TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 12 Oktober 2010

Kembara Haji 2010 dapat tajaan tiga bas mewah

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 05/10/2010

SHAH ALAM 4 Okt
.
- Penganjur program Kembara Haji - Jalan ke Mekah 2010 (KHj 2010), Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn. Bhd., menerima tajaan tiga buah bas Nice Eksekutif Coach daripada Konsortium Transnasional Bhd. (KTB) hari ini.

Penyampaian tajaan tersebut di sini disempurnakan oleh Pengerusi KTB, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh kepada Pengerusi KHj 2010, Datuk Mansor Ramli.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim, pihaknya juga menyediakan enam orang pemandu yang berpengalaman bagi menjayakan program KHj 2010 yang julung kali diadakan.

''Setiap bas akan mempunyai dua orang pemandu, bukan sahaja berpengalaman tetapi juga mempunyai latihan mencukupi untuk memandu jarak jauh. Mereka akan bergilir-gilir memandu sehinggalah rombongan tiba di tanah suci.

'' Bas ini adalah bas mewah yang bakal memberikan keselesaan kepada jemaah haji selain boleh berjalan 1,000 kilometer setiap hari," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

KHj 2010 anjuran Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn. Bhd., bakal disertai kira-kira 100 orang jemaah haji yang akan memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan.

Perjalanan lebih 10,000 kilometer itu dijangka memakan masa selama 60 hari.

Ia akan merentasi Thailand, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Kuwait dan seterusnya Arab Saudi.

Kos bagi semua peserta KHj2010 sebanyak RM2.8 juta iaitu RM28,000 bagi setiap peserta dengan sebahagian daripadanya ditaja oleh beberapa syarikat korporat.

Sementara itu, seorang pemandu bas KHj 2010, Mohd. Nasir Jabidin, 53, yang mempunyai pengalaman 13 tahun berkata, beliau sudah bersiap sedia mengharungi pelbagai rintangan yang bakal dihadapi dalam perjalanan itu nanti.

''Sememangnya ini perjalanan yang paling jauh pernah saya tempuhi sejak menjadi pemandu bas tetapi dengan kursus yang sentiasa diberikan oleh pihak syarikat akan digunakan sepenuhnya dan berharap selamat pergi dan pulang.

''Selain rasa teruja saya juga rasa gembira kerana dipilih menyertai rombongan ini dan ini kali pertama saya mengerjakan haji," katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran