TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 22 Julai 2012

Orang Melayu taksub politik


Wartawan Sinar Harian, 
 22 Julai 2012 
 Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria 
KUALA KANGSAR – Perceraian kerana perbezaan fahaman politik bukan sesuatu yang baru, sebaliknya sudah lama berlaku, namun tidak dilaporkan oleh media massa.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, keadaan itu berlaku kerana orang Melayu begitu taksub dengan politik sehingga tidak menggunakan akal fikiran, sebaliknya terlalu mengikut perasaan.

“Sebelum ini pun sudah berlaku cuma ia tidak diberi liputan. Dulu ketaksuban kepada parti sekitar 1970-an lebih dahsyat sehinggakan sembelihan ayam juga diambil kira jika dan perlu memihak kepada parti yang disokong.

“Saya sendiri tengok ada di satu tempat berbakul raga ayam dibuang hanya kerana ia disembelih oleh individu yang berlainan parti daripada pelanggannya dan perkara ini amat mendukacitakan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Travelog Seychelles di Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar), di sini.

Hadir sama, Rektor Kisdar, Prof Dr. Jamil Hashim dan pengarang buku Travelog Seychelles, Prof Dr Talib Samat.


Harussani menambah, ketaksuban kepada sesuatu parti politik menjurus kepada perpecahan dan ia berlaku dalam umat Islam di negara ini.

“Pernah terjadi satu kes seorang individu ini dia berniaga kedai runcit dan perniagaannya maju disebabkan ramai pelanggan.

"Satu hari beliau pergi menziarahi salah seorang pelanggannya yang meninggal dunia dan hanya kerana fahaman politik yang meninggal berbeza, dia diketepikan.

 Bukan itu sahaja, beliau turut dipecat daripada jawatankuasa khairat kematian tempatnya malah ditakdirkan beliau turut diboikot hingga terpaksa menutup kedai runcitnya akibat tiada pelanggan hanya kerana politik itu tadi,” katanya.

Malah katanya, akibat ketaksuban dengan perjuangan sesebuah parti, ada segelintir pihak di suatu tempat pernah memulaukan imam kerana menganggap sembahyang tidak sah sekiranya berimamkan mereka yang tidak sealiran parti politik.

“Akibat terlalu taksub mereka tidak pernah menunaikan solat Jumaat dalam mukimnya jika imam pada hari itu adalah penyokong pihak satu lagi dan sanggup ke masjid lain yang dikenal pasti diimamkan oleh penyokong kuat partinya.

“Sehingga ke hari ini pun masih ada orang yang tak mahu sembahyang hanya kerana beza politik dan ia masih berlaku termasuk di bandar bandar besar sedangkan kiblatnya sama,” katanya.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran