TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 6 Oktober 2010

Adnan terima ijazah doktor kehormat pendidikan

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 06 Oktober 2010.

AMMAN 5 Okt. - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Penganugerahan julung kali itu disampaikan Presiden Universiti Yarmouk, Prof. Dr. Sutan Abu Orabi pada satu majlis Ahad lalu, di universiti berkenaan di bandar Irbid, kira-kira 85 kilometer ke utara Amman.

Penganugerahan oleh universiti tertua di Jordan itu (ditubuhkan pada 1976) ialah sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan Adnan dalam bidang pendidikan khususnya berbentuk galakan dan bantuan kewangan kepada anak-anak negeri Pahang demi melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Penganugerahan tersebut turut bermatlamat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara Kolej Antarabangsa IKIP milik Yayasan Pahang dengan Universiti Yarmouk yang kini memasuki tahun kesembilan terutamanya menerusi penghantaran pelajar-pelajar anak negeri Pahang ke universiti itu.

Adnan ketika berucap pada majlis berkenaan menyifatkan penganugerahan itu sebagai penghormatan besar kepada kerajaan negeri Pahang yang dinaungi pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Kita berharap kerjasama antara Jordan terutamanya dengan Universiti Yarmouk dan Kolej IKIP milik Yayasan Pahang dalam bidang pendidikan akan dapat diperkemaskan lagi," katanya.

Ketika ini, terdapat 400 pelajar Malaysia belajar di Universiti Yarmouk dalam pelbagai bidang jurusan dan 130 daripadanya adalah tajaan Yayasan Pahang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Seri Junaini Abu Kassim dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Saariah Saad. – BERNAMA

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran