TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 29 Oktober 2010

Cikgu Ibrahim Omar meninggalkan banyak novel

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.


Oleh NAZERI NONG SAMAH, pengarang@utusan.com.my


Allahyarham cikgu Ibrahim Omar.

SEMINGGU yang lalu, saya bermimpi beliau meninggal dunia. Saya amat sedih kerana gugurnya sebutir lagi bintang yang pernah menerangi dunia kesusasteraan Melayu. Saya membacakannya, al-Fatihah.

Ternyata semalam (Jumaat 29 Oktober 2010), beliau yang dimaksudkan iaitu novelis Desa Pingitan, Ibrahim Omar , 74, benar-benar telah pergi buat selama-lamanya kerana sakit tua pada pukul 11.30 pagi di Kampung Mela, Lipis, Pahang.

Beliau dikenali sebagai Cikgu Ibrahim kerana pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab di beberapa buah sekolah di Pahang dan Perak. Pada tahun 1966, Ibrahim pernah menjadi guru besar di Sekolah Arab Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak.

Nama Ibrahim juga tidak asing bagi para pelajar pada tahun 1960-an kerana novel Desa Pingitan, karyanya pernah menjadi teks Kesusasteraan Melayu untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 1966-1968.

Buku biografi Wajah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran tahun 1988 merumuskan bahawa novel Desa Pingitan mengemukakan kisah masyarakat Melayu di kampung dan bandar dengan perbezaan hidup serta sikap terhadap pembangunan.

Novel itu terus segar dibaca sehingga kini kerana Ibrahim lebih awal telah menerapkan elemen 1Malaysia di dalam Desa Pingitan.

Beliau meninggalkan banyak buah tangan berupa antologi cerpen dan tidak kurang daripada 50 buah novel termasuk novel Desa Pingitan yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Antara novel popular karya Ibrahim ialah Desa Pingitan (DBP 1964), Embun dan Tanah (Pustaka Melayu Baru 1965), Hilang (Pustaka Nasional Singapura 1966), Hujan Panas (Pustaka Timur Kuala Terengganu 1966), Patah Galah Haluan Perahu (Utusan Melayu (M) Berhad 1973), Tiba Masanya (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) 1977).

Ibrahim yang dilahirkan pada 17 Jun 1936 di Kampung Jeram Landak, Mela, Lipis, Pahang pernah belajar di Sekolah Menengah Inggeris Clifford, Kuala Lipis sebelum memilih kerjaya sebagai guru dan penulis kreatif berupa novel dan skrip drama Radio Malaysia sejak awal 1960-an.

Kemuncak kejayaan Ibrahim ialah apabila novel Desa Pingitan yang menyertai peraduan mengarang novel anjuran DBP, Kuala Lumpur tahun 1962 berjaya memenangi tempat kedua kerana tiada pemenang pertama dalam sayembara itu.

Selepas meninggalkan bidang perguruan, Ibrahim pernah menjadi penulis sepenuh masa sebelum menyertai penerbitan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai penyunting Utusan Malaysia pada tahun 1975.

Seorang penulis sastera dan wartawan Haris Fadilah Ahmad dari Jerantut, Pahang berkata, kali terakhir Ibrahim menghadiri majlis akademik adalah anjuran Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis kira-kira empat bulan lalu.

Bagi yang mengenali Ibrahim, pasti terbayang wataknya sebagai insan merendah diri serta gemar bercakap tentang motivasi, falsafah dan sesekali diselitkan dengan jenaka bermutu.

"Kita jangan tinggalkan bidang kesusasteraan kerana di dalamnya banyak mengajar kita tentang erti kemanusiaan dan saya gembira kerana Kementerian Pelajaran kini memperkasakan semula subjek itu di sekolah,'' kata Ibrahim seakan-akan berwasiat.

Source: Utusan Malaysia Online.

2 ulasan:

Hashim Zabidi berkata...

Ibrahim Omar telah pergi
buat selama-lamanya
Al Fatihah mencurah-curah kepusaranya
Nun di Kg.Mela sana.

Usah bimbang Pak Brahim
pengikut dan suku sakatnya usah berhati walang patah tumbang adat perjuangan
semangat kamu tetap hidup sepanjangan zaman.

Al Fatihah...

Idris Talu berkata...

Ya, Tuan Haji Hashim,

Gugurlah satu lagi
Pengharum dunia sastera bahasa Melayu
Yang tabah berkarya
Yang tidak pernah putus asa

Namun begitu
Watak Berahim dalam Desa Pingitan
Gulai ikan puyu susur keladi
Terus hidup dalam ingatan

Ya Allah Ya Tuhan kami
Limpahilah rahmatMu ke atas ruh hambu Mu ini
Yang berkhidmat kepada bangsanya tanpa jemu

Amiiin ya Rabbal 'Alamin
Alfatehah.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran