TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 10 Julai 2012

Permohonan sijil halal di Johor meningkat


Oleh IFQDAR A. RAHMAN, ifqdar.rahman@utusan.com.my
ARKIB : 08/07/2012
 PEGAWAI Jabatan Agama Islam Johor (dua dari kanan) memeriksa premis
 di sekitar Johor Bahru. Foto - ihsan Utusan Malaysia.

JOHOR BAHRU 7 Julai - Susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan bermula 1 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menerima lebih satu kali ganda permohonan bagi mendapatkan sijil halal oleh premis makanan di seluruh Johor berbanding sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Yosree Ikhsan berkata, dari Januari hingga awal bulan ini, kira-kira 930 permohonan diterima berbanding 400 permohonan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Daripada jumlah permohonan yang diterima, sebanyak 500 premis telah diluluskan dan mendapat sijil halal.

"Ia adalah peningkatan ketara berbanding sebelum ini dan kami menjangkakan ia akan mencapai sehingga 1,500 (permohonan) menjelang hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan serbuan ke premis makanan sekitar daerah ini bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor bersama JAIJ, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Kesihatan Johor, di sini semalam.

Dalam serbuan yang pertama kali diadakan selepas penguatkuasaan akta tersebut, sebanyak enam premis yang tidak mempunyai sijil halal diberi amaran setelah didapati menggunakan ayat al-Quran bagi mengelirukan pelanggan beragama Islam.

Pengarah KPDNKK Johor, Ayub Abd. Rahman berkata, kesemua premis diarah menurunkan ayat al-Quran yang dipamer di kedai mereka dalam tempoh tujuh hari atau dikenakan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian.

"Pihak kami akan membuat pemantauan semula selepas seminggu dan sekiranya gagal mematuhi arahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.

"Manakala premis yang telah mempunyai sijil halal namun gagal mematuhi syarat bagi penyediaan makanan halal boleh dikenakan denda RM1 juta bagi individu dan RM5 Juta bagi syarikat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, tindakan penguatkuasaan yang dikenakan adalah lebih ketat berbanding sebelum ini yang hanya dikenakan sehingga RM100,000 kepada individu dan RM250,000 kepada syarikat.

Ayub berkata, serbuan seumpama itu akan diadakan berterusan dengan kerjasama jabatan berkaitan untuk memberi pendedahan kepada pemilik premis makanan agar mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Kami berharap tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat ini akan dapat meningkatkan kesedaran pemilik premis agar mematuhi garis panduan bagi menyediakan makanan halal kepada pengguna," katanya.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran