TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 31 Oktober 2010

‘JCorp bukan milik saya’

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 01 November 2010.




Oleh AINUL ASNIERA AHSAN, ainul.ahsan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 31 Okt. – Biarpun terpaksa mengambil keputusan melepaskan jawatan di Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim tidak pernah menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pengakhiran hidupnya’.

Sebaliknya, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp itu berasa amat bertuah kerana telah diberi peluang untuk mengemudi konglomerat milik kerajaan negeri Johor itu selama 30 tahun dan berjaya meletakkannya pada kedudukan sekarang.

JCorp kini memiliki 280 syarikat termasuk lima syarikat senaraian awam dengan nilai aset bernilai RM14 bilion.

‘‘Semasa saya menerima jawatan itu dulu, saya sentiasa bertawakal untuk membuat yang terbaik dan alhamdulillah saya sudah melakukannya, sebab itu saya tidak rasa kecewa.

‘‘Bagi saya, ini adalah satu kelebihan apabila kita menerajui syarikat tanpa pemilikan saham, kita tidak akan berasa kecewa, takut atau resah apabila terpaksa meninggalkannya.

‘‘JCorp bukan milik saya, saya hanya menerajuinya bersama rakan-rakan lain sebagai satu amanah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Muhammad Ali berkata, perasaan sedih tidak langsung timbul semasa beliau menulis dan menghantar surat peletakan jawatan itu.

Katanya, sesiapa pun perlu mengambil tindakan sama sekiranya tidak lagi diterima dalam satu-satu organisasi, namun enggan mengulas lanjut.

Lagipun, katanya, sejak mula-mula menerima jawatan itu, beliau akur suatu hari nanti, pasti akan meninggalkan JCorp untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.

‘‘Peletakan jawatan saya bukan bermakna hidup saya habis kerana sepanjang di JCorp, saya pernah merasai kegagalan dan kecewa lebih dahsyat apabila tidak berjaya memiliki Pantai Holdings Bhd. (Pantai).

‘‘Kekecewaan dan kegagalan yang pernah saya alami dulu melebihi daripada apa yang saya rasai sekarang,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai peristiwa tersebut, Muhammad Ali berkata, JCorp tewas dalam pemilikan Pantai kerana tidak mendapat sokongan politik walaupun telah membayar sebanyak RM25 juta kepada syarikat pengurusan hospital Pantai itu.

Katanya, Pantai telah diswastakan kemudian dijual kepada Parkway Holdings Ltd. (Parkway) dan Khazanah Nasional Bhd. terpaksa membeli semula dari Parkway pada harga berbilion ringgit.

‘‘Itulah peristiwa yang paling membuat saya sedih, kecewa dan berasa gagal. Kalau Pantai berjaya dalam tangan JCorp, saya mampu memberi jaminan Pantai semakin kukuh sekarang.

‘‘Bagaimanapun, KPJ Heathcare Bhd. telah mengembalikan maruah kita. Kita tidak boleh hidup kalau asyik kecewa sahaja,’’ tegasnya.

Beliau berkata, walaupun sudah tidak bersama JCorp, Muhammad Ali yakin pemimpin-pemimpin sedia ada di syarikat itu mampu menggembleng tenaga, fikiran dan kemahiran bagi mengukuhkan syarikat.

Malah, beliau turut melahirkan harapan agar kerajaan negeri itu memberi peluang kepada legasi sedia ada mereka yang kini merupakan ahli perniagaan yang hebat dan masih muda.

‘‘Siapa yang tidak kenal dengan kehebatan Pengarah Urusan Kulim Bhd., Ahamad Mohamad, yang pernah menerajui sebuah syarikat tersenarai awam di London.

‘‘Begitu juga Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ dan lain-lain.

‘‘Mereka mesti berjaya, tidak boleh kecundang kerana JCorp mempunyai peranan yang cukup besar kepada masyarakat,’’ tambah beliau.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran