Wartawan
Sinar Harian, 21 Julai 2012
JERANTUT - “Kami sangat gembira dan terharu menerima
kunjungan Perdana Menteri. Ini pengalaman berharga dalam hidup kami, ditambah
turut dipilih menjadi penerima Skim Bantuan Kasih Felda.
Terima kasih PM, terima kasih kerajaan.” Itu antara luahan
kegembiraan pasangan penoreh getah, Kamarun Helan Jaafar Sidek, 45, dan
isterinya, Asmaswati Che Wook, 40, yang terharu menerima sumbangan baik pulih
rumah di bawah Skim Bantuan Kasih Felda.
Lebih manis, pasangan itu turut dikunjungi Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melancarkan skim tersebut semalam.
Kamarun Helan berkata, rumahnya yang usang tidak mampu
dibaiki sendiri kerana pendapatannya hanya cukup untuk menyara persekolahan dan
keperluan enam anaknya .
Menurutnya, dia bersama isteri sama sekali tidak menyangka
dipilih menjadi penerima skim terbabit dan kehadiran Najib pula bagaikan satu mimpi.
Najib ketika berkunjung ke rumah Kamarun Helan (tiga, kanan)
di Kampung Air Hitam, semalam. Turut kelihatan, Ahmad Maslan (dua, kanan).
“Kami sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri sudi menjenguk kami yang
serba kekurangan di kampung ini.
Kehadiran tokoh nombor satu negara itu sangat
menggembirakan. “Terima kasih kepada kerajaan, Yayasan Felda dan Datuk Seri
Najib kerana sudi memilih saya sekeluarga untuk menjadi penerima di bawah skim
ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Kamarun Helan berkata, sumbangan berupa barangan keperluan
membaiki rumah bernilai RM5,000 itu akan digunakan untuk membaiki ruangan dapur
rumahnya yang rosak.
Katanya, sumbangan Yayasan Felda itu merupakan rahmat besar
buatnya sekeluarga dan juga kepada penduduk kampung tradisi lain yang
berpendapatan rendah.
“Pendekatan kerajaan menerusi pelancaran skim ini membolehkan
kami golongan berpendapatan rendah tidak tercicir, malah turut sama menikmati
kemakmuran dan limpahan kekayaan Felda.
"Terima kasih kepada kerajaan yang tidak lupa kesusahan
penduduk kampung tradisi dan tidak terlepas pandang membela nasib kami,” katanya.
Turut sama bersama Najib dalam kunjungan semalam, Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan
Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Datuk Wan
Amizan Wan Abdul Razak.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan