TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 25 Julai 2012

Pulangkan bil rawatan hospital


Wartawan Sinar Harian
26 Julai 2012 
 
 SUNGAI SIPUT - “Sebelum ini saya pernah memberi surat sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat pengecualian bayaran bil rawatan hospital dan surat itu diperakui.

“Bagaimanapun, saya hairan kenapa surat sokongan saya untuk anak kecil ini tidak diambil kira,” luah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam.

Beliau berkata demikian selepas sebuah keluarga di Kampung Tok Sirat, Lintang di sini terpaksa membayar bil rawatan anak bongsu mereka, Nor Umairah Qaisara Mohamad Nordin, 3, yang melecur di kepala, tangan dan kaki akibat terjatuh dalam periuk nasi pada 11 Julai lalu.

Menurutnya, bil berjumlah RM74.50 dibayar menggunakan wang ehsan yang diberikan rakan-rakan ketika melawat kanak-kanak itu sewaktu ditempatkan di wad 1D Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Malah, ibu kepada kanak-kanak tersebut turut mendapatkan rawatan di wad 1B pada 10 hingga 13 Julai lalu  akibat disyaki mengalami penyakit kencing tikus dan perlu membayar bil rawatan sebanyak RM126,” katanya.

Katanya, keluarga kanak-kanak itu hidup dalam keadaan serba kekurangan memandangkan bapa, Mohamad Nordin Mohamad, 44, hanya bekerja kampung manakala ibunya, Norhasimah Mat Ramli, 34, seorang suri rumah.

Beliau difahamkan keluarga berkenaan tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak walaupun pernah memohon beberapa kali.

“Pasangan itu turut mempunyai tiga anak perempuan lain yang berusia antara lapan ke 14 tahun.

“Keluarga tersebut tinggal di rumah yang diberikan menerusi skim bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berharap bil rawatan hospital berjumlah RM200.50 yang dibayar untuk kedua-dua ibu dan anak itu berkenaan dapat dikembalikan.

Sementara itu, Norhasimah berkata, ketika anaknya mengalami kemalangan tersebut dia sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana dipercayai dijangkiti kencing tikus.

Katanya, dia menerima berita itu selepas diberitahu adik perempuannya yang membantu membawa anak bongsunya ke Klinik Kesihatan Lintang untuk mendapatkan rawatan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut namun saya menerimanya walaupun dalam keadaan sedih,” katanya.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran