TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 19 Jun 2012

Malaysia bantu bangunkan pendidikan Palestin

PUTRAJAYA 18 Jun - Kerajaan akan bekerjasama dengan Yayasan Al- Quds Malaysia dan Antarabangsa untuk menyediakan kemudahan infrastruktur pendidikan serta latihan sumber manusia yang diperlukan oleh rakyat Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bidang terbabit dilihat amat diperlukan oleh generasi muda ketika ini kerana merekalah yang akan menentukan masa depan Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, mereka juga perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang yang penting kepada pembangunan Palestin.

"Dalam pertemuan dengan delegasi Al-Quds International pagi ini, saya dimaklumkan lebih 15,000 kanak-kanak Palestin tidak dapat mengikuti persekolahan kerana kekurangan bilik darjah.

"Saya berharap syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat turut serta membantu inisiatif pendidikan bagi rakyat Palestin yang boleh diselaraskan melalui Yayasan Al-Quds Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Yayasan Al-Quds Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa, dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, Al-Quds International Institution, Dr. Mohamad Akram Adlouni.

Menurut Muhyiddin, beliau turut tertarik dengan komposisi ahli yayasan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, ulama, ahli akademik, ahli profesional dan perniagaan.

Komposisi itu, katanya, bukan saja memberi kekuatan kepada yayasan dalam merealisasikan agenda yang menuntut kemahiran pelbagai, malah ia juga lambang kesepakatan hati, satu jiwa rakyat Malaysia untuk memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dan kemerdekaan negara mereka.

Beliau yakin, Nasharuddin dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan iaitu Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir mempunyai peranan tersendiri dalam membantu usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu Palestin.

"Walaupun Mukhriz dan Nasharuddin adalah dari dua parti politik berbeza, saya yakin atas prinsip memperjuangkan kepentingan ummah, kita dapat mengenepikan sebarang perbezaan dan bersatu hati untuk mencapai matlamat sama," katanya.

Yayasan Al-Quds adalah sebuah NGO yang berganding dengan Yayasan Al-Quds Antarabangsa, sebuah yayasan antarabangsa yang ditubuhkan bertujuan memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Penubuhan yayasan ini menzahirkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk bebas daripada cengkaman kezaliman Israel.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran