TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 1 Julai 2012

Berita Kematian Khidmat Telegram Tidak Sempat Dihantar Dengan Telegram.


إدريس تالو
Idris Talu

 
Pada hari Ahad 01 July 2012, akhbar Mingguan Malaysia di mukasurat 12 telah menyiarkan iklan penamatan “Perkhidmatan Telegram TM” mulai 01 July 2012.

Kepada pembaca yang kurang mengenali perkhidmatan telegram ini, biarlah penulis menerangkan serba sedikit apa yang penulis tahu tentang telegram. Penulis pernah berkhidmat di jabatan berkenaan.

Pada masa dahulu, semasa perkhidmatan telekomunikasi masih kurang berkesan dan mahal, perkhidmatan telegram merupakan pilihan pengguna untuk menyampaikan berita-berita penting kepada si penerima berita.

Orang yang hendak menghantar sesuatu berita dikehendaki mengisi borang telegram samada di pejabat pos atau di pejabat telegraf (dulunya Jabatan Talikom, sebelum wujudnya Telekom Malaysia). Setiap patah perkataan yang akan dihantar dikira dengan kos yang tertentu. Oleh itu, berita dalam sesuatu telegram perlu ringkas dan padat tetapi lengkap sebagai suatu berita yang hendak disampaikan.

Setelah selesai pembayaran kos untuk penghantaran telegram, borang tadi diserahkan kepada jurutaip teleprinter untuk urusan penghantaran ke pejabat pos atau telegraf yang terdekat dengan alamat sipenerima. Mesin teleprinter di pejabat pos atau telegraf penerima akan terus mencetak telegram tersebut untuk diserahkan kepada si penerima.

Telegram juga digunakan oleh syarikat-syarikat besar untuk kemudahan perhubungan baik untuk perhubungan darat ke darat atau darat ke laut (kapal laut). No telex yang kita lihat pada syarikat-syarikat besar itu ialah nombor untuk perkhidmatan telegramnya.

Untuk pengguna awam, telegram biasa digunakan untuk menghantar berita penting seperti surat panggilan untuk mula berugas, surat-surat berkaitan mahkamah dan berita kematian.

Nampaknya berita “kematian perkhidmatan telegram” tidak sempat dihantar dengan telegram kerana perkhidmatannya telah pun diberhentikan.


1 ulasan:

Al-Manar berkata...

Ada perasaan nostalgian bila membaca berita berkuburnya khidmat telegram. Sebagai warga mas banyak benar pengalaman menggunakan khidmat yang amat penting ini. Umpamanya diawal tahun 1956 bila kelulusan Cambridge Senior Certificate Exam diumumkan saya menerima berita keputusan saya melalui telegram yang dihantar dari K Terengganu ke KL dimana saya berada. Rumah rumah belum ada telepon, jauh sekali handphone dll.

Syabas mem,beri tumpuan kepada tajuk yang dipandang remeh oleh kebanyakan peringkat muda.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran