TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 15 Oktober 2010

Fenomena luar biasa di Sungai Rajang

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 16 Oktober 2010.

KAPIT 15 Okt. - Fenomena luar biasa himpunan sisa balak dan kayu di Sungai Rajang yang disifatkan sebagai 'tsunami kayu balak' tidak mustahil berulang jika hujan lebat terus melanda kawasan Baleh dalam masa terdekat ini.


Datuk Seri Dr. James Jemut Masing


Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing berkata, situasi di kawasan kejadian tanah runtuh di Sungai Melatai, Ulu Baleh, kira-kira 100 kilometer dari Kapit masih belum selamat dan boleh menyumbang kepada berulangnya fenomena yang sama.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu lagi, hasil tinjauan beliau ke lokasi kejadian mendapati, pokok-pokok di kawasan tersebut hanya menunggu masa untuk rebah kerana hakisan tanah ekoran kegiatan pembalakan di kawasan tinggi dan atas bukit sepanjang tebing sungai berkenaan.

"Fenomena luar biasa itu berlaku di bahagian Ulu Sungai Melatai, berdekatan dengan sempadan negara jiran, Indonesia berkeluasan lebih kurang lima kilometer persegi.
"Masih terdapat pokok-pokok di kawasan yang mengalami hakisan di sekitar lokasi kejadian dan jika cuaca hujan lebat berterusan, maka tidak mustahil pokok-pokok di sepanjang tebing sungai akan tumbang dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh serta 'tsunami kayu balak' sekali lagi," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Masing berkata, kegiatan pembalakan masih giat dijalankan di sekitar kawasan itu meskipun undang-undang perhutanan tidak membenarkan sebarang aktiviti dilakukan di kawasan 100 meter jaraknya dari sungai atau dikenali sebagai zon penampan.
Katanya, ketika mengadakan lawatan ke sekitar lokasi kejadian semalam, beberapa kenderaan yang digunakan oleh pekerja balak terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan kerana jalan yang sedia ada sudah terputus akibat kejadian tanah runtuh.

Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan Sungai Melatai menjadi keruh dan berlumpur, malah habitat di sungai berkenaan seperti ikan empurau dan semah yang mendapat permintaan tinggi juga berisiko akan pupus.

"Kita perlu menunggu lebih kurang enam bulan untuk ikan-ikan ini membesar semula di sungai berkenaan.

"Justeru, saya menggesa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta badan-badan yang bertanggungjawab supaya melakukan kajian dan siasatan lebih terperinci berhubung kejadian berkenaan," ujarnya.

Pada masa sama, Masing mendedahkan bahawa kegiatan pembalakan bukan hanya berlaku di Melatai sahaja, malah turut dilakukan di kawasan berhampiran 10 batang sungai yang lain dan jika tiada penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan, maka kejadian yang serupa juga akan berlaku di sungai-sungai yang lain.

Menurut beliau, sekarang bukan masanya untuk pelbagai pihak memikirkan apa masalah yang menimpa, sebaliknya semua pihak harus mencari langkah terbaik untuk menangani masalah ini daripada berlaku sekali lagi.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran