirnya akan memakan diri kerana
kebebasan itu diolah dengan cara dan makna tidak tepat.
“Sepatutnya, menara gading tempat cabaran sebenar dan bakal
menentukan mereka menjadi manusia berguna atau tidak,” katanya.
Sangat klise mengaitkan pencapaian mahasiswa Melayu di
institusi pengajian tinggi negara namun itulah terpaksa ditelan apabila
keputusan peperiksaan sebahagian besarnya hanya bertahap sederhana atau cukup
makan.
Keputusan itu cukup mendukacitakan selain tidak setimpal
keputusan cemerlang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Masyarakat akan mempertikaikan adakah universiti memang
membuat pilihan calon yang betul mengikut kriteria?
“Mereka layakkah? Kalau ya, mengapa hasilnya menghampakan?”
soalnya.
Enggan menafikan, beliau berkata kebanyakan mahasiswa Melayu
mudah terleka dengan sogokan janji manis hingga mereka tersungkur.
“Pendirian mereka rapuh. Awalnya memang berkobar-kobar dan
berjanji belajar bersungguh-sungguh.
“Namun, apabila khayal dengan sogokan tertentu, janji yang
dipahat dulu hilang sekelip mata. Mahasiswa hari ini tampak cukup hebat
fizikalnya namun rapuh dalaman menyebabkan mereka mudah ‘tumbang,” katanya.
Mereka pandai namun menyalurkan kepandaian itu pada tempat
tidak sepatutnya.
“Definisi pandai sangat subjektif. Memperoleh keputusan
semua A, memang bijak tapi adakah mereka juga pandai membawa diri?
“Pandaikah mereka bergaul dengan rakan lain, membahagikan
masa atau menepis godaan yang datang?
“Minta maaf kerana pemerhatian saya mendapati kebanyakan
kepandaian mereka disalurkan pada kegiatan kurang berfaedah,” katanya.
Katanya, mahasiswa Melayu perlu disedarkan bahawa tiada lagi
jaminan menanti jika hanya mampu memperoleh keputusan sederhana.
“Dulu mungkin boleh tetapi kini keadaan sudah berubah.
Masing-masing berusaha ‘memintas’ antara satu sama lain menjadikan peluang
semakin mengecil.
“Tidak boleh lagi berangan-angan dan bersikap tunggu dan
lihat. Alasan tertentu bagi menyedapkan hati juga sudah tidak berguna kerana
yang penting bangkit mengejar peluang.
“Malangnya, sebahagian besar mereka masih terlena dan
berpegang pada kepercayaan, mahasiswa Melayu ada jaminan dan keistimewaan. Ini
silap,” katanya.
Beliau berharap mahasiswa mengikis sikap tinggi diri yang
menjulang hanya kerana kejayaan pencapaian sebelumnya.
“Bukan menuduh tapi kebanyakan mahasiswa kita selalu
‘ditimpa’ penyakit perasaan bagus dan bangga diri hanya kerana diterima masuk
universiti.
“Di universiti, mereka belajar cara tidak konsisten, pasif,
malu bertanya, melaksanakan tugasan di saat akhir serta sentiasa mengharapkan
bantuan pensyarah.
“Asalkan mampu menamatkan pengajian, itu sudah memadai.
Budaya yang perlu dikikis dari minda mahasiswa Melayu,” katanya.
Begitupun, beliau tetap optimis, mahasiswa Melayu boleh
cemerlang sekali gus menutup mulut masyarakat yang memperlekehkan pencapaian
mereka,” katanya.
Sumber: Harian MetroMalaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan