TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 5 Oktober 2010

Asmah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 06 Oktober 2010.

IPOH 5 Okt. - Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu serta Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar menerima Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan yang julung kalinya diperkenalkan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.


Asmah, 70, wanita Melayu pertama yang menerima doktor falsafah dalam bidang linguistik am daripada University of London pada tahun 1969, diberikan pengiktirafan tersebut atas kesungguhan beliau memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, kemajuan dan pengucapan budaya tinggi.


Ratusan penerbitannya termasuk ensiklopedia, buku, artikel, karya terjemahan, kertas kerja, serta temu ramah di radio dan televisyen sebahagian besarnya telah dihasilkan dalam bahasa Melayu sementara selebihnya dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang turut menguasai bahasa Perancis juga pernah dipertanggungjawabkan sebagai pegawai khas untuk melaksanakan agenda penukaran bahasa pengantar pengajian di UM daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Asmah berpendapat, bahasa Melayu seharusnya diangkat menjadi bahasa ilmu melalui penulisan dan penyampaian, bukan sahaja dalam kesusasteraan tetapi juga merangkumi bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu perlu diperluas secara rasmi di media selain para pemimpin harus menunjukkan contoh tauladan dengan menuturkannya secara baik di semua peringkat.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa penggunaan bahasa asing sebagai sumber mendapatkan rujukan sebagai sesuatu yang 'menderhakakan' bahasa kebangsaan.

"Kalau tidak merujuk pada bahasa lain, sebenarnya kita memundurkan bangsa dan oleh sebab itu, kita harus menguasai pelbagai bahasa.

"Yang penting, harus buktikan bahawa kita setaraf dengan pakar antarabangsa lain melalui komunikasi dan kerjasama dengan pelbagai negara kerana martabat bangsa itu terletak pada bahasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 bertemakan 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Asmah yang merupakan penerima sulung anugerah tersebut membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000, watikah penghormatan negara serta buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut melancarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) iaitu enjin carian yang membolehkan pengguna mengakses maklumat merentasi semua pangkalan data serta laman Bahasa dan Persuratan Melayu yang ditentukan oleh DBP.

PPRM merangkumi semua maklumat dalam pangkalan data DBP yang dikategorikan mengikut domain seperti kamus dan istilah, artikel, karyawan, puisi, karya, ensiklopedia, buku dan khidmat nasihat.

Dalam pada itu, Asmah yang juga pengarah pertama Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), akan menerbitkan sebuah ensiklopedia berbahasa Inggeris bertajuk ''Encyclopaedia of Malay Language and Linguistics'' tidak lama lagi.

Beliau kini sedang menyiapkan tiga jilid buku rujukan latihan pengajaran bahasa Iban kepada bakal guru yang akan bermula di UPSI pada 2012.

Sementara itu, Hadiah Khas Bulan Kebangsaan yang turut julung kalinya diperkenalkan telah dianugerahkan kepada seorang sarjana pengajian Melayu yang pernah berkhidmat di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ding Choo Ming.

Anugerah yang diberikan khusus kepada bukan Melayu itu sebagai mengiktiraf sumbangannya ke arah pemuliharaan khazanah dan warisan ilmu pengetahuan Melayu.

Beliau merupakan orang pertama yang membangunkan portal malaycivilization.com iaitu pangkalan data digital pengajian Melayu.

Choo Ming yang menggabungkan kepakarannya dalam bidang sains maklumat turut membangunkan Pangkalan Data Digital Buku Tulisan Jawi yang mengandungi lebih 300 naskhah novel dan pelbagai buku jawi serta Data Digital '1 Juta Pantun Melayu'.

Beliau menerima wang tunai bernilai RM5,000 beserta sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran