TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 16 Oktober 2010
Mencontohi Hudaibiyah
Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 17 Oktober 2010.
Oleh Tan Sri Dr. Harussani Zakaria
SAYA merafakkan pujian kepada Allah SWT kerana dipanjangkan umur memasuki lembaran baru dalam bulan Islam iaitu bulan Zulkaedah setelah menempuh kenikmatan Ramadan dan Syawal yang membahagiakan. Bagi diri saya dan seluruh umat Islam, bulan Zulkaedah merupakan bulan yang besar maknanya terhadap perkembangan Islam. Dalam bulan tersebut tercatat suatu lembaran sejarah iaitu peristiwa Sulh Hudaibiyah ataupun Perjanjian Hudaibiyah yang termeterai pada bulan Zulkaedah di akhir tahun ke 6 Hijrah.
Saya sering meneliti fakta sejarah yang menceritakan betapa pintar, bijaksana dan penuh hikmah pandangan Junjungan Besar Rasul SAW ketika berlansungnya perjanjian antara Baginda SAW dan golongan Musyrikin, biarpun terdapat sebahagian sahabat yang tidak bersetuju dengan terma-terma dan isi kandungan perjanjian tersebut. Perjanjian yang mengungkapkan bahawa betapa Rasulullah SAW seorang pemimpin yang berpandangan jauh merentasi pandangan para sahabatnya terutama sesuatu yang boleh menambah nilai-nilai keteguhan iman dan kebahagiaan para umatnya di dunia dan akhirat.
Antara terma perjanjian yang menarik perhatian saya ialah persetujuan Rasulullah SAW dengan wakil Quraisy yang diketuai oleh Suhel bin Amar bahawa “Setiap orang Mekah yang lari ke Madinah hendaklah dihantar semula ke Mekah sekalipun mereka orang Islam. Sebaliknya, jika ada antara orang-orang Madinah yang berlindung di Mekah, mereka tidak akan dipulangkan”. Sikap Baginda SAW yang menerima dan memperaku terhadap terma ini dan terma-terma yang lain menjadi tanda tanya kalangan para sahabat sehingga mengundang kesedihan kepada Saidina Ali r.a. yang bertindak sebagai pencatat bagi perjanjian damai ketika itu.
Seorang sahabat bernama Abu Jandal yang sudah memeluk Islam dan telah berhijrah bersama-sama dengan umat Islam di Madinah terpaksa diserahkan kepada bapanya iaitu Suhail dalam keadaan berantai tangan dan kakinya serta dipukul dan diherdik oleh bapanya. Peristiwa ini benar-benar membingungkan para sahabat, bagaimana Rasulullah SAW boleh bersetuju dengan perjanjian yang pada pandangan mereka adalah berat sebelah. Sesungguhnya Perjanjian Hudaibiyah memang menguji keimanan dan kepatuhan para sahabat Rasulullah SAW.
Hingga ketika Rasulullah SAW mengarahkan mereka para sahabat melakukan ibadah qurban, namun para sahabat ketika itu masih kebingungan dan buntu. Rasulullah SAW mengulangi perintah itu sebanyak tiga kali, namun para sahabat masih membatu dan membisu. Lalu isteri baginda, Ummu Salamah r.a memberikan pandangan, adalah lebih baik baginda melakukannya terlebih dahulu. Baginda menerima pandangan tersebut dan melakukan penyembelihan qurban dan mencukur kepala. Setelah para sahabat melihat Rasul SAW melakukannya, barulah para sahabat bergegas melakukan qurban dan bercukur. Jelas ini menunjukkan bagaimana iman para sahabat diuji, namun kekuatan iman mereka terhadap kebenaran Rasulullah SAW masih kukuh.
Kepintaran pemimpin
Biarpun tempoh perjanjian damai yang telah termeterai berkuatkuasa selama 10 tahun yang pada dasarnya memenangkan kaum Musyrikin, namun ianya memperlihatkan sikap tolak ansur Baginda SAW biarpun pada prinsipnya seolah-olah Islam dan umatnya mengalami kerugian dan pihak Musyrikin beroleh kemenangan hasil dari perjanjian tersebut. Apa yang dilakukan oleh Baginda SAW sarat dengan strategi yang lambat laun akan memenangkan Islam serta umatnya biarpun terpaksa menghadapi kritikan yang pedas pada peringkat permulaan.
Keputusan Baginda SAW diperakui tidak popular di kalangan sahabat, namun apabila diteliti dengan kewarasan fikiran akan menatijahkan kebahagian dan kesejahteraan Islam dan umatnya di masa yang mendatang. Bermula dari episod penting inilah berlakunya peristiwa yang lebih penting iaitu Fathu Makkah atau pembukaan Kota Mekah. Peristiwa pembukaan yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Fath ayat 1 yang bermaksud Sesungguhnya Kami telah memenangkan engkau (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata (mengalahkan negeri Mekah).
Ibn Kathir menyatakan ayat ini diturunkan setelah baginda pulang dari penjanjian Hudaibiyah pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Sebaik baginda pulang turunlah ayat yang menyatakan kemenangan ke atas baginda dan seluruh umat Islam. Ketika berlakunya persitiwa pembukaan Mekah, makin bertambahlah keyakinan tentang kemenangan yang dijanjikan Allah SWT. Diriwayatkan bahawa Ibn Masud r.a, pernah menyatakan: Sesungguhnya mereka telah pulang dari kemenangan pembukaan makkah, dan kami pula pulang dari kemenangan perjanjian damai Hudaibiyah.
Lihatlah bagaimana peristiwa ini memberikan seribu satu pengajaran, namun yang saya ingin nyatakan di sini bagaimana pentingnya kepimpinan dan orang bawahan berpegang teguh kepada panduan wahyu. Mungkin apa yang disarankan al-Quran dan al-Sunnah tidak mampu difahami dengan akal dangkal kita. Tetapi jika kita yakin dan teguh dalam pegangan kita, insya Allah, Allah SWT pasti akan membantu kita. Imam Bukhari dan Muslim telah merakamkan bagaimana Saidina Abu Bakar al-Siddiq membuktikan sekali lagi keutuhan keimanan beliau ketika beliau di datangi oleh Umar r.a: Wahai ibn Khattab, sesungguh dia (Nabi Muhammad) adalah Rasul Allah, baginda tidak akan menyalahi perintah RabbNya dan Allah pun tidak akan membiarkannya.
Sikap umat hari ini
Inilah sikap pemimpin dan cara kepimpinan yang boleh diikuti oleh kita para umatnya dalam membuat sebarang keputusan penting yang membabitkan kepentingan Islam dan umatnya. Apa yang diputuskan oleh Baginda SAW sebenarnya berorientasikan kehendak wahyu yang tulen tanpa memenuhi kehendak individu yang kadang-kadang diselaputi hawa nafsu.
Dalam nikmat usia yang sebegini, seringkali saya merenungi isu-isu umat yang sering didedahkan menerusi media massa mahupun yang ditanya kepada saya. Persoalan besar yang sering melingkungi pemikiran saya ialah mengapa isu-isu umat sama ada aspek keagamaan, sosial, politik dan sebagainya seringkali gagal diselesaikan dengan baik dan bijaksana? Apakah wujud “hijab” yang menghalang proses pengislahan dan pemurnian segala kemelut yang berlaku di kalangan umat Melayu Islam khususnya. Siapakah yang patut dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut? Apakah ia terletak di bahu umara’ dan ulama yang dikategorikan sebagai pemimpin, ataupun di bahu umat itu sendiri sebagai mereka yang dipimpin?
Seperti halnya isu berkaitan pemberian bantuan kepada warga emas di Pulau Pinang. Hal-hal yang sebegitu tidaklah memerlukan kepada perbincangan panjang yang mengakibatkan kecelaruan kepada masyarakat. Para mufti dan cendekiawan Islam yang diharapkan untuk mendepani isu agama dan sosial sudahpun meneliti hal tersebut dan keputusan sudahpun dibuat menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009. Saya menurunkun keputusan tersebut agar ia boleh menarik perhatian pelbagai pihak seperti berikut: “Di dalam Islam harta-harta yang diperoleh dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik”.
Saya merasa sedikit kecewa disebabkan terdapat pihak-pihak yang menggunakan kesempatan memberi “fatwa segera” yang baru sedangkan ia telah diputuskan secara konsensus oleh para Mufti yang berkompeten dalam hal ini. Banyak lagi isu yang gagal diselesaikan sekiranya para ulama yang dipertanggungjawabkan tidak dirujuk apatah lagi urusan tersebut berkaitan langsung dengan agama.
Mengapa urusan agama tidak dirujuk kepada mereka yang berkeahlian tentangnya sedangkan dalam urusan-urusan yang lain, masyarakat berkecenderungan untuk merujuk kepada mereka yang berkemahiran tentang hal tersebut. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anbiya’ ayat 21 yang bermaksud “Bertanyalah kamu kepada ahl Zikri sekiranya kamu tidak mengetahui”. Sebagai contoh, sekiranya urusan tentang teknikal dan kejuruteraan, maka yang berhak untuk dirujuk adalah kepada para jurutera, hal-hal yang berkaitan kesihatan tubuh badan, maka yang berhak untuk dirujuk adalah kepada para doktor, namun hal ehwal keagamaan dan kerohanian, mengapa masyarakat masih berminat untuk menerima pernyataan dari yang mereka yang bukan berkeahlian tentangnya. Terhasillah kecelaruan akibat dari pernyataan yang hanya memikirkan kepentingan dan kehendak golongan tertentu sahaja. Sedangkan hukum dalam Islam tidak memihak kepada kepentingan sesuatu pihak, namun kemaslahatan umum tetap diambil kira. Sekiranya pihak-pihak tertentu menghuraikan sesuatu berdasarkan selera, tanpa mahu berpaksikan kepada nas-nas Syara’ dan pandangan mereka yang berautoriti, ia akan lebih menimbulkan kekeliruan dan kejahilan di kalangan masyarakat umum.
Adab kepada Pimpinan
Peristiwa Hudaibiyah ini memperlihatkan bagaimana adab para sahabat dengan kepimpinan Rasul SAW. Biarpun kita tidak bersetuju dengan pandangan dan keputusan yang telah diputuskan oleh pimpinan hingga menjadikan perasaan kita membuak-buak, seharusnya kita beradab dalam menyampaikan sikap dan pandangan kita. Namun saya melihat ada kalangan kita umat Melayu Islam hari ini begitu lantang menyuarakan pandangan dengan cara memaki hamun, membenci dan menfitnah kepimpinan. Apakah ini yang diajar dan dididik oleh agama dan adab resam bangsa kita yang masyhur dengan kesopanan dan kehalusan berbicara. Sekiranya kita umat Melayu Islam cuai dalam memelihara adab terhadap para pemimpin, nescaya akan menimbulkan sikap berani kepada mereka yang bukan beragama Islam terhadap para pemimpin Islam.
Kita lihat apa yang terjadi bilamana Pengerusi Hindraf dengan nada yang kurang sopan mempersoalkan titah Sultan Johor berkait dengan kuasa Raja dan keistimewaan orang Melayu. Ini juga adalah bicara individu yang kurang cermat dan tidak berpaksikan kepada fakta yang telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu. Kekuasaan Raja dan keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub secara jelas sebenarnya semakin terhakis dengan kelunakkan dan kelembutan tidak bertempat kita bangsa Melayu melayani sahabat-sahabat kita yang berlainan bangsa dalam Negara ini.
Namun, sejak mutakhir ini mengapa bangsa lain berani mempertikaikan hal-hal yang sudah termaktub dan dimuat turun sebagai perlembagaan negara? Adakah ini kerana mereka sudah pun melihat umat Melayu Islam sendiri dewasa ini sudah tiada adabnya dengan Raja dan pemimpin mereka. Umat Melayu Islam dalam negara perlu bersama-sama menghormati dan menyanjung tinggi institusi raja kerana ia bukan sahaja payung yang menaungi orang Melayu semata-mata, tetapi agama Islam dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Umat Melayu Islam di bumi Malaysia tercinta ini perlu bersatu dalam menangkis sebarang usaha pihak tertentu yang ingin menangguk di air keruh untuk meruntuhkan institusi ini kerana saya berpandangan bahawa institusi raja amat penting untuk memelihara kepentingan Islam dan bangsa Melayu.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
By Idris Ismail Talu Nyawa Di Hujung Pedang – begitulah namanya sebuah novel pendek berkaitan sejarah Peperangan Dunia Yang Kedua. Novel pen...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan