Wartawan
Sinar Harian
30 Julai 2012
RANTAU PANJANG - Rakan kepada peniaga yang maut dirempuh
lori ketika berniaga di laluan Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Gual Tinggi
Jumaat lalu, masih trauma.
Rata-rata masih teringat kejadian menimpa Allahyarham Nik
Mariam Nik Ya, 52, yang sama-sama berniaga sejak 10 tahun lalu.
Kejadian kali pertama sejak mereka berniaga di situ lebih 10
tahun lalu sememangnya tidak diduga.
Peniaga dikenali sebagai Sabariah, 58, berkata, dia masih
terkejut dengan kemalangan menimpa Allahyarham.
Menurutnya selepas kejadian, matanya lebih tertumpu ke arah
jalan kerana takut peristiwa sama berulang.
“Kalau ikutkan hati memang saya takut untuk berniaga lagi.
“Jika tidak berniaga, buah akan rosak, bagi mengelaknya,
saya terpaksa berniaga,” katanya.
Sabariah berkata, dia kerap terkejut bila terdengar bunyi
kuat datang dari arah jalan.
Rakannya dikenali Kak Dah, 49, berkata, dia masih trauma dan
takut selepas kemalangan meragut nyawa rakannya.
Menurutnya, dia takut melihat kenderaan dipandu laju dan
kemalangan tengah hari Jumaat itu benar-benar meninggalkan kesan padanya.
“Bila tengok atau dengar kenderaan dipandu laju, saya kerap
terkejut,” katanya semalam.
Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati, keluarga
Allahyarham masih belum berniaga.
Jumaat lalu, mangsa yang berniaga buah di Gual Tinggi mati
di tempat kejadian setelah terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah
biji besi.
Pemandu lori berkenaan pula hanya mengalami cedera ringan.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan