Tan
Sri Hassan Azhari
Hassan hanya sekali dibenarkan sertai musabaqah al-Quran
Mungkin tiada siapa dapat menandingi komitmen Tan Sri Hassan
Azhari dalam memastikan tilawah al-Quran dianjurkan saban tahun, khususnya
menjelang ketibaan Ramadan. Hakikatnya, pada usia 83 tahun, kepakaran Hassan
masih diperlukan dan namanya terus tersenarai sebagai hakim untuk tilawah
al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dianjurkan negara, malah
khidmatnya turut ditagih di luar negara.
Beliau bersama 11 hakim lain baru saja menyelesaikan amanah
digalas untuk menghakimi peserta Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54
yang berlangsung dari 6 Julai dan berakhir malam kelmarin.
“Alhamdulillah (seraya mengangkat tangan seperti ketika
berdoa), dengan izin Allah saya masih dipilih untuk bersama hakim lain pada
majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang baru berlalu. Syukur kerana
semua berjalan lancar,” katanya pada pertemuan dengan BH Ahad.
Beliau yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam penghakiman
tilawah al-Quran berkata, tanggungjawab hakim bukan mudah dan melihat kepada
tugas dilakukan, mereka tiada masa untuk menyebelahi atau menentukan siapa
patut menang.
Jadi peserta tilawah
Sebenarnya, Hassan pernah menjadi peserta tilawah al-Quran
apabila menyertai Majlis Membaca al-Quran Se-Malaya yang kali pertama diadakan
pada 4 September 1947 di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Bahru.
Pada majlis anjuran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(Pekembar) itu, beliau mendapat tempat pertama dan berkongsi dengan dua
pemenang lain, Abdul Rahman Ahmad (Pulau Pinang) dan Mahyuddin Canai Intan
(Perak) yang sama-sama meraih markah 84.5 peratus.
Bagaimanapun, selepas itu beliau tidak pernah menyertai
mana-mana majlis tilawah al-Quran yang dianjurkan. Rupa-rupanya, Hassan tidak
dibenarkan menyertai majlis tilawah al-Quran kerana kepakaran beliau diperlukan
untuk menjadi hakim.
Sejak itu, beliau yang dikagumi kerana pengetahuan tinggi
dalam bidang al-Quran, khususnya ilmu tajwid.
Khidmatnya tidak terbatas untuk pertandingan dalam negara,
malah beliau turut diundang menjadi hakim di Makkah sebanyak 14 kali, Mesir
(empat kali), Iran (dua kali), selain di Dubai, Brunei dan Thailand.
“Itulah kali pertama dan terakhir saya menyertai tilawah
al-Quran. Selepas itu tidak dibenarkan lagi tetapi saya diminta pula menjadi
hakim hingga sekarang. Tetapi tidak mengapa kerana saya masih berpeluang
menabur bakti dalam bidang yang saya minati,” katanya.
Selain itu, anak kelahiran Makkah ini juga aktif menyertai
bengkel, seminar serta persidangan berkaitan ilmu al-Quran anjuran Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pada masa santainya, jika tidak terikat dengan bengkel,
seminar dan undangan ceramah, masa dihabiskan di rumah tetapi di sisinya, pasti
ada al-Quran menemani.
Menghasilkan al-Quran Waqaf dan Ibtida’
Menyedari banyak cara untuk meningkatkan kefahaman serta
membantu umat Islam membaca al-Quran dengan betul dan lebih penting ialah
mendapat ganjaran hebat, Hassan bersama anaknya, Dr Abd Rauf, menghasilkan
Al-Quran al-Karim Dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’.
Keistimewaan al-Quran dihasilkan daripada cetusan idea Abd
Rauf dan diterbitkan Telaga Biru Sdn Bhd, ia mempunyai tanda tempat berhenti
serta memulakan bacaan.
Tanda melalui warna pada ayat al-Quran itu akan memudahkan
pembaca, khususnya mereka yang bernafas pendek untuk berhenti di tempat betul
dan memulakan bacaan juga daripada ayat betul.
Menceritakan mengenai usaha yang mengambil masa tiga tahun
itu, Hassan mengakui pada awalnya beliau tidak bersetuju cadangan dikemukakan
anaknya, pensyarah Jabatan Bahasa Asing Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Awalnya saya menentang hasrat itu dengan alasan tidak akan
mendapat kelulusan JAKIM. Bagaimanapun, selepas diterangkan bahawa warna yang
digunakan tidak akan menjejaskan langsung tulisan huruf al-Quran, barulah saya
setuju.
“Sebenarnya ilmu waqaf dan ibtida’ ini memang penting. Orang
belajar mengaji akan tanya nak berhenti dan ambil dari mana. Hendak jawab
secara spontan pun susah juga. Malah, hakim tilawah ramai yang tidak mahu jadi
hakim waqaf ibtida.” katanya.
Mereka yang lahir sebelum dan awal 70-an, pasti akan
mengingati program disiarkan RTM setiap petang memaparkan suasana pembelajaran
dalam kelas. Jika ditanya, bukan saja gambaran program terbayang, malah suara
Hassan yang nyaring dan tegas turut terngiang-ngiang di cuping telinga.
Itulah keistimewaan program Muqaddam yang meninggalkan kesan
kepada penonton kerana teknik pengajaran yang ditampilkan mudah untuk diikuti
dan banyak membantu meningkatkan kaedah membaca serta membunyikan huruf jawi
dengan tepat.
Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan