TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 11 Julai 2012

Kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian dalam memperkenalkan Lembah Lenggong


11 Julai 2012

 Cycads - antara peninggalan zaman purba yang masih
utuh di bukit-bukit batu kapur di Lenggong.

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan bekerjasama dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam usaha memperkenalkan Lembah Lenggong di Hulu Perak kepada orang ramai.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Lembah Lenggong bakal menjadi kawasan tarikan pelancong terutamanya peminat arkeologi selepas ia diiktiraf sebagai tapak warisan dunia baru-baru ini.

"Kita akan bekerjasama dengan kementerian, bagaimana kita nak menarik orang ramai ke Lembah Lenggong dan kita harap kawasan ini akan menjadi kawasan tarikan pelancong," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Pada 30 Jun lepas, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia.

 
Beliau berkata kawasan itu adalah khazanah yang istimewa untuk negara dan negeri Perak.

Zambry berkata kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan sambutan sempena pengisytiharan Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia.

"(Datuk Seri Dr Rais Yatim) Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan gembira dengan apa yang telah dicapai dan beliau bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Prof Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid berkata pengikirafan itu akan menaikkan Perak dari segi ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain memperkenalkan negeri itu di persada dunia.

Mengenai cadangan supaya kerangka manusia yang ditemui di Lembah Lenggong 'Perak Man' yang kini berada di Muzium Negara dibawa balik dan diletakkan di Galeri Arkeologi Lenggong, Zuraina berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Rais.

"Artifak yang kini berada di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tujuan kajian juga akan dibawa balik ke Galeri Arkeologi Lenggong setelah kajian selesai dilakukan," katanya.

Ditanya sama ada Perak Man akan dijadikan ikon Lembah Lenggong, beliau berkata ikon untuk kawasan itu belum ditentukan lagi dan perkara itu akan dibincang dan diteliti terlebih dahulu.

Lembah Lenggong diiktiraf sebagai tapak warisan dunia hasil penemuan beberapa artifak berusia lebih 11,000 tahun menerusi kerja ekskavasi ahli arkeologi negara sejak 20 tahun lepas. – Bernama

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran