TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 6 Oktober 2010

Hussein jadi Presiden Amerika Syarikat

Sumber: Mingguan Malaysia Online.
ARKIB : 25/01/2009
Dari kolum "Untung Sabut Timbul"

DALAM sejarah moden, empat negara telah dipimpin oleh seorang yang bernama Hussein. Malaysia pernah dipimpin oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Sementara Jordan pula pernah dipimpin oleh Almarhum Almalik Hussein. Tetapi tentunya Hussein paling terkenal ialah Saddam Hussein yang menyebabkan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat.

Penaklukan Iraq oleh George Walker Bush membuatkan orang Amerika juga marah. Maka antara perkara itulah yang memungkinkan rakyat Amerika memilih Barack Hussein Obama. Beliau ialah Hussein keempat dan terbaharu yang memerintah sebuah negara moden ekoran pengangkatan sumpah beliau pada 20 Januari lalu. Tentu nama Hussein yang ada padanya tidak akan dibesar-besarkan oleh media Barat kerana bukan saja ia merupakan nama tengah di mana di Amerika ia sering tidak disebut tetapi namanya yang berasal Islam itu hanya menimbulkan rasa tidak wajar oleh rakyat Amerika.

Maka ketika semua stesyen televisyen hanya menyebut nama Barack Obama, rangkaian Al-Jazeera terang-terang memaparkan namanya sebagai Barack Hussein Obama. Begitulah ironi hidup. Setelah menumbangkan seorang Presiden bernama Hussein di Iraq, kini Amerika memperoleh Presiden bernama Hussein.

Malangnya sebelum Obama mengangkat sumpah, Israel menyerang Gaza dan membunuh lebih 1,000 orang Palestin. Pada hari Obama mengangkat sumpah, Israel mengundurkan semua tenteranya dari Gaza. Adakah ini merupakan perancangannya untuk menghancurkan Gaza pada hari-hari akhir pemerintahan Bush? Kemudian serta-merta menghentikan serangan ke atas Gaza apabila Amerika memperoleh Presiden baru. Adakah perkara ini semuanya kebetulan?

Dan pada keesokan harinya juga mungkin kebetulan TV2 pada sebelah malamnya menyiarkan filem The Independence Day, sebuah filem fiksyen sains Hollywood yang sarat dengan mesej patriotisme Amerika. Tentu dalam keadaan banyak umat Islam yang sedang memboikot barangan Israel dan Amerika serta berasa benci terhadap kedua-dua negara, penayangan filem ini menimbulkan rasa serba pelik.

Independence Day dibikin pada tahun 1996. Ia menceritakan bagaimana makhluk asing menakluk planet bumi tetapi berjaya dikalahkan pada 24 Julai iaitu tarikh hari kemerdekaan Amerika. Maka dengan kemenangan itu, 24 Julai turut dihebahkan sebagai hari kemerdekaan bumi. Tidakkah ia mengandungi mesej bahawa Amerika yang menakluk dunia?

Dalam filem itu, kota-kota Amerika diserang teruk oleh kapal angkasa makhluk asing. New York, Washington dan Los Angeles musnah kerana serangan udara makhluk asing yang menggunakan bantuan satelit milik manusia. Maka dibicarakan betapa makhluk asing menggunakan peralatan milik Amerika untuk memusnahkannya.

Pada tahun 1996, Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum diserang dan runtuh lagi. Maka dapat dilihat tersergam dua menara itu dalam filem tersebut. Tetapi kapal angkasa makhluk asing memusnahkan bandar-bandar itu termasuk White House. Pada tahun itu tentunya tidak ada sesiapa boleh sangka akan berlaku Peristiwa 11 September pada tahun 2001 di mana WTC runtuh apabila dirempuh oleh kapal terbang penumpang Amerika. Pengganas menggunakan peralatan Amerika untuk memusnahkan negara itu, selain dari WTC, ia juga mensasarkan Pentagon dan White House tetapi gagal.

Namun begitu, melihat filem Independence Day itu, runtuhan yang dilihat daripada bandar New York dan Los Angeles yang diserang oleh makhluk asing mengingatkan para penonton betapa ada persamaan gambaran antaranya dengan kemusnahan Gaza akibat serangan Israel. Bagi rakyat Palestin di Gaza, tentera Israel merupakan makhluk asing yang mahu memusnahkan kehidupan. Dalam cerita itu, Presiden Amerika adalah bekas juruterbang tentera yang cenderung untuk berperang. Tetapi ia memaparkan betapa kejayaan mengalahkan makhluk asing dapat dilakukan hasil daripada kecerdikan buah fikiran seorang penganut Yahudi. Maka idea yang merupakan kunci kemenangan manusia mengalahkan makhluk asing itu pula dilakukan oleh dua wira Amerika, seorang Yahudi dan seorang kulit hitam dilakonkan oleh aktor Will Smith sebagai ketua juruterbangnya. Mungkinkah ia menggambarkan suatu era akan datang di mana pemimpin Amerika yang berkulit hitam bekerjasama dengan pihak Yahudi untuk menentang makhluk asing. Maka adalah kebetulan bahawa tahun 2009 menyaksikan kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika dapat dijayakan dengan sokongan lobi Yahudi.

Selain itu, dalam filem Independence Day, tentera bukan Amerika yang membantu dipaparkan datang dari Iraq dan Israel. Ia ditunjukkan melalui bendera mereka di mana tentera kedua-dua negara itu bekerjasama menentang makhluk asing di bawah pimpinan Amerika. Paparan itu merupakan satu ironi kerana ia dibikin lama jauh sebelum Iraq diserang dan ditawan Amerika. Perang Iraq itu berlangsung mulai tahun 2003 dan banyak penganalisis melihat antara sebab ia dilakukan adalah untuk menyelamatkan Israel. Kini Iraq seperti juga Israel adalah sekutu Amerika, suatu yang telah digambarkan oleh filem tahun 1996 itu.

Sememangnya Hollywood gemar mengeluarkan filem bencana dan kemusnahan di mana Amerika digambarkan sebagai sebuah negara baik yang sentiasa diancam. Maka seringkali gambaran pemusnahan ditunjukkan baik melalui bencana alam semula jadi mahupun serangan ketenteraan di pihak luar. Sedangkan pada hakikatnya, Amerika banyak melancarkan serangan terhadap negara-negara lain serta merestui Israel melakukannya terhadap jiran-jirannya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran