TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Datuk Misbun Sidek. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Misbun Sidek. Papar semua catatan

Jumaat, 29 April 2011

Menerima positif keputusan Misbun.

Sayed Hesyam Idris.

Datuk Misbun Sidek

RAMAI yang terkejut dengan keputusan Datuk Misbun Sidek yang enggan menerima kontrak baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin.

Ketika ramai yang meramalkan Misbun hampir pasti menerima kontrak baru melatih skuad pelapis negara, ia ternyata jauh tersasar.

Kita tidak tahu apa sebenarnya perkiraan Misbun sehingga mengambil keputusan sedemikian, namun mungkin skop tugasan baru sebagai pelatih skuad pelapis mempengaruhi beliau menolak daripada terus berada di dalam BAM.

Atau mungkin juga beliau merasakan tanggungjawab melatih skuad pelapis seperti 'turun pangkat' setelah sekian lama melatih pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei?.

Atau mungkinkah Misbun mahu kembali ke BAM tetapi kekal sebagai sifu kepada Chong Wei?

Itu cuma telahan dan andaian sahaja. Selebihnya pembaca tafsirkan sendiri.

Misbun sudah membuat keputusan. Melihatkan apa yang berlaku sejak dia mengumumkan perletakan jawatan daripada BAM hujung tahun lalu, adalah mustahil untuk Misbun membuat pusingan-U kali kedua.

Persoalannya bagaimana kita mahu menerima secara positif keputusan Misbun?

Memang diakui kesan utama daripada keputusan Misbun itu ialah kita rugi, kerana beliau dilihat sebagai penyelesai kepada masalah ketandusan pemain pelapis berbakat.

Ketika kita bercakap mengenai pengganti Chong Wei, orang melihat Misbun sebagai penyelesai isu tersebut.

Keupayaan Misbun membentuk jaguh dunia memang diiktiraf seperti juara All England 2003, Hafiz Hashim dan abangnya Roslin Hashim yang pernah seketika memegang status pemain No. 1 dunia.

Apa yang ada pada Misbun dalam melahirkan jaguh dunia?

Dia diakui memiliki sentuhan tersendiri dalam membentuk disiplin pemain yang tinggi juga tahap kecergasan yang maksimum.

Misbun masih boleh memainkan peranan melahirkan pemain muda berbakat menerusi Kelab Nusa Mahsuri.

Sebenarnya 'keghairahan' dan keistimewaan Misbun ialah membentuk pemain muda.

Sebab itu Misbun jarang sekali menolak untuk mengendalikan klinik badminton yang dihadiri golongan muda.

Inilah kelebihan Misbun. Akhirnya bakat-bakat muda ini akan menggantikan pemain senior yang ada ketika ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Misbun tolak tawaran BAM

Oleh Jumiati Rosly, jumiati@bharian.com.my

2011/04/29



"KAMI semua keliru". Itulah luahan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi selepas mendapat perkhabaran mengenai keputusan Misbun Sidek menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Entah apa yang berlegar dalam kotak fikiran bekas jurulatih perseorangan itu sehingga mengambil keputusan nekad itu biarpun pelbagai usaha perbincangan diambil sehingga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ‘turun padang’ memujuk bekas jaguh negara itu.

“Kita tidak tahu apa sebenar perancangan Misbun. Kalau tak ada apa-apa kenapa dia lebih dulu ambil keputusan untuk berhenti? Tidak ada orang yang tahu apa difikirkannya mungkin dia mahu menjadi jurulatih di tempat lain atau pun mungkin memulakan perniagaan,” kata Kok Chi, semalam mengenai tindakan membisu jurulatih itu sejak meletakkan jawatan pada penghujung tahun lalu.

Misbun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, semalam.

Semalam, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BAM dipengerusikan Timbalan Presidennya, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata semua ahli majlis menghormati dan menerima keputusan Misbun yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan sukan badminton sepanjang enam tahun bersama badan induk itu.

“Bila-bila masa Misbun mahu bersama semula kita, kita tidak halangan tetapi buat masa ini kita hormati keputusan Misbun,” katanya, mengenai kehilangan jurulatih badminton itu, semalam.
Ada yang beranggapan andai aspek gaji dalam kontrak baru diambil kira, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah apabila jumlah yang ditawarkan dikhabarkan tidak berubah tetapi mungkinkah faktor ‘kehilangan’ Chong Wei yang terus terang mengatakan sudah selesa tanpa bimbingan mentornya itu menjadi penyumbang utama?

Berdasarkan rekod cemerlang sebagai jurulatih, Kok Chi mengharapkan Misbun kekal menjadi jurulatih biarpun di tempat lain berdasarkan umur jurulatih itu yang dikategorikan masih muda lagi.

“Kalau saya di tempat Misbun, saya akan menyahut cabaran baru membimbing atlit pelapis dan melahirkan lebih ramai jaguh bagi Sukan Olimpik 2016. Kalau ada peluang sebegitu, saya pun mahu terima apa lagi berpeluang melatih anaknya (Misbun Ramdan) yang berbakat besar,” katanya.

Sementara itu, ahli Majlis BAM, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah pula berkata: “Dia harus terima saja tawaran itu memajukan pemain negara. Dia tidak perlu lagi menjaga Chong Wei kerana pemain macam Chong Wei, letak mana-mana jurulatih pun boleh sebab dia memang sudah cemerlang.”

Dia menambah, bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo pula akan mula memikul tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita program Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mulai Mei ini manakala Chi Shanrong yang melatih program SSBJ dilantik membimbing skuad perseorangan wanita kebangsaan.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Sabtu, 23 April 2011

Tawaran 'jujur'


Datuk Misbun Sidek.


Oleh Jumiati Rosly, jumiati@bharian.com.my

Tarikh: 2011/04/24

Nadzmi yakin dengan kontrak baru walau Misbun terus membisu

TIDAK mahu berfikiran negatif, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya Datuk Misbun Sidek akan kembali ke badan induk itu kerana tawaran kontrak baru bagi melatih skuad pelapis disifatkan sebagai 'jujur'. “Kami jujur dalam mengemukakan kontrak baru kerana khidmatnya (Misbun) masih diperlukan dan pada masa sama, kami tidak mahu mengecewakan Lee Chong Wei yang makin selesa dengan jurulatih baru,” kata presidennya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Apa yang perlu kini, katanya, ialah memastikan Misbun kembali ke BAM kerana percaya sentuhan emas jurulatih itu mampu melahirkan lebih ramai pemain badminton kelas dunia lain selepas membantu Chong Wei mengungguli persada antarabangsa.

“Maklum balas daripada Chong Wei adalah penting semasa kontrak baru dibuat. Khidmat Misbun diputuskan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM dan keputusan jelas mahukan dia kembali, cuma hanya ada sedikit perbezaan tugas,” katanya.

Dengan berbaki empat hari menjelang mesyuarat Exco BAM, Misbun perlu memberikan kata putus terhadap tawaran itu selepas dia tidak lagi diberi tugas membimbing Chong Wei yang kian selesa di bawah ketua jurulatih, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock.

Jika tawaran itu diterima, Misbun akan bergandingan dengan Hendrawan untuk membimbing sembilan pemain pelapis termasuk anaknya, Misbun Ramdan yang dikatakan menjadi antara punca dia nekad meletak jawatan secara mengejut, 31 Disember lalu.

BAM mengemukakan tawaran kontrak baru kepada Misbun awal bulan ini dan Setiausaha Kehormat yang juga Pengerusi CTC, Ng Chin Chai berkata, syarat dan terma kontrak dipersetujui CTC tetapi hingga kini, Misbun belum memberi bayangan sama ada menerima atau menolak tawaran berkenaan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Selasa, 19 April 2011

Misi untuk memburu emas pertama Olimpik tidak terjejas


Datuk Misbun

STATUS Datuk Misbun Sidek yang tidak lagi membimbing pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei ketika ini, tidak akan menjejaskan persediaan pemain itu untuk memburu emas pertama Olimpik negara, menjelang Sukan Olimpik London.

Dengan detik mula yang tinggal hampir setahun, ketiadaan Misbun mengiringi Chong Wei seperti dirancang untuk perjuangan terakhirnya sebelum bersara bagaikan satu kerugian, apabila bekas jaguh badminton negara itu ‘turun pangkat’ untuk melatih skuad pelapis.

Begitupun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menolak andaian itu, malah menganggap pemain itu sudah berada di landasan tepat untuk mencapai misi berkenaan biarpun tanpa kehadiran Misbun.

“Chong Wei dilihat masih terus memberikan keputusan yang baik dan meskipun berdepan kemelut, dia masih mampu memberi pencapaian yang baik.

“Tidak semestinya jika Misbun tidak melatih Chong Wei sepenuhnya, dia tidak boleh memberi tunjuk ajar, nasihat dan semangat kepada pemain itu. Saya percaya selama ini Chong Wei pun sentiasa berhubung dengan Misbun,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) 2011 di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Malah menurutnya, ketika menghadapi kemelut itu, Chong Wei masih mampu memberikan keputusan yang di luar jangkaan orang ramai.

Misbun mencetuskan gempar dalam dunia badminton awal tahun ini apabila memutuskan untuk meletak jawatan dengan pelbagai spekulasi bermain di fikiran peminat sukan yang mengandaikan beliau berselisih dengan pihak tertentu dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Begitupun, selepas Misbun berjaya dipujuk kembali menyertai persatuan itu beliau tidak lagi diberikan mandat untuk melatih Chong Wei hasil Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Sabtu lalu sebaliknya diberi kepercayaan untuk melatih pasukan pelapis yang turut dibarisi anaknya, Misbun Ramdan.

“Apa yang penting, Misbun sudah kembali bersama keluarga besar badminton negara dan tidak lagi tersisih.

Apa saja yang diputuskan BAM terpulang kepada mereka kerana ini bukan tanggungjawab kementerian mahupun MSN.

“Kepulangan Misbun adalah satu perkara positif kerana tanggungjawab melatih atlet pelapis adalah sesuatu yang amat penting. Kita tidak mahu menghadapi masalah ketandusan pemain berbakat selepas Chong Wei,” kata Ahmad Shabery.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Ahad, 23 Januari 2011

Kejuaraan untuk Misbun

Oleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian, sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam.

Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit.

"Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik.

"Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18.

Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.

Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu.

Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini.

Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun.

Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan.

Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

"Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi.

"Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 9 Januari 2011

‘Ramdan mampu juara dunia tiga tahun lagi’


Penulis - Hussain Said
Tarikh siar - 2011/01/10

Anak dikait kontroversi pengunduran Misbun

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek memberi bayangan anaknya, Misbun Ramdan, 20, yang dikaitkan antara punca beliau nekad meletak jawatan sebagai jurulatih negara, mampu menawan dunia dalam tempoh tiga tahun lagi jika mendapat bimbingan dan latihan terbaik.

“Beri dia tempoh tiga tahun lagi,” katanya yang yakin Mis-bun Ramdan mampu menyaingi pemain dunia berikutan kejayaannya menundukkan pemain lebih ternama, Sony Dwi Kuncoro 21-13, 10-21, 21-16 pada pusingan pertama Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Indonesia, pada Oktober lalu. “Itu adalah sasaran yang ditetapkan ke atasnya. Saya pasti kemenangan itu adalah satu titik tolak dan permulaan baik kepadanya. (Lee) Chong Wei juga terkejut dan hairan bagaimana dia boleh menewaskan Sony dalam pertemuan kali pertama, sedangkan berdasarkan pengalamannya, dia mengakui sukar menewaskan pemain Indonesia itu,” katanya. Misbun berkata, sama seperti Hafiz Hashim yang dibentuknya daripada ‘kosong’ tetapi selepas tiga tahun mendapat bimbingannya, pemain kelahiran Kelantan itu menyerlah dengan menjuarai Seluruh England dan kemudian Sukan Komanwel.

“Daripada ranking 400 lebih, dia kini (Misbun Ramdan) berada pada ranking 100 lebih dunia,” kata Misbun yang melakukan kejutan sehari sebelum tahun baru apabila menghantar surat peletakan jawatan selaku jurulatih perseorangan negara kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, jurulatih kontroversi yang genap 51 tahun bulan depan itu bagaimanapun tidak menyatakan alasan di sebalik keputusan drastik itu. Antara andaian punca beliau berbuat demikian kerana keengganan BAM memenuhi permintaan supaya anaknya yang disenaraikan dalam skuad pelapis dikendalikan Hendrawan, dimasukkan dalam skuad elit bagi membolehkannya membimbing anaknya itu.

Bagaimanapun, BAM tidak mahu melayan permintaan itu kerana Misbun Ramdan belum layak disenaraikan dalam skuad elit, selain tidak mahu dilihat pilih kasih kerana ada empat lagi pemain pelapis yang mempunyai ranking lebih baik daripada anaknya itu.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Saya akan dedah - Misbun


09 Januari 2011.

Jurulatih perseorangan tunggu masa sesuai, keadaan reda untuk beri penjelasan

DATUK Misbun Sidek berjanji akan merungkai segala misteri di sebalik keputusan drastik meletakkan jawatan selaku jurulatih perseorangan negara apa tiba masa dan keadaan yang sesuai.

“Bila sampai masa dan keadaan dah reda, saya akan dedahkan (punca sebenar meletak jawatan),” katanya yang terus mengambil sikap mendiamkan diri sejak menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 31 Disember lalu. Jurulatih itu menghantar surat berkenaan kepada BAM menerusi emel tanpa memberi sebarang alasan di sebalik keputusan mengejutnya itu. “Ini membabitkan sayadan BAM. Jadi, banyak hati perlu dijaga, hati saya tidak apa. Saya ingin berehat dan apabila tiba masa, saya akan buat kenyataan.

Tapi buat masa ini, bagi masa dan ruang supaya keadaan reda,” pintanya.

Tindakan Misbun yang terus membisu menyebabkan pelbagai andaian timbul di sebalik tindakan nekad itu walaupun dia menerima gaji lumayan daripada badan induk berkenaan.

Antara andaian itu termasuk keengganan BAM meluluskan permintaannya untuk melatih anaknya, Misbun Ramdan dan beralih ke bidang profesional bersama anak emasnya, Lee Chong Wei.
Misbun yang akan mencecah 51 tahun bulan depan berkata, dia enggan membicarakan isu peletakan jawatannya bagi mengelakkan ia dipengaruhi emosi yang boleh menyebabkan keadaan bertambah keruh.

“Itu semua andaian dan terpulang kepada apa orang lain hendak kata,” katanya sambil mengakui keputusan itu dibuat tanpa berbincang dengan sesiapa termasuk keluarga dan adik-beradiknya.

Ditanya mengenai sama ada keputusan yang diambilnya itu muktamad, Misbun berkata: “Saya sudah hantar surat... Jadi, saya sudah memikirkan mengenainya. Biar masa tentukan.”

Sebelum mengakhiri perbualan, ikon itu menegaskan bukan mudah menjadi jurulatih dan mengekalkan prestasi Chong Wei.

“Pokok baka baik sekalipun jika tidak dibaja dan dijaga, ia tidak akan membesar dengan sempurna,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran