TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 30 April 2011

Emel 1My - mudahkan rakyat berurusan dengan kerajaan.

Temubual Wartawan Edisi Mingguan Berita Minggu dengan Pengarah Adavista Sdn Bhd En. Azli Paat

Tarikh siar: 2011/05/01


Soalan: PADA pandangan anda, apa perlunya Emel 1My, sedangkan kebanyakan rakyat sudah ada emel peribadi seperti Yahoo, Gmail, Facebook dan Twitter.

Terlebih dulu, semua pandangan saya ini adalah pendapat teknikal. Keperluan emel ini memang sudah ada dan ia berbeza dengan emel peribadi. Emel peribadi hanya sesuai untuk tujuan bersosial. Kata mudahnya, Emel 1My bukan untuk menggantikan emel sedia ada, sebaliknya menjadi identiti individu untuk perkhidmatan dalam talian ketika berurusan dengan kerajaan.

Mungkin sekarang ia tidak diperlukan tetapi untuk masa depan ia sangat diperlukan kerana emel ini jadi identiti rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan dalam talian atau online.

Identiti ini perlu disahkan kerajaan sendiri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti pengesahan pengenalan diri melalui Mykad. Emel lain bukan tidak boleh dihantar kepada kerajaan tetapi sukar untuk kerajaan sahkan sama ada emel itu betul-betul milik identiti emel berkenaan.

Contohnya jika mahu maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seseorang itu boleh hantar emel, namun LHDN mungkin boleh atau tidak menjawab emel berkenaan kerana tiada pengenalan identiti disahkan kerajaan. Pada saya konsep ini perlu diwujudkan tidak kiralah apa saja namanya atau syarikat mana mengendalikannya.

Pengesahan emel oleh JPN secara tidak langsung diiktiraf kerajaan dan semua urusan pengesahan dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan boleh menggunakan emel berkenaan. Alamat emel seperti 1My ini juga dapat menyelesaikan masalah pengesahan MyKad. Tujuan dan hala tuju Emel 1My ini sangat baik bagi perhubungan rakyat dengan kerajaan.

Soalan: Namun ada juga pihak bimbang dengan risiko dan penyalahgunaan, ada pula khuatir kerajaan memantau kegiatan rakyat melalui Emel 1My.

Tujuan Emel 1My untuk memudahkan kerajaan berinteraksi dengan rakyat, untuk rakyat emel kepada agensi dan jabatan kerajaan bagi mendapatkan maklumat dan kerajaan membalasnya juga melalui emel.

Apa-apa pun dalam emel yang diterima atau dihantar kepada kerajaan, tiada isu ia disalahgunakan. Ia saluran perhubungan baru di antara kerajaan dan rakyat. Logiknya, tidak mungkin berlaku penyelewengan.

Apabila emel, lebih mudah kerajaan menyampaikan maklumat mengikut sasaran orang yang sesuai berdasarkan emel yang sudah didaftar dan ada pengesahan kerajaan.

Contohnya kerajaan mudah memberitahu maklumat banjir kepada rakyat melalui emel dan hanya mereka di kawasan terbabit saja menerimanya berdasarkan identiti pemilik emel yang sudah disahkan.

Dari segi keselamatan, syarikat yang menjayakan projek ini bekerjasama dengan Microsoft yang berpengalaman luas, malah syarikat itu mengendalikan exchange server, yang banyak digunakan organisasi lain.

Cuma sekarang ini tidak dinyatakan kawalan dalam bentuk penerimaan emel daripada orang lain atau adakah Emel 1My ini hanya untuk kegunaan rasmi dengan agensi dan jabatan kerajaan saja atau sesiapa pun boleh hantar emel kepada individu yang mempunyai akaun 1My. Satu lagi isu ialah format emel juga tidak dinyatakan.

Adakah emel ini guna format kad pengenalan, nama dalam MyKad dan disambungkan dengan nombor kad pengenalan. Ini penting kerana timbul persoalan 1My mungkin boleh disalah guna pihak tertentu bagi menghantar emel pukal.

Soalan: Selepas menjelaskan segala risiko dan isu itu, bagaimana mengatasinya.

Sepatutnya kerahsiaan perlu dilaksanakan dan syarikat pengendali 1My perlu menandatangani perjanjian kerahsiaan dengan kerajaan, sama seperti termaktub dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya. Ini proses biasa jika mana-mana syarikat luar melaksanakan projek kerajaan.

Projek ini membabitkan sumber luar di bawah kawalan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), jadi mereka perlu memastikan semua keselamatan maklumat tidak disalahgunakan.

Soalan: Satu lagi isu ialah caj 50 sen kepada pihak yang berurusan menggunakan Emel 1My. Apakah bayaran itu perlu.

Secara logiknya memang tiada caj boleh dikenakan kepada individu yang mendaftar dan itu juga yang dinyatakan kerajaan ketika pengumuman projek berkenaan.

Namun ramai tidak faham bayaran itu bukan dikenakan kepada individu atau pemilik emel, sebaliknya kepada agensi atau jabatan yang hantar maklumat kepada pemilik akaun itu. Contohnya selama ini LHDN hantar maklumat cukai kepada rakyat guna pos, tetapi selepas ini mungkin melalui 1My saja.

Biasanya caj RM2 dikenakan jika pos, tetapi melalui 1My hanya 50 sen, sekali gus menjimatkan wang kerajaan. Ada juga berpendapat lebih baik guna emel biasa seperti Yahoo, Gmail atau Hotmail yang tidak kenakan bayaran. Memang emel biasa itu percuma tetapi urusan kerajaan biasanya memerlukan kod berdaftar seperti ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ sedangkan emel biasa tiada perkhidmatan itu.

Melalui 1My, memang ada pengesahan kerana emel individu itu adalah pengenalan identiti rakyat yang diiktiraf kerajaan.

Bahasa mudahnya, caj 50 sen itu adalah kos perniagaan syarikat pengendali emel kerana menyampaikan maklumat atau apa-apa bentuk perhubungan dalam urusan kerajaan kepada rakyat. Caj 50 sen memang tidak akan dikenakan kepada rakyat. Emel lain seperti Yahoo, Gmail atau Hotmail juga sebenarnya tidak menawarkan khidmat percuma.

Percuma hanya kepada mereka yang hantar atau terima emel, tetapi pengiklan dalam laman web emel itu bayar 30 sen setiap iklan yang diklik. Dalam aspek 1My, tiada caj dikenakan ke atas pengguna, manakala caj ke atas kerajaan pula adalah satu perniagaan. Jika tidak bagaimana syarikat mahu membiayai dan melaksanakan operasinya.

Satu lagi, pelaburan RM50 juta bagi projek ini bukannya wang kerajaan atau duit rakyat. Ia juga bukan diberikan kepada kerajaan sebaliknya syarikat melabur bagi pembangunan industri berkenaan.

Soalan: Akhir sekali, boleh saudara terangkan bagaimana syarikat pengendali projek ini berfungsi dan apa harus dilakukan bagi menangani isu yang timbul berkaitan inisiatif ini.

Tricubes menyampaikan maklumat atau kata mudah, syarikat penghantaran laju atau kurier, cuma maklumat dalam inisiatif ini disampaikan dalam talian.
Saya rasa idea mewujudkan Emel 1My adalah satu idea yang baik dan tidak kisah syarikat mana mengendalikannya asalkan ia menepati ciri keselamatan dan kualiti perkhidmatan untuk manfaat kerajaan dan rakyat.

Saya lihat masalah dan kontroversi tercetus kerana rakyat tidak faham matlamat di sebalik projek murni ini. Jadi syarikat yang berkenaan perlu memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran