Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 08 Oktober 2010.
Penulis – Tan Sri Nordin Kardi.
Hujung minggu lalu saya menghadiri majlis hari raya di sebuah Jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Banyak kawan lama saya temui di situ dan seperti biasa apabila bertemu kawan-kawan lama itu, pelbagai isu akan timbul guna saling menyemak dan mengemas kini pelbagai perkara daripada hal peribadi sampailah ke hal-hal negara dan dunia.
Daripada banyak perkara itu rakan lama saya Syed Agil menimbulkan isu kemerosotan pulangan pelaburan akhbar-akhbar berbahasa Melayu. Seperti bergetar suara kebimbanganya akan kelangsungan hidup akhbar-akhbar tersebut. Seperti biasa juga, bos lama saya Pak Zol, mempunyai pelbagai jawapan strategik terhadap persoalan itu.
Sepanjang perjalanan pulang saya ke Sintok, kepala saya masih memikirkan hal tersebut. Saya cuba mencari jawapan sama seperti bagaimana hendak membangun universiti semasa mula-mula saya menjadi Naib Canselor di universiti di daerah itu dahulu. Tentulah sepanjang putaran pemikiran itu dan sebagai orang Melayu, saya tidak akan dapat mengelak daripada memikirkan soal-soal nostalgia seperti perjuangan agama dan bangsa, soal sejarah silam, soal sumbangan akhbar berbahasa Melayu kepada kemerdekaan dan kesejahteraan, kestabilan dan keamanan Malaysia.
Oleh banyaknya dipengaruhi perjalanan hidup saya yang bergerak tanpa perlu bersaing dengan sesiapa, maka kaedah mengurus organisasi saya juga demikian. Saya pernah ingin membawa universiti yang saya ketuai maju dengan cara sendiri, asalkan berkonflik dengan garis panduan pihak berkepentingan. Begitu sikap saya sehingga saya tidak begitu tergoda dengan ranking, tidak tergoda dengan gelaran Universiti Apex atau Universiti Penyelidikan, tidak tergoda dengan imbuhan kewangan kerajaan sekiranya gelaran-gelaran itu diperolehi.
Untuk kemajuan kerjaya peribadi saya pula, saya juga tidak tergoda untuk memperolehi Gred Turus sekiranya saya mencapai kehendak-kehendak itu. Yang paling memanggil-manggil tenaga fizikal dan fikir saya ialah bagaimana universiti kami boleh berdikari dalam pelbagai aspek supaya universiti kami akan dihormati dan pihak berkepentingan akan 'malu alah' lalu memberikan autonomi yang amat kami impi dan beri nilai tinggi.
Lima tahun kerja keras bersama pembantu-pembantu dan rakan-rakan di universiti itu kami telah mula melihat cahaya di lorong itu dengan menjadi antara universiti awam yang terkehadapan dari segi keberdikarian menjana kewangan sendiri. Universiti kami mampu membuat beberapa bangunan dari wang kantong sendiri, di luar kebiasaan universiti awam yang mengharapkan biaya rancangan pembangunan lima tahun kerajaan (seperti contohnya RMK-8, RMK-9) untuk tujuan tersebut.
Tersergam bangunan UUM Kuala Lumpur kami beli dari UDA daripada wang sendiri yang dijana oleh orang yang terdahulu dari kami dan kami meneruskan dengan UUMKL menjana kewangan sendiri bagi menebus perbelanjaan wang orang terdahulu dalam tempoh tiga tahun. Bermati-matianlah Amin, Pengarah UUMKL untuk membina model perniagaan dan melaksanakannya bagi melangsaikan hutang dalam tempoh yang ditetapkan itu.
Bertolak dari asas pemikiran tentang universiti tadi, apabila memikir tentang akhbar dalam bahasa Melayu ini, otak saya berkecamuk sama ada model pemikiran yang sama boleh diguna pakai? Bolehkah akhbar-akhbar Melayu menetapkan kaedah memajukan diri ke hadapan dengan berfikir nyah-persaingan? Bolehkah akhbar berbahasa Melayu membina bahtera yang kuat bagi menerokai lautan luas yang belum pernah dilayari oleh nakhoda-nakhoda sebelum ini?
Saya cuba memikirkan dua aspek utama penghasilan sesebuah akhbar secara universal. Pertama, tumpuan pemerhatian diberi kepada isu hardware dan yang keduanya isu software. Saya berpendapat isu yang pertama itu berkaitan dengan proses teknikal dan fizikal pengeluaran dan yang kedua ialah isu kandungan akhbar berbahasa Melayu tersebut.
Isu fizikal berkaitan dengan pengurusan bermula dari bahan mentah sehingga barang siap itu sampai kepada pengguna. Isu kandungan pula bermula dari sumber manusia berkualiti, diikuti oleh kandungan idea sehinga idea itu kesudahannya juga sampai kepada pengguna. Gabungan kedua-duanya itu hendaklah terkandung dalam 'business model' pengeluaran sesuatu akhbar.
Siapakah pesaing kepada akhbar berbahasa Melayu? Sudah tentulah jawapannya ialah antara lain akhbar berbahasa Melayu itu bersaing sesama sendiri, saingan daripada akhbar dalam bahasa lain, saingan daripada sumber maklumat bukan akhbar seperti majalah dan buku dan yang lebih terkini ialah saingan sumber maklumat digital.
Jika saya utarakan supaya akhbar berbahasa Melayu mengambil pendekatan jangan bersaing, sudah tentu akan ada orang yang akan mengherdik saya nanti (seperti biasanya hampir setiap kali tulisan saya diterbitkan) dengan mengatakan "awak tidak berpijak di bumi nyata. Bukankah kurun dalam ke-21 segala-galanya adalah persaingan?"
Apabila melihat aspek fizikal saya teringat apabila Toyota Jepun mula menceburi industri automobil, sepasukan pengurusan dan teknikal telah dihantar ke Detroit, Amerika Syarikat untuk mempelajari cara-cara yang cekap proses kilang mengeluarkan kereta. Sepanjang lawatan di kilang kereta itu, pasukan Toyota sangat kritikal dan tidak seperti orang lain yang serta-merta kagum dengan cara Ford. Semasa lawatan tentulah mereka juga berkunjung ke pasar-pasar raya di sana.
Dipendekkan cerita, sistem Toyota yang bukan sahaja ditiru oleh industri automobil di dunia sekarang bahkan juga sampai ke pengurusan pejabat kerajaan, bukan dicipta dari idea kilang Ford sebaliknya dicipta dari sistem penggantian inventori di pasar raya.
Pasukan Toyota Jepun kagum dengan sistem penggantian barang yang telah dibeli dengan yang lain secara berterusan lalu mereka mencipta sistem Toyota berasaskan sistem pasar raya itu. Maka terciptalah istilah pengurusan Jepun sekarang yang antara lain menekankan organisasi mendatar atau lean (yang saya telah laksanakan di UUM) dengan panggilan MURI. Antara penyumbang kepada masalah MURI termasuk terlalu banyak jabatan dan terlalu banyak staf.
Kos menyara Jabatan dan staf yang terlalu banyak akan membebankan organisasi. MURI mengurangkan beban berlebihan dalam sistem hierarki piramid. Bebanan disebarkan secara mendatar. Terlalu banyak hierarki akan menyebabkan berlaku banyak keputusan dan keadaan tidak konsisten yang dipanggil MURA. Hierarki juga menyebabkan banyak pembaziran bahan dan tenaga manusia yang dipanggil MUDA.
MURI dan MURA akan menghindarkan pengeluaran berlebihan, pergerakan atau motion yang terlalu banyak, tempoh menunggu yang lama dan inventori berlebihan (pasar raya yang teratur dan bersistem tidak meletakkan barangan sehingga sesak dan tidak selesa di petak-petak yang diperuntukkan - istilah sekarang memanggilnya available only on demand.
Pengurangan kos dengan mengelak pembaziran menyebabkan kenderaan Toyota sampai ke tangan pelanggan dengan harga yang menakjubkan rakan-rakan industri automobil. Apabila harga Toyota di pasaran terlalu jauh bezanya dengan kereta lain di dunia, persaingan kepada Toyota sudah tidak relevan.
Toyota belayar di lautan biru dengan enjin kuasa kuda kecil yang tidak menghabiskan sumber tenaga. Hari ini kita melihat bagaimana Toyota membanjiri jalan-jalan raya Amerika Syarikat dari Hawaii sampai ke New England. Saya amat percaya rakan-rakan saya yang memimpin proses pengilangan akhbar-akhbar berbahasa Melayu telah terdedah dengan sistem Toyota.
Jika belum, elok mereka mempelajarinya secara terperinci bagi memenuhi keperluan asas pengeluaran, iaitu kos yang kompetitif selain dari model-model perniagaan yang membolehkan naskhah akhbar sampai ke tangan pelanggan dengan percuma. Ringkasnya akhbar berbahasa Melayu mesti fasih dan sentiasa terkini dari aspek sistem pengurusan pengeluaran pengilangan.
Massmedia business model sudah tidak lagi dapat dipertahankan dalam pengeluaran akhbar. Hal ini sudah menjadi makluman sejagat. Ada akhbar-akhbar besar di dunia yang terpaksa ditutup. Di Amerika Utara persaingan sengit ialah dalam akhbar hari Ahad kerana pelanggan-pelanggan tertumpu di situ. Di Eropah pula akhbar-akhbar percuma muncul dengan banyak. Sehingga tahun 2007 sahaja sudah ada 125 akhbar percuma dengan edaran sebanyak 26.5 juta berbanding hanya 44 di Amerika Syarikat.
Dalam aspek software atau kandungan pula, bolehkah staf akhbar dari Ketua Pengarang hingga ke 'stringer' tidak terlalu tergoda dengan idea persaingan. Bolehkah mereka keluar daripada meliputi cerita-cerita atau rencana-rencana yang sama dengan yang selama ini dikatakan sebagai pesaing-pesaing mereka? Bolehkah orang di Utusan tidak berfikir untuk bersaing dengan orang di Berita Harian?
Boleh mereka mencipta gaya pemberitaan atau ideologi kewartawanan yang unik lalu persaingan menjadi tidak relevan? Bolehkah tanggungjawab kepada pihak-pihak berkepentingan yang mesti ditunaikan dengan keunikan ideologi kewartawanan yang pembaca akan merasa tidak lengkap maklumat dan pengetahuan mereka jika tidak membaca akhbar berideologi tersebut.
Sabtu ini saya dijemput oleh Alumni UiTM untuk membincangkan hal akhbar berbahasa Melayu ini. Saya telah menyentuh hanya sedikit mengenai software dan saya percaya hal inilah yang akan banyak dibincangkan nanti. Biarlah saya tidak mendahului majlis itu untuk mendalaminya. Bolehkah sistem Toyota dipakai juga dalam mengurus kandungan akhbar berbahasa Melayu?
TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Jumaat, 8 Oktober 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Ismail Talu. Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas. Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Di negeri Perak, buah nadir ini dinamakan sebagai buat “seralat” atau “salat” sahaja. Sementara di tempat-tempat lain ...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu Nyawa Di Hujung Pedang – begitulah namanya sebuah novel pendek berkaitan sejarah Peperangan Dunia Yang Kedua. Novel pen...
-
By Idris Ismail Talu. Kalau kita lihat sepintas lalu, perbezaan di antara buah mentega @ seralat (diospyros blancoi) dengan buah pisang kaki...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan