TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 8 Oktober 2010

Malaysia tambah 2 pingat emas

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 09 Oktober 2010.

NEW DELHI - Misi memburu 10 pingat emas pada Sukan Komanwel XIX terus di landasan terbaik apabila atlet 'superstar' negara, Datuk Nicol David menepati ramalan dengan merangkul pingat emas skuasy perseorangan wanita semalam.

Badminton pula mengotakan janji awal untuk memburu empat emas dengan merangkul emas berpasukan campuran selepas mengalahkan India 3-1 pada perlawanan akhir.


Ketiga-tiga mata kemenangan disumbangkan beregu campuran, Koo Kien Keat- Chin Eei Hui, Datuk Lee Chong Wei dan Kien Keat-Tan Boon Heong.

Nicol pula mengalahkan seteru utama, Jenny Duncalf dari England 11-3, 11-5, 11-7.

Walaupun tersasar daripada sasaran emas dalam memanah recurve lelaki berpasukan, kejayaan skuasy dan badminton cukup melegakan.

Skuad memanah terpaksa akur dengan kehandalan lawan dari Australia apabila gandingan Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra, kalah 212-219.

Hasli Izwan Amir Hassan menambah satu lagi pingat perak dalam acara menembak, kali ini dalam acara 25 meter pistol rapid fire lelaki di Lapangan Menembak Karni Singh.

Walaupun mengalami masalah picu senjatanya, yang menyebabkan markah tembakannya agak rendah, Hasli mengekalkan momentum di sepanjang saingan untuk memastikan pingat perak milik Malaysia.

Acara ping pong mencatat sejarah tersendiri buat Malaysia apabila pertama kali meraih pingat di peringkat Sukan Komanwel.

Skuad wanita negara yang dibarisi Beh Lee Wei, Chiu Soo Jin, Fen Xiao Jun dan Ng Sock Khim menang 3-2 ke atas England untuk membawa pulang pingat gangsa.

Acara basikal trek gagal mempamer kayuhan emas dalam acara pecut berpasukan.

Namun, pingat gangsa menerusi Mohd. Azizulhasni Awang, Mohd. Rizal Tisin dan Josiah Ng pada saingan final di Kompleks Sukan Indira Gandhi, sekurang-kurangnya memperbaiki kegagalan meraih sebarang pingat pada Sukan Komanwel 2006 di Melbourne.

Hari ini, badminton meneruskan pemburuan pingat emas dengan acara individu memulakan kempen, manakala skuasy meneruskan usaha mencari emas dalam saingan beregu campuran di mana Nicol akan berganding dengan Ong Beng Hee.

Saingan menembak pula mengharapkan satu lagi pingat dengan Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohd. Taibi beraksi dalam acara 10m air rifle berpasangan, manakala Hasli memburu pingat ketiga dalam acara 25m centre fire pistol berpasangan.

Siti Zalina Ahmad pula akan memulakan kempen memburu kejuaraan hatrik dalam acara boling padang perseorangan wanita hari ini. – UTUSAN

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran